Menerajui Perubahan: Imbasan 2016,Melangkah Ke 2017

2016 merupakan tahun yang sangat mengujakan untuk Kementerian Pendidikan Malaysia. Semasa perutusan sulung saya untuk tahun 2016, selain daripada berkongsi kejayaan Kementerian, saya juga telah menegaskan bahawa komunikasi dua hala menjadi teras kepada perkhidmatan saya di Kementerian ini. Saya amat bersyukur kerana pelbagai saluran telah dimanfaatkan untuk menyampaikan maklumat kepada warga pendidikan serta untuk saya dan rakan-rakan di Kementerian menerima maklum balas daripada segenap lapisan masyarakat.

Setahun Sudah Berlalu
Dalam masa setahun ini, pelbagai kejayaan telahpun diperoleh murid, guru dan organisasi pendidikan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam bidang akademik, kokurikulum dan sukan. Kita berbangga dengan kejayaan atlit kita yang menyumbang kepada pungutan pingat Olimpik dan Paralimpik negara pada 2016. Kita kagum dengan pencapaian murid yang telah mengharumkan nama negara dalam pelbagai pertandingan di peringkat antara bangsa. Kita juga menghargai sumbangan guru-guru kita yang telahpun mencapai tahap global dalam pedagogi inovatif dan kreatif.

Tahun ini juga kita telah berhadapan dengan pelbagai isu pendidikan – daripada isu baik pulih sekolah hingga kepada isu pentaksiran antarabangsa yang mendapat perhatian masyarakat. Saya berterima kasih di atas sebarang komen, kritikan dan cadangan terhadap pendidikan negara. Saya berpandangan bahawa sebarang komen yang dibuat, walaupun agak keras, adalah hasil daripada keprihatinan semua pihak yang begitu mementingkan pendidikan berkualiti untuk anak-anak kita.

Anjakan 1: Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.
Dalam penulisan sebelum ini, saya menzahirkan rasa bangga dengan peningkatan pencapaian murid kita dalam pentaksiran antarabangsa TIMSS dan PISA. Jelas bahawa dalam kedua-dua pentaksiran ini, skor murid meningkat dengan ketara, sekaligus menunjukkan bahawa usaha yang dijalankan oleh Kementerian di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025) telah membuahkan hasil yang ketara. Namun begitu saya kesal dengan polemik mengenai PISA apabila ada pihak yang mempertikaikan mengapa negara kita tidak memasuki ranking negara-negara yang mengambil bahagian walaupun telah diperjelaskan oleh pihak OECD sendiri.

Saya lebih kesal lagi apabila pihak tertentu langsung tidak mengiktiraf kejayaan murid kita yang telah mengharumkan nama negara dalam pentaksiran antarabangsa ini. Kita boleh berbangga kerana kebolehan dan keupayaan murid kita sekarang adalah bertaraf dunia. Ingatlah bahawa kejayaan ini adalah hasil daripada usaha kolektif guru, pentadbir sekolah, pengurus pentaksiran dan ibu bapa yang memberikan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap murid yang telah terpilih untuk menduduki pentaksiran ini.

Anjakan 11 – Memaksimumkan Keberhasilan Murid Bagi Setiap Ringgit
Pembentangan Bajet 2017 oleh YAB Perdana Menteri pada 21 Oktober 2016 lalu merupakan satu acara penting yang memang dinantikan oleh setiap rakyat Malaysia, termasuk kami di Kementerian Pendidikan. Sebagaimana yang telah dinyatakan dalam PPPM 2013-2025, setiap tahun kerajaan secara tekal memperuntukkan sumber yang banyak bagi membangunkan sistem pendidikan. Komitmen untuk menyediakan pendidikan terbaik bagi semua murid telah menjadi asas kejayaan yang telah dicapai oleh sistem pendidikan negara. Seawal 1980, perbelanjaan negara untuk pendidikan rendah dan menengah sebagai peratusan KDNK, adalah yang tertinggi di Asia Timur.

Pelaburan yang signifikan ini jelas menunjukkan komitmen Kerajaan terhadap pendidikan dan Kementerian ini bertanggungjawab untuk memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit sebagaimana yang dijanjikan dalam PPPM 2013-2025.

Umum mengetahui bahawa sebahagian besar perbelanjaan mengurus daripada bajet yang diperuntukkan kepada Kementerian adalah untuk emolumen. Peruntukan untuk emolumen ini secara konsisten melebihi 80% daripada agihan bajet keseluruhan memandangkan terdapat tenaga kerja yang besar yang bernaung di bawah Kementerian ini, termasuk lebih 400 000 guru-guru yang berkhidmat di seluruh negara.

Oleh kerana kurang daripada 20% adalah untuk pembangunan pendidikan, bagi memaksimumkan keberhasilan, Kementerian telah mula melaksanakan pengagihan peruntukan secara rintis bagi tahun 2013 berpandukan prinsip pelaksanaan Bajet Berasaskan Keberhasilan (Outcome Based Budgeting, OBB). Kini OBB telah menjadi budaya dalam pengurusan kewangan di Kementerian. Sebagai contoh pada tahun 2015, Kementerian telah berjaya menjajarkan semula sebanyak RM18 juta atau 29% peruntukan bukan emolumen kepada aktiviti yang memberi impak besar terhadap keberhasilan murid.

Berdasarkan usaha yang diambil oleh Kementerian untuk mentransformasikan sistem pendidikan, adalah penting peruntukan diagihkan semula mengikut keutamaan yang telah ditetapkan dalam PPPM dengan memberi tumpuan kepada program inisiatif yang berimpak tinggi.

Penyesuaian fungsi IPG bagi insiatif TVET
Bagi tahun 2017, Kerajaan telah memperuntukkan RM4.6 bilion kepada institusi-institusi TVET. Dalam usaha memperluas akses dan meningkatkan kualiti laluan pendidikan di bawah Anjakan 1 PPPM, Kementerian terus komited untuk memberi tumpuan kepada peningkatan laluan pendidikan vokasional dengan kerjasama rakan industri. Melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), YAB Perdana Menteri telah mengumumkan langkah untuk mengoptimakan aset Kerajaan dengan mengubah suai sembilan (9) buah IPG menjadi institusi TVET – empat buah akan menjadi Kolej Vokasional, empat buah IPG dijadikan Politeknik manakala sebuah lagi akan dijadikan pusat latihan jurulatih TVET.

Saya sedar bahawa pengumuman ini agak mengejutkan terutama kepada warga IPG yang masih tertanya-tanya bagaimana mereka akan terkesan dengan perubahan ini. Namun begitu saya ingin menegaskan di sini bahawa pengurangan ambilan guru pelatih secara berperingkat sehingga 50% dalam tempoh lima tahun sejak 2013 sudahpun dinyatakan dengan jelas dalam Bab 5 PPPM 2013-2025. Berbanding dengan ambilan seramai 5, 082 pelatih Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) pada tahun 2010, jumlah ini berkurangan sebanyak 53% kepada 2, 902 guru pelatih pada tahun 2015. Langkah pengurangan ambilan guru ini adalah ekoran lanjutan umur persaraan serta mengambil kira nisbah guru-murid secara optimum, dan 16 kampus IPG sememangnya mampu menampung ambilan guru pelatih.

Saya ingin menasihatkan semua warga IPG supaya tidak mempercayai sumber maklumat yang tidak sahih yang telah disebarkan melalui media sosial. Kementerian telahpun mengeluarkan kenyataan rasmi pada 29 Oktober 2016 memaklumkan bahawa senarai sembilan IPG tersebut masih belum dimuktamadkan. Setakat ini dua IPG sahaja yang telah dikenal pasti menjadi Pusat Permata Negara iaitu IPG Kampus Raja Melewar dan IPGK Tuanku Bainun seperti yang dimaklumkan dalam Ucapan Bajet. Kedua-dua IPG ini dipilih kerana Pendidikan Awal Kanak-Kanak memang menjadi bidang kebitaraan kampus tersebut.

Saya amat faham tentang kegusaran rakan-rakan pensyarah terutamanya mengenai ke mana arah mereka sekiranya tidak ditempatkan di IPG. Sebagai penjawat awam, sudah tentulah penempatan akan tertakluk kepada arahan sebagaimana yang telah ditetapkan dalam Perintah Am perkhidmatan. Namun begitu Kementerian sentiasa mengambil kira faktor kemanusiaan dalam perkara yang melibatkan warga pendidikan dan sentiasa akan berusaha untuk memberikan yang terbaik walaupun terdapat pelbagai kekangan. Saya yakin perkara ini akan dapat diselesaikan segera dengan cara yang terbaik demi memastikan kelangsungan transformasi pendidikan negara.
Laluan Pendidikan yang Pelbagai
Penerapan Enam Aspirasi Murid menyumbang kepada pembangunan set pengetahuan dan kemahiran yang telah dikenal pasti sebagai 21st century skills di peringkat global. Oleh kerana ilmu pengetahuan berada di hujung jari, anak-anak kita memerlukan bimbingan dan didikan untuk menggunakan ilmu ini bagi pembangunan sahsiah mereka. Kita perlu membangunkan keupayaan mereka untuk bekerja secara berpasukan dan kolaboratif, kreatif dan imajinatif, berfikiran kritis dan mampu untuk menyelesaikan masalah untuk mereka berjaya pada masa hadapan.

Sistem pendidikan di Malaysia terus berusaha memastikan setiap kanak-kanak warganegara mendapat peluang pendidikan yang sesuai pada masa yang tepat iaitu sejak lahir hingga ke alam kerjaya. Usaha tersebut menuntut keperluan melakukan beberapa anjakan dalam struktur sistem pendidikan.

Kementerian telah membangunkan sistem pendidikan yang luwes bagi menyediakan murid dengan laluan pendidikan yang bersesuaian dengan bakat, minat dan gaya pembelajaran masing-masing. Kita menjangkakan sistem pendidikan Malaysia akan berubah daripada pembelajaran sekolah kepada suatu sistem pembelajaran yang mengupayakan pelibatan ibu bapa dan komuniti supaya setiap murid berpotensi menikmati persekitaran pembelajaran yang paling sesuai dan berkesan.

Pendidikan di negara kita kini beranjak daripada berorientasikan peperiksaan kepada pentaksiran yang lebih holistik selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Dalam media sosial saya telah melontarkan idea tentang mengkaji semula pelaksanaan UPSR secara pentaksiran pusat berbentuk ‘high stake’. Saya menghargai pandangan yang diberi dan masih lagi meneliti respon daripada warga pendidik dan masyarakat yang berkongsi pendapat mengenai perkara ini.
Infrastruktur Pendidikan
Dalam Sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara baru-baru ini saya kerap diajukan dengan soalan mengenai baik pulih sekolah-sekolah daif. Kementerian sentiasa peka terhadap keadaan infrastruktur pendidikan di seluruh negara dalam memastikan anak-anak kita dapat mengikuti proses PdP dalam persekitaran yang kondusif.

Daripada 10,180 buah sekolah rendah dan menengah yang terdapat di seluruh negara, Kementerian sangat prihatin dengan keadaan bangunan sekolah-sekolah yang telah dikenal pasti sebagai daif. Bagi mengatasi masalah tersebut, dalam Rolling Plan 2 Rancangan Malaysia Ke-11, Kementerian telah mengangkat permohonan kepada Agensi Pusat untuk membaik pulih serta membina bangunan gantian ataupun tambahan melalui kaedah Industrialized Building System (IBS).

Sebagai permulaan, projek sekolah daif secara IBS bagi FASA 1 telah mula dilaksanakan dalam tahun 2016 yang melibatkan 46 buah sekolah daif di Sarawak. Daripada 46 buah sekolah, 5 projek telah siap sepenuhnya, 15 projek sedang dibina manakala 26 buah projek dalam proses kelulusan rundingan terus daripada Kementerian Kewangan. Selain itu, Kementerian juga berhadapan dengan situasi di mana, sekolah kekurangan peruntukan untuk membaik pulih kerosakan kecil, dan penyelenggaraan perkhidmatan. Dalam hal ini, Kementerian sangat menghargai usaha dan kerjasama daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang banyak membantu dalam baik pulih kerosakan kecil dan penyelenggaraan.

Saya tidak menafikan bajet pada tahun ini hanya boleh menyelesaikan hampir 20% sahaja baikpulih sekolah daif. Walau bagaimanapun, sebagaimana yang telah saya maklumkan dalam ucapan penggulungan Bajet 2017 di Parlimen, sebanyak 120 buah sekolah daif telah luluskan peruntukannya untuk pelaksanaan tahun 2017. Usaha baikpulih ini termasuk 30 buah sekolah di Sarawak, 30 buah sekolah di Sabah dan 60 buah sekolah di Semenanjung. Kementerian telahpun memberikan keutamaan.


Melangkah ke hadapan: 2017

Tahun 2017, sebagaimana yang dijanjikan di dalam PPPM 2013-2025, Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula dilaksanakan pada 2017. Kurikulum sekolah rendah dan menengah perlu disemak bagi mengimbangi set ilmu pengetahuan dan kemahiran seperti pemikiran kreatif, inovasi, penyelesaian masalah, dan kepimpinan.

Kurikulum ini memberi penekanan kepada pengajaran berpusatkan murid dan pengajaran yang dibezakan, di samping turut memberi lebih penekanan kepada penyelesaian masalah, tugasan berasaskan projek, memperkemas mata pelajaran atau tema, dan melaksanakan pentaksiran formatif. Selaras dengan usaha ini, Kementerian telahpun merombak peperiksaan kebangsaan dan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) untuk meningkatkan secara berperingkat peratusan soalan yang mentaksir kemahiran berfikir aras tinggi.

Murid yang memerlukan bimbingan tambahan telah dan akan terus mendapat akses kepada bantuan yang bersesuaian dengan keperluan, bagi menjamin kejayaan mereka di sekolah. Guru berkualiti dan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di sekolah-sekolah bagi memastikan murid di seluruh negara dibangunkan secara holistic selaras Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Pendidikan adalah milik dan tanggungjawab bersama, justeru marilah kita berusaha memastikan matlamat untuk meletakkan negara kita antara sepertiga teratas dalam kalangan negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik dunia melalui pentaksiran antara bangsa selepas 2025 nanti menjadi kenyataan. Saya amat berharap supaya kita sebagai rakyat Malaysia, dapat bersama-sama dalam menyediakan persekitaran yang selesa demi menyediakan pendidikan berkualiti untuk anak-anak generasi masa akan datang.


Semoga tahun 2017 ini bakal mencatat kecemerlangan dan kegemilangan dalam pendidikan negara demi membangunkan generasi bangsa Malaysia yang bakal membawa negara ke mercu kejayaan.

SELAMAT TAHUN BAHARU 2017

@mahdzirkhalid 

This post has already been read 2725 times!

facebooktwittergoogle_plus
facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram