Menerajui Perubahan: Kita tidak boleh tidak berubah demi sekolah!

13895227_825886394179603_8352045325464569612_nSetelah lebih setahun menerajui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), salah satu acara utama yang saya hadiri adalah Majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2015 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan Kajian Pertengahan Tahun PPPM.  Pelancaran Laporan Tahunan 2015 merupakan salah satu acara tahunan sebagaimana yang telah dijanjikan melalui Anjakan 11 PPPM bagi meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban awam secara langsung.

Penerbitan Laporan Tahunan ini sangat bermakna kerana semua pihak berkepentingan akan menikmati tahap ketelusan yang belum pernah wujud sebelum ini.  KPM telus dalam berkongsi maklumat tentang kemajuan inisiatif bagi membolehkan masyarakat umum terlibat dalam memberikan maklum balas sama ada secara bersemuka mahupun secara maya.  Komunikasi dua hala seperti inilah yang sering saya anjurkan agar bukan sahaja kita dapat membentuk masyarakat yang bermaklumat dan berupaya, tetapi juga menjurus kepada cara penggubalan dasar yang lebih bertanggungjawab dan lebih responsif dalam Kementerian.

14212098_842823325819243_1357683013320879623_nPerubahan ini adalah sesuatu yang perlu dilakukan bagi memastikan pendidikan kita dimartabatkan sebagai salah satu sistem pendidikan terbaik di dunia selepas 2025 nanti.  Bagi mencapai tujuan ini, tagline Menerajui Perubahan” telah dipilih untuk menaikkan semangat warga pendidikan menjayakan transformasi pendidikan.  Begitu kerap saya katakan sebelum ini, bahawa seiring dengan perubahan teknologi dan ekonomi dunia, kita tidak boleh tidak berubah.  Dalam Kementerian Pendidikan Malaysia sendiri, perubahan telah mula berlaku di setiap peringkat, daripada penggubal dasar sehinggalah kepada pelaksanaan di sekolah, selaras transformasi pendidikan yang direncanakan dan dilaksanakan di bawah PPPM.

Namun begitu, kita bukan sahaja perlu berubah, tetapi kita warga pendidikan perlu memulakan langkah untuk berubah dan memimpin perubahan tersebut.  Perubahan ini telahpun diterajui oleh kepimpinan tertinggi Kementerian apabila budaya kerja baharu telah dilaksanakan, terutama yang berkaitan dengan inisiatif khusus di bawah transformasi pendidikan.  Saya menyokong tindakan pantas Pengurusan Tertinggi yang mengadakan Mesyuarat Penyelesaian Masalah secara berkala untuk mengatasi sebarang isu yang timbul dengan cepat bagi mengelakkan kelewatan pelaksanaan.

14199239_842851839149725_5618649389706684520_nPenetapan KPI yang jelas diamalkan dan Kajian Pertengahan Tahun juga telah diadakan setiap tahun mulai 2013 untuk warga Kementerian berkongsi maklumat tentang kemajuan inisiatif serta mendapatkan maklum balas supaya setiap keputusan dicapai melalui konsep musyawarah.   Perubahan ini menunjukkan bahawa Kementerian sudah bersedia untuk mengubah cara bekerja dan membudayakan serta memimpin cara kerja baharu yang lebih berkesan – menerajui perubahan.

Dalam siri lawatan dan perbincangan saya di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri, saya dapat melihat perubahan yang berlaku dalam kalangan kepimpinan negeri sebagaimana yang telah diamalkan oleh Pengurusan Tertinggi Kementerian.  Saya dapati di Jabatan Pendidikan Negeri, pemimpin negeri dapat membentangkan isu berdasarkan data dan hujah konkrit  secara jelas dan terperinci.  Mereka juga dapat berkongsi kisah kejayaan di negeri masing-masing, dapat mengenal pasti masalah dan dapat mencadangkan bagaimana untuk mengatasi masalah tersebut dengan cara yang kreatif.

14199435_842760039158905_7100922232120148127_nSatu perkara yang menarik perhatian saya apabila saya berinteraksi dengan pemimpin pendidikan di peringkat negeri adalah keterbukaan mereka terhadap pelibatan agensi dan organisasi negeri dalam membantu sekolah atau daerah yang memerlukan intervensi khusus.  Satu contoh yang juga telah dikongsi di dalam Laporan Tahunan 2015 adalah program Trenglish yang dilaksanakan di Terengganu bagi membantu murid meningkatkan prestasi dalam subjek Bahasa Inggeris, melibatkan pelbagai agensi dan insitusi pendidikan tinggi di negeri tersebut.  Saya berharap pemimpin pendidikan di peringkat negeri dapat membantu pegawai di daerah dalam usaha mereka menerajui perubahan dalam pendidikan.

Begitu juga dengan Pejabat Pendidikan Daerah yang kini lebih proaktif membantu sekolah dengan memberikan intervensi berfokus berdasarkan keperluan.  PPD kini diberi pengupayaan daripada segi autonomi dan keluwesan operasi dalam membuat keputusan dan kebertanggungjawaban terhadap keberhasilan murid.   Mereka berkemahiran dalam mengenal pasti isu dan menganalisis punca isu, interpretasi data serta memberi sokongan terbeza kepada sekolah berdasarkan keutamaan impak.

Khidmat SIPartners+ dan SISC+ sangat membantu peningkatan prestasi sekolah sehingga sekolah-sekolah dalam Band 6 dan 7 di seluruh negara telah dapat dikurangkan secara signifikan.  Program Transformasi Daerah (DTP) yang dirintis di Kedah dan Sabah telah menunjukkan kejayaan yang membanggakan apabila keputusan peperiksaan UPSR negeri mengatasi purata kebangsaan secara konsisten.  Jelas bahawa dengan amalan kerja yang memerlukan konsensus serta semangat kolaboratif dapat memacu sekolah ke arah kejayaan yang diharapkan.

Di sekolah, jelas perubahan yang dibawa melalui Pembelajaran Abad ke-21 telah berjaya diaplikasi bagi menerapkan 6 Aspirasi Murid dalam kalangan murid kita.  Telahpun saya kongsi sebelum ini betapa saya kagum dengan kebolehan anak didik kita berinteraksi penuh yakin dengan orang yang lebih dewasa daripada mereka.   Jelas sekali guru-guru kita juga telah mengubah pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berfokus kepada keberhasilan murid.

IMG-20151107-WA0009Institut Pendidikan Guru (IPG) juga dalam proses melalui transformasi bagi menyediakan guru-guru terlatih yang berkualiti dan diiktiraf pada peringkat global. Justeru pensyarah IPG perlu menerajui perubahan dengan menjadi role model kepada guru-guru praperkhidmatan yang dilatih supaya mereka dapat disediakan dengan pedagogical content knowledge yang diperlukan untuk mengajar kemahiran berfikir aras tinggi yang diperlukan oleh murid di Malaysia serta membentuk akhlak dan sahsiah mereka.

Dalam penulisan sebelum ini, saya telah merakamkan penghargaan saya kepada Pengurusan Tertinggi Negara di atas kepercayaan yang diberi untuk memimpin Kementerian ini.  Saya sedar bahawa tanggungjawab ini menuntut saya untuk turut berubah – daripada segi pemikiran dan juga cara bekerja.  Setahun lebih di Kementerian banyak mengajar saya tentang pengurusan modal insan yang perlu dikendalikan dengan teliti, serta pelibatan dengan pemimpin pendidikan di peringkat antarabangsa yang perlu dilakukan dengan penuh diplomatik.  Berkat doa dan sokongan semua pihak, saya akan bersama-sama warga pendidikan menerajui perubahan demi  memartabatkan sistem pendidikan negara dan mendaulatkan maruah bangsa Malaysia.

14192523_839289439505965_305814324194424054_nSelamat Menyambut Hari Kebangsaan 2016 – Sehati Sejiwa.

“PENDIDIKAN ITU KEGEMBIRAAN, KETERBUKAAN DAN KEBAJIKAN”

This post has already been read 4488 times!

Facebooktwittergoogle_plus
Facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram