Mengangkat martabat pendidikan Tingkatan 6.

” Seperti yang kita sedia maklum, bahawa sijil STPM diiktiraf oleh Cambridge Assessment, United Kingdom, iaitu setaraf peringkat A-level. Apabila Cambridge Assessment mengiktiraf STPM, maka sijil ini mendapat pengiktirafan antarabangsa.”


Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2016 dikeluarkan pada hari ini. Tahniah saya ucapkan kepada 42,546 orang pelajar yang lulus penuh dalam peperiksaan STPM 2016 serta 575 pelajar yang mendapat 5A dan 4A dalam mata pelajaran yang diduduki.

Secara keseluruhannya saya amat berbangga dengan pencapaian pelajar dalam peperiksaan STPM 2016 yang menunjukkan peningkatan, bukan sahaja daripada segi peratusan pelajar yang lulus penuh, tetapi juga daripada segi Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) negara yang meningkat daripada 2.65 pada STPM 2015 kepada 2.71 pada STPM 2016. Suatu lonjakan yang tinggi.

Saya yakin seluruh ahli keluarga, guru-guru, dan masyarakat juga turut merasa bangga dengan keputusan tersebut. Justeru, sekalung tahniah kepada semua ibu bapa atas kecemerlangan anak-anak mereka. Sesungguhnya sokongan ahli keluarga amat perlu bagi melonjakkan pencapaian pelajar. Kejayaan ini sebenarnya amat rapat dengan sikap guru dan keluarga. Dalam erti kata lain, kecemerlangan yang dicatatkan oleh para pelajar ini sebahagiannya adalah hasil titik peluh dan usaha gigih guru dan keluarga.

Ini juga menunjukkan bahawa usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, terutama dalam mentransformasi dan memperkasakan pendidikan Tingkatan Enam secara tidak langsung telah meningkatkan prestasi guru dan pelajar untuk berusaha bagi mencapai kecemerlangan. Transformasi sistem pentaksiran STPM turut memainkan peranan sebagai pemangkin kepada keupayaan warga sekolah meningkatkan prestasi sekolah masing-masing sekali gus menyumbang kepada kecemerlangan para pelajar.

Selain daripada itu, keputusan yang diperoleh hari ini juga menunjukkan bahawa jurang pencapaian antara pelajar bandar dan luar bandar telah dapat dikurangkan. Ini memberi petunjuk bahawa peluasan dan keberkesanan sistem pendidikan serta dasar yang diamalkan oleh KPM telah berjaya memberi peluang pendidikan berkualiti kepada semua lapisan masyarakat. Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa berusaha secara berterusan dalam meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara. Jadi, pencapaian keputusan STPM ini menjadi petunjuk kepada usaha KPM.

Seperti yang kita sedia maklum, bahawa sijil STPM diiktiraf oleh Cambridge Assessment, United Kingdom, iaitu setaraf peringkat A-level. Apabila Cambridge Assessment mengiktiraf STPM, maka sijil ini mendapat pengiktirafan antarabangsa. Ini bermakna, para pelajar lulusan STPM bukan sahaja boleh melanjutkan pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi tempatan, malahan diterima masuk ke universiti luar negara.

Dalam kesempatan ini juga, saya menyeru kepada seluruh anggota masyarakat agar memberi sokongan kepada usaha-usaha Kementerian Pendidikan Malaysia dalam mengangkat semula martabat pendidikan Tingkatan Enam yang kini telahpun dinaikkan tarafnya kepada Kolej Tingkatan Enam, bagi mod 1. Kepada ibu bapa dan ahli keluarga pelajar serta para pengetua, saya menyeru agar dapat berganding bahu dengan KPM bagi menjayakan matlamat tersebut. War-warkan lah kepada anggota keluarga, jiran tetangga, masyarakat setempat akan kebaikan dan kelebihan memasuki Tingkatan Enam dan mengambil peperiksaan STPM.

Kepada pelajar dan pengetua sekolah yang menerima anugerah pada hari ini diingatkan bahawa pemberian yang diterima ini adalah sebagai insentif atas usaha para pelajar, guru, dan pengetua sekalian dan sebagai galakan serta dorongan kepada yang lain untuk berusaha bagi mencapai kejayaan. Kepada yang kurang berjaya, saya berpesan kepada mereka agar tidak berputus asa. Saya percaya jika kita terus berusaha dan memperbaiki diri kita, Insya Allah, kita juga akan berjaya.

Atas dasar peningkatan pencapaian dan kualiti pelajar STPM 2016 ini, saya menyeru agar pihak Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Institusi Pengajian Tinggi Awam, mahupun Institusi Pengajian Tinggi Swasta menambah kuota bilangan pelajar untuk kemasukan ke institusi yang berkenaan.

Seperti yang telah sedia maklum, STPM diiktiraf di peringkat antarabangsa dan diterima di kebanyakan universiti terkemuka di dunia, maka dengan itu saya mengesyorkan agar pelajar kita yang bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara menduduki peperiksaan STPM sebagai kelayakan masuk. Ini tentunya akan menaikkan martabat peperiksaan awam yang dikendalikan oleh negara kita yang sememangnya telah diiktiraf.

Dalam konteks ini, saya difahamkan bahawa MPM telah mengeratkan lagi kolaborasi dengan pihak Cambridge International Examinations, England. Antara kolaborasi yang bakal dilaksanakan ialah dari aspek peningkatan nilai tambah pada sukatan pelajaran STPM, perkongsian maklumat tentang standard fixing STPM, latihan kepada pegawai MPM, dan keberkesanan mata pelajaran ICT STPM dan A-Level. Sehubungan ini, saya juga difahamkan bahawa sukatan pelajaran peperiksaan STPM sedia ada sedang dimurnikan untuk ditambahbaik.

Jadi, marilah sama-sama kita menyokong usaha Kementerian Pendidikan untuk mengangkat semula martabat pendidikan Tingkatan Enam dan peperiksaan STPM ini.

#TransformasiNasional50 #MenerajuiPerubahan

@MahdzirKhalid 28 Februari 2017

This post has already been read 2223 times!

Facebooktwittergoogle_plus
Facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram

Comments

comments