1 Bahasa, 1 Jiwa , 1 Bangsa – Bahasa Kebangsaan Bahasa Negara

 

poster

PELANCARAN BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2016 PERINGKAT KEBANGSAAN – 20 Oktober 2016

 Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

  1. Pertamanya, marilah sama-sama kita memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat kita bersama-sama menghadiri majlis yang amat signifikan dalam membina sebuah negara bangsa Malaysia iaitu Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2016 Peringkat Kebangsaan.
  1. Selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Bulan Bahasa Kebangsaan 2016, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Wilayah Persekutuan Malaysia atas kesudian menjadi tuan rumah sambutan kemuncak Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini. Sesungguhnya pemilihan Putrajaya amatlah bertepatan dengan fungsi dan peranannya sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan pusat penggerak pembinaan tamadun negara bangsa Malaysia.

Bahasa Kebangsaan Bahasa Negara

  1. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu menjadi lambang yang signifikan bagi kewujudan entiti politik yang dikenali sebagai negara Malaysia, menjadi asas jati diri bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan menjadi wahana perpaduan bangsa melalui komunikasi dalam pelbagai pengetahuan.
  1. Terdapat empat sebab bahasa Melayu dipilih sebagai Bahasa Kebangsaan sewaktu kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, iaitu:
  • Pertama, bahasa Melayu ialah bahasa kumpulan etnik yang paling besar;
  • Kedua, bahasa Melayu ialah bahasa setempat yang mampu memberikan keperibadian yang dapat memperlihatkan kenatifan rakyat asal, iaitu orang Melayu;
  • Ketiga, kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara yang terbukti daripada sejarah serta perkembangan lingua franca selama beberapa abad di rantau ini; dan
  • Keempat, bahasa Melayu merupakan bahasa pentadbiran kerajaan Melayu sebelum negara ini dijajah oleh kuasa Barat.
  1. Bahasa Melayu telah membuktikan keupayaan dan kejayaannya sebagai wahana untuk membina kehidupan nasional dan negara yang moden dan maju. Sejajar dengan tarafnya sebagai bahasa kebangsaan, sifat kebangsaan memang menyerlah apabila bahasa Melayu digunakan secara meluas oleh semua peringkat masyarakat tanpa mengira taraf sosial dan etnik.
  1. Sejak 59 tahun yang lalu, bahasa Melayu telah menjadi identiti kebersamaan, keharmonian dan persefahaman yang boleh diperkukuh ketika globalisasi semakin mencengkam segenap pelosok dunia.

 Bahasa Melayu Bahasa Global

  1. Kekuatan ini membuktikan bahawa bahasa Melayu pada hakikatnya telah berada pada landasan global dan tidak dibelenggu oleh sebarang masalah untuk muncul sebagai salah satu bahasa utama di Asia Tenggara dan rantau Asia Pasifik dengan jumlah penuturnya yang melebihi 280 juta orang.
  1. Bahasa Melayu perlu mengubah paradigmanya, daripada sekadar bersifat pembinaan kepada pengembangan, dan daripada sekadar bahasa negara kepada bahasa Nusantara yang bergerak dalam ruang global.
  1. Bahasa Melayu perlu dikembangkan dan disesuaikan dengan masyarakat global. Dalam hal ini, bahasa Melayu perlulah mempunyai kekuatan budaya di tengah-tengah dunia global yang menekankan prinsip perkembangan yang lebih luas, di samping meneruskan prinsip pembinaan.
  1. Jikalau bahasa Melayu ingin menjadi bahasa dunia, negara kita perlu menjadi tarikan dalam bidang tertentu dan bahasa Melayu memainkan peranan penting, seperti bahasa ilmu pengetahuan tinggi. Kita perlulah mencari sesuatu yang akan menjadikan negara kita sebagai negara yang ingin dikunjungi dan dipelajari budaya dan bahasanya.
  1. Golongan intelektual dan profesional negara harus menguasai bahasa utama dunia dalam usaha untuk menghasilkan generasi yang mempunyai ketokohan dan keterampilan yang tinggi, bukan sahaja dalam bidang ilmu yang dikuasai, tetapi juga daripada segi keupayaan berkomunikasi dan pelahiran idea pada peringkat global. Walau bagaimanapun, pada masa yang sama, perlu ada intelektual dan profesional yang mampu menjadi duta dalam penyebaran bahasa Melayu hingga peringkat global.
  1. Kepentingan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang perlu diberikan keutamaan kerana pada hakikatnya, tamadun yang endogenus, iaitu tamadun yang bertunjangkan identiti sendiri, yang tidak menyimpang daripada landasan asal usul budaya dan jati diri, perlu dibina.
  1. Barang diingat, bahasa Melayu pernah menarik minat pegawai tentera laut Rusia, A. Butakov yang pertama kali sampai di Pulau Pinang pada tahun 1842. Beliau sangat menyukai bahasa Melayu dan bahasa tersebut mirip dengan bahasa Itali. Butakov turut memuji orang Melayu yang didakwanya mempunyai ciri yang lebih mulia, jujur dan sentiasa menepati janji.
  1. Seorang lagi pengembara Rusia yang pernah tiba di Tanah Melayu pada tahun 1798, iaitu I.F. Kruzenstern, turut membawa pulang sesalinan naskhah “Sejarah Melayu” yang ditulis pada zaman kegemilangan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka (1400-1511) yang akhirnya diterjemahkan ke dalam bahasa Rusia pada tahun 2008. Judul dalam bahasa Inggeris berbunyi, “Sulalat-Us-Saalatin: Kruzenstern’s Malay Manuscript, its Cultural and Historical Value”.
  1. Pada abad ke-18 juga sebuah kamus komparatif daripada 180 bahasa dan loghat, termasuk bahasa Melayu, telah diterbitkan atas perintah Ratu Catherine Agung. Hal ini membuktikan perakuan golongan bangsawan asing terhadap kepentingan bahasa Melayu serta penghargaan bangsa asing terhadap garapan nilai keilmuan yang terdapat dalam bahasa Melayu.
  1. Kerajaan bersama-sama tiga negara serantau telah menubuhkan Majlis Kesepakatan Bahasa yang dinamakan sebagai Majlis Bahasa Brunei Darussalam Indonesia-Malaysia (MABBIM) bagi merancang dan menyelaraskan pembinaan bahasa Melayu, khususnya hal dasar, Pedoman Ejaan dan Pedoman Pembentukan Istilah, selain membuat penyelidikan, penulisan dan penyebaran bahasa.
  2. Selain itu, Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) ditubuhkan untuk menyelaraskan kegiatan kebahasaan dan persuratan Melayu pada peringkat antarabangsa yang mencakupi kerja perancangan dan pelaksanaan kegiatan, penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa asing, dan penggalakan serta pengiktirafan kepada tokoh yang menyebarluaskan bahasa Melayu.
  1. Model ini wajar diperluas pelaksanaannya agar bahasa Melayu menjadi lebih dikenali dan akan dipelajari oleh mereka yang berminat datang ke negara kita. Langkah ini bukan sahaja dapat menyebarkan bahasa Melayu, malahan menyebarkan tamadun dan budaya Melayu ke seluruh dunia. Melalui kata keramat “Bahasa Jiwa Bangsa”, maka kehebatan dan kegemilangan bangsa Melayu dan negara Malaysia turut dikenali pada peringkat antarabangsa.

Bahasa Jiwa Bangsa

  1. Bahasa dalam kehidupan sesuatu bangsa lazimnya diterima oleh masyarakat penutur dan pendengar sebagai norma penggunaan yang betul dan sah dalam percakapan, pembacaan serta penulisan. Setiap aspek bahasa yang digunakan itu harus melambangkan keperibadian bangsa penuturnya.
  1. Terdapat cabaran dalam menghayati “Bahasa Jiwa Bangsa” yang berpunca daripada timbulnya kesukaran bangsa Malaysia untuk memahami struktur bahasa yang digunakan oleh kelompok masyarakat Malaysia yang beraneka bahasa. Sementelahan itu, kita sukar untuk menerima perbezaan bahasa dan budaya antara dua generasi masyarakat Malaysia. Contohnya, antara bahasa slanga dalam kalangan remaja dengan bahasa halus generasi dahulu.
  1. Kepentingan bahasa dalam membentuk tamadun bangsa memang tidak dapat dinafikan. Maka, keperluan bahasa untuk mengungkapkan falsafah dan pemikiran, di samping menyebarkan ilmu pengetahuan, kebudayaan, kesenian, kemajuan dan tamadun bangsa, tidak harus dipinggirkan atau dipandang sepi.
  1. Cabaran kita sekarang, bagaimanakah hendak memastikan orang bukan Melayu ikut serta dalam kegiatan kebahasaan kerana masyarakat majmuk kita perlu diingatkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan kita?
  1. Saya difahamkan bahawa usaha Dewan Bahasa dan Pustaka mengadakan program meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid sekolah persendirian Cina mendapat sambutan dan kerjasama yang erat dari Gabungan Dewan Perhimpunan Cina Malaysia, Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus-pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Jong) dan Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF). Begitu juga persatuan penulis India di Malaysia yang turut memberikan kerjasama yang baik kepada Dewan Bahasa dan Pustaka dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan. Tidak ketinggalan juga, persatuan penulis pelbagai kaum di Sabah dan Sarawak yang turut memberikan sumbangan mereka dalam memartabatkan bahasa kebangsaan.
  1. Saya percaya bahawa usaha memartabatkan bahasa kebangsaan akan berkembang sekiranya program kebahasaan yang dilaksanakan menggambarkan latar belakang pelbagai kaum di negara ini. Program menterjemahkan buku seperti novel dan antologi atau kumpulan cerpen, sama ada daripada bahasa Mandarin atau bahasa Tamil ke dalam bahasa kebangsaan, boleh dilaksanakan untuk bacaan semua kaum di Malaysia. Melalui cara ini, setiap kaum dapat mengenali dan memahami bukan sahaja pemikiran kaum lain, malahan sensitiviti kaum itu sendiri. Secara tidak langsung, hal ini dapat mengelakkan kenyataan berbaur perkauman yang boleh menjejaskan keharmonian kaum di negara ini.

Cabaran Citra Bahasa Melayu

  1. Baru-baru ini Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzudin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah Al-Maghfur-lah bertitah dalam Majlis Titah Diraja pada 5 Oktober 2016 di Dewan Bahasa dan Pustaka. Titah baginda:

“Pada satu masa, atas dorongan semangat kemerdekaan yang memuncak, pelbagai Pihak Berkuasa Tempatan” telah menukar nama-nama jalan daripada nama tokoh-tokoh penjajah kepada para pemimpin tempatan. Hari ini, perkara yang terbalik sedang berlaku, semakin banyak kawasan perumahan, taman-taman, gedung niaga dan pusat pelancongan yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan dinamakan dengan bahasa Inggeris.”

 

  1. Teguran baginda harus dipandang serius. Oleh itu, pengisian sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan ini hendaklah mencerminkan kewibawaan dan keutuhan bahasa kebangsaan. Saya menyarankan agar bermula daripada saat sambutan ini, kita perhebatkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul, terutamanya di tempat awam. Hal ini penting kerana masyarakat umum mudah terpengaruh dengan cara dan gaya bahasa yang digunakan di tempat awam, termasuklah di papan iklan dan media massa. Kalau salah penggunaannya, maka masyarakat juga akan membuat kesalahan yang sama.
  1. Bagi memastikan usaha sederap dilaksanakan oleh pelbagai pihak dalam mengukuhkan jati diri anak watan berbahasa Melayu, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia, telah merangka Pelan Hala Tuju Pendidikan Bahasa Melayu (HTPBM) bagi tempoh 2016-2025. Antara inisiatif yang diambil dalam pelan hala tuju ini termasuklah:
  • Memastikan penggunaan bahasa Melayu standard dalam pendidikan bahasa Melayu pada semua peringkat.
  • Memperluas peranan pihak luar dalam menjamin persekitaran dan penggunaan bahasa Melayu standard.
  • Memperkukuh pendidikan bahasa Melayu dengan meningkatkan kemahiran berbahasa Melayu melalui kurikulum, kokurikulum dan penaksiran pada semua peringkat.
  • Memastikan kualiti guru sentiasa ditingkatkan melalui saringan dan latihan untuk menjamin kecekapan kemahiran berbahasa Melayu.
  • Meningkatkan jalinan kerjasama dan pelibatan pelbagai sektor dalam penyelidikan, penterjemahan dalam bahasa Melayu, penerbitan, pengkaryaan bagi memperkaya khazanah ilmu bahasa Melayu.
  1. Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan bertunjangkan paksi memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Tindakan memperkasakan bahasa kebangsaan menjadi fokus pertama dalam pembinaan dan pembentukan negara bangsa sebagai bahasa rasmi negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Dewan Bahasa dan Pustaka, dan Akta Pendidikan yang berasaskan Penyata Razak serta Laporan Rahman Talib. Kesemua akta ini menekankan serta menegaskan penggunaan dan kepentingan bahasa kebangsaan dalam mencorakkan bentuk dan wajah negara, bangsa dan bahasa yang berasaskan acuan kita sendiri. Dengan sokongan dan kerjasama semua pihak dalam menjayakan Bulan Bahasa Kebangsaan yang mengambil pendekatan sendiri “merakyatkan bahasa kebangsaan” dengan melibatkan penyertaan masyarakat berbilang kaum, saya percaya agenda murni Memperkasakan Bahasa Kebangsaan atas semangat 1Bahasa 1Jiwa 1Bangsa akan dapat kita laksanakan dan mencapai matlamatnya.
  1. Terima kasih kepada Jawatankuasa Pelaksana Bulan Bahasa Kebangsaan tahun ini, Kementerian Wilayah Persekutuan, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan semua pihak yang telah menyumbangkan idea dan tenaga bagi menjayakan pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2016.

Tingkap papan kayu bersegi,

Sampan sakat di Pulau Angsa;

Indah tampan kerana budi,

Tinggi bangsa kerana bahasa.

  

This post has already been read 394 times!

Facebooktwittergoogle_plus
Facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram

Comments

comments