Menerajui Perubahan: Meraikan Keberhasilan Murid

Setiap kali saya membuat lawatan ke sekolah dan  bertemu dengan murid, ia merupakan satu pengalaman yang sangat bermakna buat saya.  Setiap sekolah mempunyai identiti, budaya dan ethos yang unik; namun satu perkara yang sama menarik perhatian saya adalah keterujaan dan keyakinan murid dalam berkongsi pengalaman pembelajaran dengan saya.

Pernah dalam penulisan sebelum ini saya kongsikan perubahan yang dapat saya lihat pada murid-murid masa kini yang sememangnya berbeza dengan semasa saya menjadi pendidik dahulu.  Murid kini lebih berani berkongsi pendapat dengan orang lebih dewasa daripada mereka dan yakin untuk berinteraksi bila diberi peluang dan ruang.  Sebagai contoh ketika saya ke SMK Sultanah Bahiyah, Alor Setar, saya kagum dengan keupayaan murid Tingkatan Dua kerana mampu memberikan perspektif baharu mengenai Pendidikan Seni  yang saya yakin pengetahuannya melangkaui apa yang dipelajari di dalam bilik darjah.  Video interaksi ini telahpun dimuatnaik di laman Facebook saya.

14409423_852047511563491_7576657699855317178_oSMK Sultanah Bahiyah yang saya lawati pada pertengahan September lalu merupakan salah sebuah daripada lima sekolah di seluruh negara yang diiktiraf sebagai International Baccalaureate Schools (IB). IB World Schools ini adalah sekolah yang menggunakan kaedah dan pendekatan IB yang bertaraf dunia dengan menerapkan kurikulum kebangsaan.  Pendekatan pedagogi menekankan penggunaan aktiviti berasaskan projek dan teknik menyoal bagi membina keupayaan berfikir aras tinggi dalam kalangan murid, serta membolehkan mereka menggabung jalin pengetahuan daripada pelbagai disiplin.  Program IB dikendalikan oleh International Baccalaureatte Organisation (IBO) yang merupakan badan bukan kerajaan yang beribupejabat di Geneva, Switzerland.

Selaras dengan Anjakan 1 PPPM untuk Menyediakan Kesamarataan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti Bertaraf Antarabangsa, kita berbangga kerana kini negara mempunyai lima sekolah yang bertaraf dunia.  Sekolah yang pertama menerima pengiktirafan ini adalah SMK Sungai Tapang, Kuching, Sarawak – sebuah sekolah harian biasa, yang merupakan antara  antara 10 sekolah di Malaysia yang terlibat dalam International Baccalaureate Middle Years Programme (IBMYP) di bawah Agensi Inovasi Malaysia (AIM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia yang bermula pada 2013.  Empat buah sekolah lagi yang telah menerima pengiktirafan ini termasuk Kolej Melayu, Kuala Kangsar (MCKK), SMK Sultanah Bahiyah, Alor Setar, SMK Pantai, Labuan dan SMK Putrajaya Presint 9 (2).

Keadaan ini membuktikan bahawa sememangnya perubahan telahpun berlaku dalam sistem persekolahan kita.  Kini kita telah berupaya membangunkan murid sebagaimana yang dihasratkan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.  Dalam usaha menerapkan enam aspirasi murid, suasana di dalam bilik darjah telah berubah menjadi lebih dinamik, menarik dan kondusif bagi memupuk pembelajaran merentas disiplin untuk membolehkan perkongsian ilmu dan pengalaman pembelajaran. Keadaan ini sangat penting bagi menyemai kemahiran yang sememangnya amat diperlukan oleh murid untuk berjaya dalam kerjaya dan kehidupan mereka dalam abad ke-21.

Penerapan aspirasi ini menyumbang kepada pembangunan set pengetahuan dan kemahiran yang telah dikenal pasti sebagai 21st century skills di peringkat global.  Pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan kerap kali menekankan bahawa era pembelajaran secara hafalan semata-mata sudah berlalu kerana ilmu pengetahuan berada di hujung jari, justeru apa yang diperlukan oleh anak-anak kita ialah bagaimana untuk menggunakan ilmu ini untuk pembangunan sahsiah mereka.  Pada abad ke 21, kemahiran yang perlu ada untuk anak-anak kita berjaya adalah keupayaan mereka untuk bekerja secara berpasukan dan kolaboratif, kreatif dan imajinatif, berfikiran kritis dan mampu untuk menyelesaikan masalah.   Dalam konteks negara kita, anak-anak kita perlu diterapkan juga dengan nilai dan etika serta identiti nasional supaya seimbang ilmu dan akhlak mereka.

Kementerian menerajui perubahan untuk menganjak paradigma masyarakat Malaysia daripada terlalu berfokus kepada peperiksaan kepada satu sistem pendidikan bersepadu melibatkan segenap lapisan masyarakat untuk membangunkan murid secara holistik bagi menyediakan mereka untuk masa hadapan yang gemilang.    Sering kali saya katakana, dengan perkembangan teknologi yang begitu pesat mempengaruhi kehidupan kita hari ini, kita perlu memikirkan kemahiran dan nilai yang harus dimiliki oleh murid kita yang bakal mengharungi cabaran masa hadapan  yang kita tidak dapat bayangkan.  Perubahan lanskap pendidikan tinggi dan ekonomi juga menuntut anak-anak kita – bakal pemimpin generasi akan datang – supaya seimbang ilmu dan akhlaknya; justeru enam aspirasi murid perlu diterapkan kepada murid kita iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran dwibahasa, kemahiran memimpin, etika dan kerohanian serta identiti nasional

Sistem pendidikan di Malaysia terus berusaha memastikan setiap kanak-kanak warganegara kita mendapat peluang pendidikan yang sesuai pada masa yang tepat iaitu sejak lahir hingga ke alam kerjaya. Usaha tersebut menuntut keperluan melakukan beberapa anjakan dalam struktur sistem pendidikan.

Kementerian telah membangunkan sistem pendidikan yang luwes bagi menyediakan murid dengan laluan pendidikan yang bersesuaian dengan bakat, minat dan gaya pembelajaran masing-masing.   Kita menjangkakan  sistem pendidikan Malaysia akan berubah daripada pembelajaran sekolah kepada suatu sistem pembelajaran yang mengupayakan pelibatan ibu bapa dan komuniti supaya setiap murid berpotensi menikmati persekitaran pembelajaran yang paling sesuai dan berkesan.

Di bawah Economic Transformation Programme (ETP), lebih daripada satu juta pekerjaan memerlukan kemahiran dan kita telahpun menerangkan perkara ini dengan jelas dalam Bab 3 PPPM.  Oleh sebab itu,  kita memerlukan lebih ramai tenaga mahir untuk memenuhi keperluan industri dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga asing.  Rakyat kita digalakkan untuk menceburi bidang yang memerlukan kemahiran tinggi seperti sub-sea welding, industri minyak, penyelenggaraan pesawat ataupun industri kreatif seperti animasi dan fesyen yang merupakan industri bernilai berbillion ringgit.   Anak-anak kita yang menceburi bidang kemahiran ini kita galakkan untuk memasuki pasaran kerja terlebih dahulu kerana kepakaran teknikal mereka sangat diperlukan dalam industri. Pendidikan tinggi yang ditawarkan oleh Institut Pendidikan Tinggi pula adalah kesinambungan atau lanjutan kepada ilmu yang dituntut sebelumnya.

Masyarakat terutama ibu bapa perlu menyedari bahawa apabila anak-anak mereka mula bekerja, tidak bermakna peluang untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi berhenti di situ.  Kerajaan sangat menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat yang boleh diperolehi pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja secara bersemuka atau dalam talian.  Mereka yang berkemahiran dalam bidang masing-masing berpeluang untuk mendapat ijazah, ijazah sarjana dan di masa hadapan, PhD dalam bidang mereka melalui Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) di bawah Malaysia Qualifications Agency (MQA) di insitusi pendidikan tinggi negara.  Anak-anak kita yang memilih untuk ke Kolej Vokasional dalam bidang teknikal dan vokasional tidak seharusnya gusar dengan peluang mereka untuk melanjutkan pelajaran kerana boleh berbuat demikian seawal selepas dua tahun bekerja menerusi APEL.

Dalam menyediakan anak-anak kita untuk mendepani cabaran abad ke 21, sudah tentulah guru-guru memainkan peranan yang sangat penting.  Peranan guru sekarang sudah berubah daripada menyampaikan ilmu kepada murid kepada memudah cara proses pembelajaran dengan pelibatan aktif murid secara berkumpulan.   Saya sendiri melihat bagaimana guru kita kini menggalakkan murid untuk berusaha mencari maklumat di luar bilik darjah melalui pelbagai sumber dan medium seperti Internet, tinjauan di lapangan dan seumpamanya.  Mereka juga lebih bersifat terbuka dalam bekerjasama dengan ibu bapa murid kerana mereka sedar bahawa keberhasilan murid memerlukan kerjasama kolektif daripada semua pihak.

Dalam kesempatan ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada guru-guru dan pemimpin sekolah yang telah berjaya mentransformasi pendidikan kita dengan berfikiran jauh memandang ke hadapan.  Untuk berubah memang bukan mudah, tetapi saya berbangga dengan warga pendidikan kita yang mampu melakukannya.  Tahniah juga kerana berjaya memupuk jalinan kerjasama yang erat dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta yang dapat memperkukuh pembangunan anak-anak kita.

Kementerian telah menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti melalui transformasi pendidikan di bawah PPPM 2013-2025 untuk meletakkan negara antara satu pertiga teratas sistem pendidikan terbaik di dunia.  Ini disambut pula dengan PPPM Pendidikan Tinggi 2015-2025 yang akan mengubah lanskap pendidikan tinggi dalam dunia tanpa sempadan.  Peperiksaan yang bakal menjelang bukanlah penentu segalanya,  ia adalah langkah pertama ke arah pembentukan sahsiah dan jati diri anak-anak kita sebagai warga yang dapat menyumbang kepada negara yang kita cintai.

Saya mengucapkan selamat berjaya kepada semua anak-anak dan bersama-samalah kita menerajui perubahan demi memastikan kualiti pendidikan kita dimartabatkan.

 

This post has already been read 2973 times!

facebooktwittergoogle_plus
facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram

2 thoughts on “Menerajui Perubahan: Meraikan Keberhasilan Murid

  • Kita pembina genarasi masa hadapan yang penuh dengan halangan dan hambatan yang perlu diterjemah dalam pdp abad ke 21.Kita bersama memikul tanggungjawab dan amanah tersebut.Sabar dan dedikasi antara ramuan terbaik.

  • Terima kasih DS … coretan yg sangat bermanfaat utk semua warga pendidikan dalam menghayati PPPM 2013-2025.. kita kini telah pun berada dalam gelombang ke-2 PPPM, semoga apa yg tercatat dlm PPPM akan terlaksana dengan jayanya. Kami di peringkat akar umbi akan sedaya upaya memastikan hasrat tersebut tercapai.

Comments are closed.