Bukalah minda dan hati, jadilah pendengar yang baik.

13495600_804137973021112_2256111481385155117_oJiwa pendidik yang telah sebati dalam diri menyebabkan saya lebih gemar mendekati dan berinteraksi secara bersemuka dengan segenap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, latar belakang dan budaya dalam siri lawatan ke lapangan. Sepanjang bulan Jun sempena Ramadan yang mulia, saya telah mengadakan lawatan ke banyak buah sekolah dan berbual dengan begitu ramai pemimpin sekolah, guru serta murid dan ibu bapa. Dalam masa yang sama, saya telah mengadakan perbincangan dengan pentadbir pendidikan di daerah yang dilawati, menghadiri majlis iftar serta berkesempatan juga melakukan kunjungan kepada mereka yang memerlukan perhatian dan bantuan. Interaksi saya dengan warga pendidikan dan masyarakat awam ini sebenarnya adalah satu pengalaman pembelajaran atau learning experience yang banyak mengajar saya tentang hubungan kemanusiaan antara pemimpin dengan yang dipimpin. Sebagai seorang Islam, tentunya saya berpegang kepada prinsip kepemimpinan yang berteraskan kepada Al-Quran dan Sunnah. Salah satu cara untuk menterjemahkan prinsip ini dalam amalan sebagai seorang pemimpin adalah dengan mempraktikkan kemahiran yang menjadi asas kepada komunikasi berkesan iaitu mendengar.

13528548_804412086327034_199238563850133286_oDalam penulisan lepas, saya telah menyentuh tentang pentingnya peranan pemimpin sekolah dalam memacu kecemerlangan institusi masing-masing. Saya turut memberi pandangan bahawa senario pendidikan masa kini dan masa hadapan adalah amat berbeza dengan latihan yang telah diperolehi sebelum ini. Sebagai pemacu transformasi pendidikan, tidak kira pegawai di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mahu pun pensyarah dan guru di institusi pendidikan di bawah KPM seperti di Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Matrikulasi dan sekolah, adalah penting untuk kita membudayakan kemahiran mendengar dalam amalan seharian kita.

Budaya ini sememangnya telah menjadi amalan di KPM. Transformasi pendidikan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah diperkukuh melalui Dialog Nasional Pendidikan Negara. Ketika itu, KPM mengambil langkah berani dengan mengadakan sesi townhall dan persidangan meja bulat di seluruh negara bagi mendengar hasrat serta cadangan rakyat untuk meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara. Dalam melaksanakan inisiatif di bawah PPPM, kita meneruskan amalan mendengar ini melalui Kajian Pertengahan Tahun melibatkan penggubal dasar dan pelaksana di peringkat negeri yang diadakan sejak 2013 bagi menilai status pencapaian dan menambah baik pelaksanaan inisiatif.

13533148_804614666306776_1169132962454929064_nSejak menerajui KPM hampir setahun yang lalu, amalan mendengar ini menjadi teras kepada tugas yang diamanahkan kepada saya. Setiap pihak, tidak kira rakan-rakan pentadbiran di KPM mahu pun guru-guru di seluruh pelosok negara, bebas untuk memberi maklum balas sama ada secara bersemuka atau melalui media sosial. Yang paling penting, saya mendengar maklum balas tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan kemampuan sedia ada dengan kerjasama rakan-rakan di KPM.

Contoh yang terbaru adalah apabila KPM mengambil keputusan untuk menangguhkan sementara pengunaan aplikasi I-Think selepas mendapat maklumbalas daripada pengguna iaitu para guru sendiri bagi memberi ruang kepada penambahbaikan. Seterusnya selepas itu saya mengambil keputusan untuk mengarahkan agar pihak di KPM yang bertanggungjawab dalam hal ehwal berkaitan ICT agar mengambil langkah-langkah penambahbaikan yang lebih konkrit dan bersepadu. Oleh kerana saya berpegang kepada prinsip asas komunikasi seperti yang dinyatakan iaitu mendengar, langkah menjemput guru-guru memberi pandangan dan maklumbalas juga dibuat melalui media sosial dan forum web yang diwujudkan sebagai rujukan yang diperolehi terus daripada pengguna di lapangan iaitu rakan-rakan guru.

Saya tertarik dengan beberapa respons yang diterima terhadap penulisan saya sebelum ini mengenai pemimpin sekolah. Saya percaya yang memberikan maklum balas tersebut adalah guru-guru muda yang bukan sahaja bijak menggunakan teknologi maklumat komunikasi dalam kehidupan seharian malah mempunyai semangat sebagai bakal pemimpin pendidikan. Saya bersetuju pemimpin muda perlu dibentuk dari sekarang untuk menjadi pemimpin masa hadapan seperti mana dikupas dalam Bab 5 PPPM 2013-2025.

13495478_803961793038730_4800860483909153937_oSeperkara yang menarik perhatian ketika mengadakan lawatan ke beberapa buah sekolah di Kedah baru-baru ini, saya mendengar luahan pentadbir sekolah dan guru-guru mengenai masalah kehadiran murid di sekolah berkenaan. Ianya berkait rapat dengan keadaan sosio-ekonomi keluarga pelajar tersebut. Saya dimaklumkan sejumlah murid tidak hadir ke sekolah kerana bekerja bagi membantu ibu bapa mereka.

Sekiranya kita melihat daripada sudut nilai, tentunya para pelajar ini telah mengamalkan nilai yang murni untuk membantu keluarga mereka. Namun begitu, sekiranya kita melihat daripada sudut hak pendidikan terhadap murid-murid terlibat, dalam hal sebegini seorang pemimpin sekolah mahu pun pemimpin pendidikan di daerah termasuk di peringkat negeri, perlu mempunyai pemikiran aras tinggi dalam menangani isu ini secara kreatif.

Pendidikan adalah tanggung jawab semua sebagaimana yang pernah saya nyatakan dalam penulisan sebelum ini. Bab 7 PPPM menjelaskan bahawa perlunya wujud satu sistem pembelajaran dalam komuniti melibatkan pelibatan sekolah, ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta yang berganding bahu, bekerjasama serta berusaha secara kolaboratif. Dalam menangani isu murid yang tidak hadir ke sekolah kerana terpaksa membantu ibu bapa, faktor kemanusiaan menjadi asas kepada jalan penyelesaian yang bakal memberi manfaat kepada semua pihak.

Pemimpin pendidikan perlu melihat isu ini secara holistik menggunakan data sedia ada bagi merangka strategi untuk membangunkan program pembelajaran yang diterajui oleh ibu bapa dan komuniti dengan kerjasama sektor swasta. Mendengarlah dengan minda dan hati yang terbuka. Saya sedar bahawa agak sukar untuk melawat lebih 10,000 sekolah di seluruh negara dan mustahil dapat bertemu dengan setiap seorang daripada lebih 420,000 warga pendidik yang mencurahkan bakti mendidik lebih lima juta murid di negara ini. Satu cara yang mudah untuk mendekati saya dan berkongsi pendapat serta maklum balas adalah melalui penggunaan media sosial.

13415374_798606666907576_2631210344705573108_oSaya bersyukur kerana sekurang-kurangnya saya mendapat maklumat secara langsung daripada warga pendidikan di seluruh negara, dari kawasan pendalaman di Baram, Sarawak hinggalah ke Gua Musang, Kelantan. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua. Sempena Ramadan yang diberkati ini dan Syawal yang menjelma, saya mengambil kesempatan untuk memohon ampun dan maaf di atas segala kekurangan serta kelemahan semasa menjalankan tugas sebagai Menteri Pendidikan.

Sememangnya banyak isu yang perlu ditangani, namun dengan usaha kolaboratif kita sebagai keluarga besar KPM, saya percaya kita mampu menjulang sistem pendidikan negara ke tahap yang dihormati di peringkat antarabangsa. Hasrat untuk melihat para pelajar kita mampu bersaing di peringkat global mampu dicapai dengan adanya iltizam dan komitmen tinggi kita semua.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1437H dan Selamat Bercuti saya ucapkan kepada semua warga pendidikan, para pelajar yang saya kasihi, para ibu bapa yang dihormati dan semua pihak yang menyokong pendidikan negara. Semoga kita akan kembali bertugas dengan semangat yang baharu. In shaa Allah.

This post has already been read 7048 times!

Facebooktwittergoogle_plus
Facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram

Comments

comments

One thought on “Bukalah minda dan hati, jadilah pendengar yang baik.

  • MOHON DATUK KOMEN PARA GURU DIPAKSA “BAYAR” LDP YANG DIANJUR PIHAK SEKOLAH YANG MELIBATKAN HARI CUTI GURU

Comments are closed.