Suatu pandangan holistik.

IMG-20151024-WA0049Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh… Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia. Saya mengambil inisiatif untuk menulis pandangan peribadi saya tentang pelbagai perkara yang saya fikirkan bersesuaian di halaman web peribadi ini. Tujuannya adalah untuk berkongsi pandangan serta pendapat dengan masyarakat umum terutama yang menyentuh bidang pendidikan di negara kita Malaysia.

Disebabkan kekangan masa, penulisan saya mungkin tidak sekerap penulis maya yang lain. Kebanyakan kenyataan saya hanya tercatat di halaman Facebook dan Twitter saya sendiri. Pada penulisan pertama ini saya ingin menyentuh sedikit tentang sektor pendidikan di negara kita menurut pandangan peribadi.

Saya adalah anak generasi selepas merdeka, hidup pada zaman rakyat negara kita masih berusaha gigih untuk membina Malaysia supaya generasi akan datang dapat hidup selesa sebagaimana yang kita alami pada hari ini. Semasa bersekolah rendah dahulu di SK Jabi, Pokok Sena, Kedah, dibesarkan dalam keluarga petani, serba sederhana tetapi menyeronokkan.

imageSeperti kanak-kanak lain di kampung, saya ke sekolah di waktu pagi untuk menimba ilmu sebanyak mungkin melalui ajaran guru di sekolah. Petang adalah waktu saya membuat kerja rumah, bermain dengan rakan-rakan, membantu ibu bapa dan mengaji al-Quran. Menonton televisyen atau mendengar radio merupakan satu kemewahan pada ketika itu; peluang untuk menonton televisyen kadang-kadang hanya melalui celah tingkap di rumah jiran yang agak mewah. Biasanya sebelah malam, saya akan mengulangkaji pelajaran dalam suasana yang sunyi.

Tetapi zaman sekarang sudah berubah. Kepesatan teknologi kini menjadikan anak-anak kita sekarang adalah masyarakat digital, new societydigital natives – yang terdedah kepada maklumat daripada serata dunia dengan melalui pelbagai medium seperti televisyen, telefon pintar, komputer riba dan pelbagai jenis gajet lain yang tidak pernah kita lihat dan terfikir akan wujud beberapa tahun lepas. Anak-anak kita sekarang mendapat maklumat di hujung jari sejurus bangkit daripada tidur sehinggalah mereka masuk tidur – maklumat yang mereka sendiri belum tahu benar atau tidaknya, sahih atau palsunya.

imagePelbagai persoalan pastinya akan tercetus dalam pemikiran guru-guru sekarang ini – bagaimana maklumat dan pengetahuan yang begitu mudah anak-anak kita dapati ini dapat diterjemahkan kepada ilmu yang dapat dimanfaatkan? Apakah peranan kita sebagai pendidik dalam berhadapan dengan murid yang mungkin lebih berpengetahuan daripada kita sendiri? Bagaimana waktu yang singkat di dalam bilik darjah dapat digunakan sepenuhnya bagi membangunkan murid yang seimbang ilmu dan akhlaknya?

Guru-guru kita dan warga pendidikan seluruhnya sedang berada di dalam satu fasa yang agak mencabar kerana kita semua sedang melalui transformasi pendidikan berskala besar yang bakal mengubah lanskap pendidikan negara kita. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 -2025 adalah untuk kita menyediakan murid kita mendepani masa hadapan yang kita sendiri tidak dapat bayangkan bagaimana rupa bentuknya. Telefon pintar yang paling terbaharu yang kita guna pada hari ini, contohnya, akan outdated dalam masa yang singkat.

IMG-20151202-WA0051Kalau pada hari ini masyarakat umum sudah boleh memiliki teknologi kereta yang tidak perlu dipandu dan drone yang boleh merakam visual daripada udara, bayangkan apakah teknologi yang akan wujud dalam masa lima atau 10 tahun lagi?. Dan apakah kemahiran yang perlu kita persiapkan kepada murid kita supaya mereka dapat menjadi warganegara global yang berguna? Ternyata harapan yang besar telah diletakkan oleh masyarakat supaya sistem pendidikan kita dapat mempersiapkan murid dengan kemahiran yang relevan bagi mereka berfungsi dengan jayanya di masa hadapan.

IMG-20151201-WA0014Sebenarnya masyarakat tidak perlu gusar tentang hala tuju pendidikan negara kerana telah diperjelaskan dalam PPPM. Dalam masa 10 tahun lagi, Malaysia akan berada antara satu pertiga teratas negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik di dunia. Bagaimana kita akan berada di kedudukan ini? Kita akan melengkapkan murid dengan enam Aspirasi Murid yang mengimbangi ilmu (pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran dwibahasa) dan akhlak (kemahiran memimpin, etika dan kerohanian serta identiti nasional).

Kementerian akan memberikan akses kepada pendidikan berkualiti, memastikan ekuiti, menerapkan perpaduan dan meningkatkan kecekapan dalam perkhidmatan. Perubahan cara bekerja warga pendidikan telah pun mula dilaksanakan menerusi 11 Anjakan; antara yang paling penting adalah Anjakan 9 iaitu menggalakkan pelibatan ibubapa, komuniti dan sektor swasta dalam pendidikan.

cropped-IMG-20151004-WA0035.jpg
Dengan hala tuju yang jelas dan pelan pengoperasian yang terperinci digariskan dalam PPPM, saya yakin bahawa matlamat untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara akan tercapai. Setelah hampir setahun saya menerajui Kementerian Pendidikan Malaysia, banyak perubahan yang dapat saya lihat dalam siri lawatan saya ke sekolah-sekolah. Perbezaan yang paling ketara adalah pelibatan murid secara aktif dalam bilik darjah. Murid kini duduk secara berkumpulan untuk memudahkan perbincangan bagi aktiviti pembentangan dengan guru bertindak sebagai pemudah cara.

imageApabila saya bertanya kepada murid daripada mana mereka memperolehi maklumat untuk digunakan dalam kerja kumpulan, kebanyakan mereka mendapatkannya daripada internet sama ada di rumah ataupun daripada komputer yang disediakan di perpustakaan. Mereka nampak lebih yakin berkomunikasi dan saling bantu membantu dalam tugasan yang perlu disiapkan. Ini dinamakan Pembelajaran Abad ke-21. Saya percaya bahawa cara yang telah diamalkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran ini amat berkesan untuk menerapkan Enam Aspirasi Murid yang dianjurkan dalam PPPM.

Sebahagian besar guru-guru yang saya temui setakat ini senada dalam menekankan bahawa mereka menyedari peranan mereka sekarang sudah berubah daripada menyampaikan ilmu kepada murid kepada memudah cara proses pembelajaran dengan pelibatan aktif murid secara berkumpulan.
Mereka menggalakkan murid untuk berusaha mencari maklumat di luar bilik darjah melalui pelbagai sumber dan medium. Mereka juga bersifat terbuka dalam bekerjasama dengan ibu bapa murid kerana mereka sedar bahawa keberhasilan murid memerlukan kerjasama kolektif daripada semua pihak. Saya bersyukur kerana rata-rata guru yang saya temui mempunyai sikap yang positif terhadap transformasi pendidikan yang berlaku sekarang, dan saya yakin mereka bersedia untuk menjadi guru masa hadapan kepada murid masa hadapan.

IMG-20151029-WA0030Walau bagaimanapun, saya juga sedar bahawa cabaran alaf baharu sebagai guru ini bukanlah sesuatu yang boleh diambil ringan. Dalam usaha kita menggunakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam pendidikan, kita tidak dapat lari daripada menghadapi masalah capaian. Pada penghujung 2015, sebanyak 6,695 buah sekolah telah dirangkaikan dengan akses internet berkelajuan tinggi dan sebanyak 2,245 buah sekolah lagi dirangkaikan dengan menggunakan teknologi Asymmetric Digital Subscriber Line (ADSL) atau Very Small Aperture Terminal (VSAT).

Namun begitu, di beberapa sekolah kelajuan internet tidak sebagaimana yang diharapkan. Pernah seorang guru memberitahu saya – “Ibarat kita ni pandu Ferrari Datuk Seri, tapi kena lalu jalan lori balak.” Sedikit sebanyak kekangan ini akan menjejaskan proses pembelajaran murid apabila guru-guru berhadapan masalah teknikal dalam pengajaran. Sememangnya perkara ini dalam perhatian Kementerian, dan kita sedang berusaha untuk menambah baik perkhidmatan sedia ada seiring dengan perubahan yang berlaku dalam era teknologi global yang berkembang dengan terlalu pesat ini.

12295463_710378199063757_8228754616693382609_nSemasa Perutusan Tahun Baharu 2016 pada bulan Januari lalu, saya telah menyeru kepada guru-guru supaya lebih kreatif dan inovatif dalam menangani sebarang masalah dalam tugas mendidik anak-anak bangsa kita. Saidina Ali r.a. pernah berkata – “Didiklah anak-anak kamu mengikut zaman mereka dan bukan zaman kamu dilahirkan”. Zaman kini sudah sangat berubah, justeru kita perlu berfikir jauh ke hadapan dan menyediakan murid untuk zaman itu sekarang.

Sebagai pendidik, kita tidak boleh lagi melihat murid kita dan berkata “Cikgu akan sediakan kamu untuk SPM tahun hadapan”, tetapi kita perlu melihat apa yang akan terjadi kepada murid itu dalam masa lima atau sepuluh tahun akan datang. Apakah bakat yang ada padanya?. Apakah kebolehannya?. Bagaimana bakat ini boleh dipupuk supaya dia dapat menjadi rakyat yang dapat menyumbang kepada negara? Bagaimana murid ini dapat dibangunkan secara holistik supaya dia dapat menghayati nilai etika dan kerohanian?.

Nyata sekali tugas sebagai pendidik merupakan satu tugas yang cukup mencabar. Namun begitu saya amat yakin sekiranya sebahagian besar daripada guru-guru kita mempunyai sikap positif dan proaktif sebagaimana guru-guru yang saya temui sebelum ini, matlamat kita untuk mentransformasi sistem pendidikan negara akan dapat dicapai. Demi anak-anak kita dan memartabatkan bangsa Malaysia secara keseluruhannya, masa depan negara di tangan kita.

IMG-20151027-WA0035

SELAMAT HARI GURU 2016
“PENDIDIKAN ITU KEGEMBIRAAN, PENDIDIKAN ITU KEBAJIKAN, PENDIDIKAN ITU KETERBUKAAN”

This post has already been read 648 times!

Facebooktwittergoogle_plus
Facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram

Comments

comments