Jelajah Pendidikan-Platform terbaik masyarakat berinteraksi dengan KPM

“Saya menghargai setiap luahan, pandangan dan komen yang diterima, dan kami akan sentiasa menambah baik inisiatif yang sedang dijalankan berdasarkan maklum balas yang diterima.”

PERASMIAN PROGRAM JELAJAH PENDIDIKAN 2017 KPM 2017-25 Februari 2017


Kementerian Pendidikan Malaysia meneruskan tradisi untuk menyebarluas maklumat dan berkongsi usaha-usaha memartabatkan pendidikan negara.  Outreach yang lebih luas dan kerap dilaksanakan pada tahun ini bagi menunjukkan komitmen kerajaan dalam menyediakan murid yang dapat menghadapi cabaran alaf ke-21 dan bersedia menjadi warga yang dapat merealisasi aspirasi negara dalam Transformasi Nasional 2050.

Masyarakat seluruh negara berpeluang melihat sendiri transformasi pendidikan negara melalui pelaksanaan insiatif di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Kementerian menggunakan pendekatan mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan dan mengekalkan program yang berimpak tinggi. Program Jelajah Pendidikan 2017 merangkumi empat (4) komponen utama iaitu:

  • Pameran dan showcase kejayaan murid di negeri serta khidmat nasihat Kementerian selama dua hari.
  • Program Penerangan Dasar Kementerian.
  • Program Dialog Bersama-sama Menteri Pendidikan.
  • Sesi Perbincangan Meja Bulat dengan pihak berkepentingan.

Program-program ini akan memberikan peluang kepada Kementerian untuk mendekati masyarakat di negeri Kedah dan sekitar dengan berkongsi kejayaan serta mendapatkan pandangan serta maklum balas terhadap usaha Kementerian dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti. 

Program ini merupakan satu bentuk interaksi secara langsung Kementerian Pendidikan Malaysia dengan masyarakat setempat, yang bertujuan memberikan penerangan dan penjelasan mengenai perkhidmatan dan peluang yang terdapat dalam sistem pendidikan di negara ini. Tentunya, program turun padang seperti ini memerlukan kerjasama yang berkesan pelbagai pihak tidak kira daripada peringkat pusat, mahupun di negeri dan daerah. 

Tanpa kerjasama yang erat, proses penataran dan penyebaran maklumat tidak dapat dilaksanakan secara berkesan, dan atas keupayaan untuk membentuk kerjasama sebagai satu pasukan itu, saya berbesar hati, apa yang kita laksanakan mendapat faedah dan manfaat yang besar kepada masyarakat umum.

Dalam kesempatan ini, saya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada Unit Komunikasi Korporat dan Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) Kementerian Pendidikan Malaysia serta Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Muda Yan (KMY) kerana memberikan komitmen yang tinggi bagi menjayakan program ini.

MENERAJUI PERUBAHAN
Membawa slogan “Menerajui Perubahan“ program Jelajah Kementerian Pendidikan Malaysia memberi fokus kepada showcase kejayaan KPM membangunkan murid yang bersedia mendepani cabaran global dan mempunyai Enam Aspirasi di mana kementerian telah menyediakan kurikulum selaras dengan standard antarabangsa, pentaksiran yang holistik, guru dan pentadbir berkualiti serta akses kepada pelbagai laluan pendidikan abad ke-21 dengan kerjasama ibu bapa, komuniti dan sektor swasta.

Selama dua hari ini, warga Sungai Petani khasnya dan negeri Kedah amnya disajikan dengan kejayaan hasil daripada transformasi pendidikan negara di bawah PPPM 2013-2025.  Lihatlah hasil daripada perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan kita yang bakal menyediakan anak-anak kita mendepani cabaran masa hadapan.

PLATFORM BERSEMUKA DENGAN KEMENTERIAN

Pagi tadi, warga pendidikan serta wakil PIBG telah diberi input mengenai dasar Kementerian dalam Program Penerangan Dasar Kementerian yang merupakan sesi interaksi dua hala antara pegawai-pegawai Kementerian dengan para jemputan.  Tahun ini Kementerian memberi fokus kepada peningkatan penataran kepada guru-guru – daripada maklumat mengenai kurikulum, pentaksiran sehinggalah kepada peluang melanjutkan pelajaran dan kenaikan pangkat.  Sekiranya ada rakan-rakan kita yang masih dahagakan maklumat, silalah berkunjung ke kawasan Khidmat Nasihat Kementerian di Amanjaya Mall ini.

Warga pendidikan dan masyarakat setempat diberi peluang untuk memberikan maklum balas kepada saya sendiri dalam Program Dialog Bersama-sama Menteri Pendidikan.  Saya menghargai setiap luahan, pandangan dan komen yang diterima, dan kami akan sentiasa menambah baik inisiatif yang sedang dijalankan berdasarkan maklum balas yang diterima.  Pada malam ini Kementerian akan mengadakan sesi bersemuka dengan pihak berkepentingan di negeri Kedah ini dalam satu Perbincangan Meja Bulat Pendidikan yang akan dipengerusikan oleh YBhg Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.
Di Amanjaya Mall ini, Kementerian akan berkongsi pencapaian, kejayaan dan kreativiti murid kita di bawah sistem pendidikan alaf baharu ini.  Lihatlah sendiri perubahan yang berlaku dalam cara anak-anak belajar melalui showcase murid yang dibawa khas daripada pelbagai jenis sekolah yang ada di sini.  Kita juga menyediakan Khidmat Nasihat supaya masyarakat mendapat maklumat terus daripada Kementerian.  Saya menyeru masyarakat di sini supaya mengambil peluang sepenuhnya kerana semua ini kita sediakan untuk anda.

Jelajah Pendidikan ini adalah platform terbaik kepada masyarakat untuk bersemuka bagi bertanyakan pelbagai persoalan berkaitan pendidikan sama ada di peringkat prasekolah sehingga di peringkat lepas menengah.  Program ini merupakan sebuah one stop centre kepada masyarakat untuk berinteraksi dengan pihak Kementerian. Malah dengan adanya program ini, diharapkan pelbagai masalah berkaitan isu pendidikan dapat diselesaikan dengan segera.

Saya menyeru kepada semua yang hadir pada hari ini dan di program Jelajah Pendidikan di negeri lain pada masa akan datang supaya dapat mengambil kesempatan yang ada untuk mengajukan apa sahaja kemusykilan atau mengemukakan apa jua komen dan cadangan. Kami di Kementerian sentiasa bersedia menghulurkan bantuan dan bersedia menerima apa jua teguran dan pandangan yang membina daripada tuan-tuan dan puan-puan.

 

Syabas dan tahniah saya ucapkan sekali lagi kepada warga kerja yang bertungkus lumus menjayakan program ini khususnya Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan PPD Kuala Muda Yan.  Tidak dilupakan juga kepada jabatan / agensi kerajaan di Negeri Kedah yang telah membantu dan memberikan komitmen penuh dalam menjayakan Jelajah Pendidikan 2017.

Sekian, terima kasih.

Pautan Foto Jelajah Pendidikan KPM 2017

Pautan Foto Jelajah Pendidikan KPM 2017

This post has already been read 252 times!

Facebooktwittergoogle_plus
Facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram

Comments

comments