PERUTUSAN HARI GURU TAHUN 2016

PERUTUSAN HARI GURU TAHUN 2016

MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA

TEMA:

“GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia dan Salam Sehati Sejiwa

Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan para hadirin yang dikasihi sekalian,

Pendahuluan

1. Hari guru ialah hari untuk kita menzahirkan apresiasi atas sumbangan tulus murni dan khidmat bakti yang dicurahkan oleh para pendidik kepada masyarakat seluruh negara. Hari guru telah disambut di seluruh dunia semenjak abad ke-20 lagi, namun tarikh sambutan di setiap negara adalah berbeza. Kita di Malaysia menyambut hari guru dengan begitu meriah pada 16 Mei setiap tahun sehingga pemimpin kerajaan menjadikannya sebagai acara rasmi pada peringkat nasional.

2. Mengapa tarikh 16 Mei? Sebenarnya 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada tarikh yang sama dalam tahun 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu telah meluluskan Penyata Razak, salah satu daripada empat Laporan Jawatankuasa Pelajaran mengenai pendidikan di negara kita. Dokumen ini dikenali sebagai Laporan Razak kerana Tun Abdul Razak adalah Menteri Pelajaran pada ketika itu dan dokumen tersebut telahpun diangkat menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak 1956 hingga kini.

3. Kita sedar bahawa tugas seorang pendidik bukan semata-mata mengajar di bilik darjah malah lebih daripada itu kerana tanggungjawab pendidik termasuk mentadbir, memantau, menyelia, mengurus, merancang, menggubal dasar, serta menjalankan penyelidikan dan penilaian berkaitan pendidikan. Oleh itu, sambutan Hari Guru merupakan satu penghormatan dan pengiktirafan kepada semua pendidik yang berkhidmat di sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), dan Bahagian di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

4. Sambutan ini juga merupakan satu usaha memberi peluang kepada anak murid dan masyarakat untuk menghargai golongan pendidik yang melahirkan generasi profesional, berkemahiran tinggi dan berkeperibadian mulia dalam pelbagai bidang. Saya amat yakin, warga pendidik daripada peringkat sekolah hinggalah ke peringkat kementerian sentiasa berusaha dengan sepenuh hati bagi memastikan murid menjadi warganegara yang unggul supaya akhirnya dapat mencurahkan bakti kepada keluarga, agama, bangsa, dan negara.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

5. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan guru amat disanjung tinggi oleh segenap lapisan masyarakat kerana bakti mereka yang menggunung dalam mendidik anak-anak bangsa menjadi insan berilmu dan berakhlak mulia. Bahkan sejak dahulu lagi, guru berusaha melahirkan generasi berpendidikan bagi membina sebuah negara maju, aman dan makmur. Justeru, “Guru Pembina Negara Bangsa” dipilih sekali lagi sebagai tema Hari Guru 2016 selaras dengan peranan guru yang terbukti memainkan watak penting dalam memperjuangkan kemerdekaan dan mengekalkan kedaulatan negara melalui sistem pendidikan yang mampan. Seterusnya, guru juga berperanan membangunkan negara dan membina bangsa bertamadun sehingga dikagumi oleh masyarakat dunia.

6. Pemilihan tema tersebut amat bersesuaian dengan tugas guru itu sendiri kerana guru berperanan memastikan pembentukan jati diri murid yang kukuh dan berkeyakinan tinggi berlandaskan prinsip Rukun Negara serta nilai-nilai murni dalam kehidupan. Seorang guru dilihat bukan sahaja memikul tanggungjawab menyampaikan ilmu kepada anak didiknya bahkan lebih penting adalah untuk membina negara bangsa yang bersahsiah tinggi.

7. Tugas tersebut amat berkait rapat dengan matlamat pendidikan yang menitikberatkan semangat patriotik, jati diri, dan perasaan cinta yang mendalam terhadap tanah air sendiri. Malahan, selaku pembina negara bangsa, guru seharusnya menggunakan peluang mengajar anak murid untuk mewujudkan suasana perpaduan antara kaum, bangsa dan agama, di samping menghasilkan kualiti murid yang yakin untuk berkomunikasi, berkebolehan menjana idea dan bertoleransi antara satu sama lain. Perkara ini merupakan satu cabaran besar dalam pendidikan abad ke-21.

8. Pada asasnya, guru harus meneladani dan mencontohi tokoh pemimpin teragung dalam usaha membentuk generasi masa kini kerana setiap didikan dan teguran secara berhemah akan dipatuhi dan dihormati oleh masyarakat. Dalam konteks ini, sejarah biografi terunggul Nabi Muhammad (SAW) boleh dijadikan contoh terbaik kerana baginda amat dikenali sebagai seorang negarawan yang bersemangat patriotisme dan sentiasa menyeru umatnya agar cintakan tanah air sendiri. Baginda sebagai pemimpin dan ketua negara telah memberi penekanan khusus kepada umatnya agar sentiasa berakhlak mulia, taat beribadah kepada Tuhan, taat setia kepada negara dan taat kepada pemimpin.

9. Saya yakin dalam pembinaan negara bangsa, para guru perlu menanamkan perasaan kasih dan taat setia murid kepada pemimpin dan negara secara menyeluruh.  Inilah contoh pimpinan yang sebenar kerana bimbingan berterusan ini dapat menentukan anak didik menjadi manusia yang berguna, bertanggungjawab dan dapat memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.

 

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

10. Dunia pendidikan hari ini dipenuhi pelbagai cabaran untuk seorang yang bergelar guru.  Dalam abad ini, guru berhadapan dengan pemikiran dan kebolehan murid yang jauh berbeza dengan murid masa dahulu.  Kini, murid lebih mahir tentang penggunaan pelbagai gajet dan peralatan elektronik. Dengan itu, guru juga perlu seiring memiliki kebolehan menggunakan peralatan tersebut bagi memastikan murid menumpukan sepenuh perhatian dan minat mendalam untuk belajar.

11. Dasawarsa ini, guru berhadapan dengan keperluan pendidikan abad ke-21 yang semakin mencabar dalam bidang Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM) serta dasar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). Sejajar dengan itu, guru perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, isi kandungan, teknik pengajaran yang relevan dan kemahiran terkini bagi menyahut seruan kerajaan membina negara bangsa demi melahirkan modal insan cemerlang sebagai pewaris kepimpinan masa hadapan.

12. Saya percaya melalui pengajaran kelas abad ke-21 yang bercorak futuristik, fleksibel dan dinamik dalam pendidikan STEM dan TVET mampu menghasilkan generasi muda yang berupaya menangani cabaran masa ini dan masa hadapan agar tidak tenggelam dibawa arus kemajuan globalisasi, ledakan ilmu dan maklumat dalam dunia tanpa sempadan. Gurulah yang menjadi pemangkin dan berupaya membuat lonjakan kepada pembaharuan yang lebih cemerlang dan terbilang seterusnya memberikan impak signifikan untuk keberhasilan murid. Semoga dengan bimbingan para guru, hasrat kerajaan dalam pembinaan modal insan yang berkemahiran tinggi akan dapat direalisasikan dalam masa terdekat.

13. Pendidikan adalah tunjang kepada perpaduan negara, maka tidak dapat dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan negara. Sistem pendidikan yang dilaksanakan sehingga kini adalah sebagai usaha kerajaan untuk merealisasikan aspirasi negara bagi meningkatkan perpaduan kaum dan integrasi nasional dalam kalangan masyarakat negara ini.  Melalui pendidikan, kerajaan bukan sahaja mengutamakan transformasi ekonomi dan pembangunan semata-mata malah menyeimbangkan keperluan modal insan yang mampan bagi memperkukuh perpaduan kaum di Malaysia.

14. Sehubungan dengan itu, Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP) perlu diperluas dan dipertingkat agar semangat perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini dapat dipupuk bermula seawal peringkat prasekolah hinggalah peringkat lepasan menengah. Pelaksanaan program RIMUP memberi peluang kepada murid-murid pelbagai jenis sekolah berinteraksi melalui aktiviti integrasi dan perpaduan masyarakat berbilang kaum. Selain itu, KPM juga telah mewujudkan program perpaduan melalui penubuhan Sekolah Wawasan dan Asrama 1Malaysia serta bekerjasama menjayakan program anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di sekolah seluruh negara.

 

Para guru dan hadirin yang saya hormati sekalian,

15. KPM tekad untuk meneruskan usaha gigih mentransformasikan sistem pendidikan negara di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 kerana pelbagai cabaran harus ditempuh ke arah keberhasilan murid. Fokus utama Gelombang 2 (2016-2020) ialah melakukan perubahan struktur bagi mempercepatkan transformasi, manakala Gelombang 3 (2021-2025) akan menumpukan perhatian kepada peningkatan keluwesan operasi untuk menyemai budaya teladan rakan setugas ke arah kecemerlangan profesional. Sesungguhnya, bagi memastikan kita dapat merealisasikan sasaran kedua-dua Gelombang PPPM ini, kita semua perlu menerapkan budaya kerja berprestasi tinggi, meningkatkan keberhasilan dan akauntabiliti serta menambah baik kaedah pengurusan sekolah, daerah, negeri dan bahagian KPM.

16. Kita harus berbangga kerana PPPM 2013-2025 telah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa, justeru tanggungjawab kita adalah untuk memastikan pelan tersebut terus dilaksanakan dengan jayanya. PPPM ini telah dijadikan sumber rujukan oleh negara sedang membangun kerana impak pelaksanaan pelan tersebut secara komprehensif telah mengharumkan nama Malaysia sehingga diiktiraf dan diberi mandat menduduki Kerusi Lembaga Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

17. Sejak pelancaran PPPM bermula pada tahun 2013 hingga kini, KPM telah menjadi penanda aras pelbagai negara yang berminat untuk mempelajari cara kita membangunkan PPPM selaras dengan Education For All (EFA), dan Sustainable Development Goal (SDG) di bawah United Nations Development Plan. Kita telah menerima kunjungan hormat daripada pelbagai negara seperti Bhutan, Pakistan, Morocco, Sri Lanka dan Maghribi bagi mendapatkan maklumat terus mengenai PPPM.  Delegasi Jepun, Korea Selatan dan Finland turut memuji PPPM kerana mempunyai visi yang tinggi untuk meletakkan Malaysia antara sistem pendidikan terbaik dunia. Sementara itu, Myanmar telah mendapatkan khidmat kepakaran KPM bagi membantu mereka membangunkan pelan pembangunan pendidikan di sana.

18. Jelas sekali akses kepada pendidikan berkualiti yang dijanjikan dalam PPPM 2013-2025 telah meletakkan asas yang kukuh untuk membangunkan murid secara holistik dan bersedia untuk menjulang nama negara di persada antarabangsa. Kita berasa bangga kerana pengiktirafan antarabangsa bukan sahaja kepada kementerian, tetapi juga pengiktirafan terhadap kejayaan anak-anak dan guru-guru kita pada peringkat dunia dalam pelbagai bidang seperti sukan, kokurikulum, pengajaran dan pembelajaran serta pencapaian inovasi.

 

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

19. Hala tuju KPM jelas membuktikan bahawa kita berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan antara yang terbaik di dunia melalui PPPM 2013-2025. Selaras dengan itu, KPM menyediakan peluang yang luas kepada semua anak-anak di sekolah, Kolej Tingkatan 6, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru. Pelbagai kursus dan program ditawarkan selari dengan keperluan abad ke-21 bagi memenuhi permintaan pasaran global ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

20. Selain menumpukan kepada pencapaian dan keberhasilan murid, KPM turut peka dan prihatin terhadap kebajikan guru yang telah banyak berkorban masa, tenaga, wang ringgit dan tempat berkhidmat. Sehubungan dengan itu, KPM memperkenalkan beberapa inisiatif bagi mengurangkan bebanan, cabaran, kerencaman tugas dan emosi para guru yang dikasihi. Antara inisiatif tersebut termasuklah pelaksanaan dasar empowerment 90 peratus guru asal Sabah dan Sarawak untuk berkhidmat di negeri asal masing-masing, merasionalisasikan Skim Perkhidmatan Pegawai Pendidikan, dan mempermudahkan proses pertukaran guru.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

21. Penerapan nilai dan akhlak merupakan tunjang kepada pembentukan murid yang holistik selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Peranan ini bukan sahaja terletak di bahu pendidik malah merupakan tanggungjawab bersama sebagaimana termaktub dalam Anjakan 9 PPPM iaitu Sarana Ibu Bapa. Kementerian telah membuka pintu seluas-luasnya kepada pelibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta supaya berganding bahu memastikan anak-anak kita dilengkapi ilmu dan akhlak untuk menjadi warganegara yang dapat memberikan sumbangan kepada agama, bangsa, dan tanah air tercinta.  KPM amat menghargai usaha murni tersebut dan merakamkan ucapan tahniah kepada semua pihak yang telah berjaya merealisasikan anjakan ini. Semoga kerjasama erat yang sedia terjalin dapat diteruskan dengan lebih cemerlang demi keberhasilan murid.

22. Akhir kata, saya mengucapkan ribuan terima kasih atas komitmen dan pengorbanan yang dicurahkan oleh warga KPM. Keikhlasan dan kesabaran para pendidik dalam melahirkan modal insan yang holistik perlu diteruskan dan diharapkan mendapat ganjaran yang setimpal. Marilah kita berdoa semoga matlamat kerajaan untuk membina negara bangsa terlaksana dengan sempurna melalui pendidikan berkualiti. Sama-samalah kita melahirkan lebih ramai insan berketerampilan yang berjaya mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

Sekian. Wabillahitaufik walhidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Selamat Hari Guru. Terima kasih Cikgu!

 

YB DATO’ SERI MAHDZIR BIN KHALID

Menteri Pendidikan Malaysia

 

This post has already been read 8323 times!

Facebooktwittergoogle_plus
Facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram

Comments

comments