Perhimpunan Bulanan KPM – Mac 2017;Integriti, PPPM, Pencapaian, Pengiktirafan dan Harapan

“Saya mengharapkan agar semua pihak bersatu hati, saling bekerjasama dan menjadikan KPM sebagai organisasi yang terbaik dan terunggul, khusus dalam memperkasa sistem pendidikan negara.”

TUJUAN DAN MATLAMAT PERHIMPUNAN BULANAN

  1. Perhimpunan Bulanan KPM ini diadakan bagi memberi peluang untuk saya berkongsi dan menyampaikan maklumat terkini kepada tuan-tuan dan puan-puan. Saya bersyukur kerana berpeluang bersama tuan-tuan dan puan-puan menggalas tanggungjawab selaku anggota pentadbiran dan penjawat awam. Susulan itu, majlis perhimpunan bulanan yang dicadangkan setiap bulan akan menambah lebih peluang dan masa untuk berinteraksi dengan warga KPM.  Ini merupakan satu saluran penting untuk berkomunikasi dengan tuan/puan serta menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih. 

INTEGRITI PENJAWAT AWAM

  1. Dalam konteks perkhidmatan awam yang efektif, integriti merupakan asas kepada tadbir urus kerajaan yang kukuh. Sejak kebelakangan ini, perkara yang sering menjadi teguran adalah berkaitan audit dan ketidakpatuhan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara khususnya berkaitan program dan projek pelaksanaannya. Kita di kementerian ini perlu sentiasa belajar daripada kesilapan terdahulu dan mengambil tindakan pencegahan awal yang lebih serius.
  2. Saya berharap agar laporan-laporan audit kementerian lain menjadi pengajaran dan kesedaran buat kita semua. Usaha-usaha memerangi rasuah perlu diperhebatkan lagi untuk menghapuskan persepsi negatif yang boleh mencalarkan imej negara dan perkhidmatan awam.
  3. Saya ingin tegaskan bahawa, sebelum kita melangkah lebih jauh dalam memacu pembangunan negara, perkara paling utama yang perlu dititikberatkan adalah memantapkan sahsiah dan peribadi penjawat awam sehingga sampai ke tahap kebolehpercayaan yang lebih tinggi.
  4. Oleh itu, sebagai penjawat awam, warga KPM perlu sentiasa bersedia memastikan amalan kerja yang cekap, cepat serta berintegriti tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab secara proaktif bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap prestasi perkhidmatan awam.
  5. Dalam usaha menjadikan perkhidmatan awam terus cemerlang, kita perlu sedar tentang kepentingan integriti dalam kalangan penjawat awam khususnya Pengurusan Tertinggi dan Ketua-ketua Jabatan di KPM yang bertanggungjawab dalam urusan pentadbiran dan kewangan.
  6. Media hari ini kerap memaparkan isu gejala rasuah yang semakin menular dalam agensi kerajaan yang melibatkan jutaan wang ringgit dan penglibatan individu dalam kegiatan pengubahan wang haram. Kita harus ingat bahawa integriti merupakan konsep yang lebih meluas bukan sahaja kepada perlakuan rasuah dan salah guna kuasa semata-mata.
  7. Bagi menangani masalah ini, tindakan pemantauan hendaklah dilaksanakan secara berkala untuk memastikan pelaksanaan projek mengikut jadual dan kelemahan serta kesilapan dapat dikesan lebih awal. Langkah yang serius dan drastik oleh pemimpin setiap bahagian amatlah diperlukan dalam usaha mengelak ketirisan serta pembaziran sumber negara.
  8. Peranan Unit Integriti KPM ditingkatkan supaya perkara yang negatif terhadap kerajaan apatah lagi menyebarkan perkara-perkara yang melibatkan Akta Rahsia Rasmi sehingga berlakunya ketirisan maklumat dapat ditangani. Perkara ini telah diingatkan dalam surat edaran untuk menguatkuasakan peraturan 4(1) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 iaitu “seseorang pegawai hendaklah pada setiap masa memberikan taat setianya kepada Yang di-Pertuan Agong, Negara dan Kerajaan”.
  9. Perbuatan ini merupakan salah laku yang serius kerana ia menggugat keharmonian perkhidmatan awam khususnya dan negara amnya. Tindakan tatatertib sehingga membawa kepada hukuman maksimum buang kerja akan dikenakan kepada yang terlibat. Susulan itu, saya mencadangkan peluasan penubuhan Unit Integriti di peringkat negeri dan daerah.
  10. Sebagai Menteri Pendidikan, sememangnya saya menyokong penuh usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memerangi jenayah rasuah. Kita semua perlu sedar bahawa usaha memerangi jenayah rasuah ini bukanlah tanggungjawab eksklusif SPRM sahaja tetapi ia juga merupakan amanah yang harus dikongsi oleh seluruh masyarakat, khususnya penjawat awam bagi memastikan negara kita ini negara yang bebas dari rasuah. Menyedari kepentingan memelihara jati diri dan integriti dalam perkhidmatan awam, saya menyarankan setiap warga KPM perlu memperkemaskan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran, sikap dan jati diri yang bersesuaian dengan imej sebagai penjawat awam.

PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA (PPPM) 2013-2025

  1. Saya yakin tuan-tuan dan puan-puan warga pendidikan mempunyai iltizam yang tinggi bagi memastikan kecemerlangan pendidikan negara dan keberhasilan murid tercapai sebagaimana yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. 
  2. Kita sedia maklum dalam tempoh empat tahun pelaksanaan PPPM, Kementerian telah melipatgandakan usaha bagi memastikan kejayaan beberapa inisiatif seperti yang ditetapkan dalam Gelombang 2 (2016-2020). Tumpuan pelaksanaan dalam Gelombang 2 adalah untuk memperkenalkan perubahan struktur dan pada masa yang sama memacu peningkatan yang telah berlaku semasa Gelombang 1. Justeru, kita perlu kekal komited dan usaha perlu dilipatgandakan bagi memastikan peningkatan sistem pendidikan dapat dipercepatkan. Langkah ini perlu dilakukan untuk memaksimumkan peluang kejayaan dalam melaksanakan transformasi sistem pendidikan yang kompleks dan pantas.
  3. Saya amat berterima kasih dan menghargai komitmen tuan-tuan dan puan-puan dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Semoga dengan pelaksanaan PPPM 2013-2025 secara teratur, hasrat kerajaan akan tercapai untuk melihat sistem pendidikan negara mengoptimumkan potensi anak-anak Malaysia secara menyeluruh bermula daripada peringkat prasekolah hinggalah ke peringkat lepasan menengah.

PENGIKTIRAFAN SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI (SBT) & SEKOLAH KLUSTER KECEMERLANGAN (SKK)

  1. Syukur Alhamdulillah, pada hari ini perkembangan kemajuan pendidikan negara diteruskan dengan Pengiktirafan Sekolah Kecemerlangan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) Kohort 7 dan Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) Fasa 10. Pengiktirafan kepada 16 sekolah kecemerlangan membuktikan bahawa usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam meningkatkan kualiti pendidikan negara dilaksanakan secara berterusan. Tahniah dan syabas kepada 16 sekolah kecemerlangan ini.
  2. SBT ialah penganugerahan tertinggi yang diberikan kepada sekolah-sekolah di Malaysia berdasarkan kecemerlangan pencapaian yang diperoleh oleh sesebuah sekolah manakala SKK pula ialah penganugerahan yang diberikan kepada sekolah-sekolah yang cemerlang dalam kepelbagaian kluster sekolah yang terdapat di Malaysia. SKK merupakan laluan sekolah-sekolah sebelum mencapai SBT.
  3. Sehingga kini 132 sekolah dari seluruh Malaysia yang meliputi Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) telah diiktiraf sebagai SBT. Sebanyak 545 buah sekolah pula telah diiktiraf sebagai SKK dari seluruh Malaysia yang meliputi SBP, SMK, SMKA,SK, SJKC, SJKT, Sekolah Menengah Teknik, Kolej Vokasional, Sekolah Sukan, Sekolah Seni, Sekolah Model Khas, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Pendidikan Khas, Sekolah Felda, Sekolah Kurang Murid, Sekolah Pedalaman, Sekolah Orang Asli dan Sekolah Komprehensif 9 (K9). SKK mempunyai kebitaraan atau niche area yang menggambarkan perwatakan sekolah.
  4. Sesungguhnya, pengiktirafan sebagai SBT dan SKK telah meletakkan batu asas yang kukuh bagi sekolah yang terlibat berada dalam kelompok “sekolah cemerlang”. Oleh itu, sekolah-sekolah ini tidak sahaja bertanggungjawab mengekal dan menambah baik kecemerlangannya tetapi diharapkan dapat membimbing sekolah-sekolah lain untuk dipertingkatkan keberkesanan pengurusan bagi memajukan pencapaian akademik dan kokurikulum sekolah berkenaan.
  5. KPM berharap setiap SBT dan SKK akan sentiasa mendukung harapan dan aspirasi pendidikan negara untuk melahirkan insan yang beridentiti nasional yang kukuh. Oleh itu, pendekatan dan cara bekerja warga sekolah perlu berubah dengan memberi tumpuan utama kepada keberhasilan murid. Bagi sekolah yang menerima pengiktirafan pada hari ini perlu berusaha dengan lebih gigih lagi, bagi mengekalkan prestasi hebat yang telah dicapai. Pembangunan potensi warga sekolah juga turut diberi perhatian, seperti peningkatan profesionalisme guru, keberhasilan murid dan iklim sekolah yang kondusif.

PENCAPAIAN SIJIL TINGGI AGAMA MALAYSIA (STAM) DAN SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA(STPM) 2016

  1. Tahniah dan syabas kepada pelajar dan warga pendidik atas kejayaan yang diperoleh dengan peningkatan dalam pencapaian STAM dan STPM 2016. Jumlah calon yang berjaya memperoleh sijil STAM bagi tahun 2016 meningkat sebanyak 75 calon iaitu sebanyak 4,286 calon pada tahun 2016 berbanding 4,211 calon pada tahun 2015. Pencapaian calon Peperiksaan STAM tahun 2016 menunjukkan peningkatan sebanyak 0.02 mata Gred Purata Nasional, iaitu 3.06 mata pada tahun 2016 berbanding 3.08 mata pada tahun 2015 manakala untuk peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula, pencapaian calon peperiksaan STPM 2016 secara keseluruhannya terus meningkat dalam semua kriteria. PNGK Nasional mencatatkan peningkatan daripada 2.65 dalam STPM 2015 kepada 2.71 bagi tahun 2016. Seramai 11 calon telah mendapat 5A dalam kelima-lima mata pelajaran dan calon yang mendapat 4A turut bertambah kepada 47 orang berbanding 27 orang pada peperiksaan STPM 2015.
  2. Peningkatan ini memberi petunjuk bahawa peluasan dan keberkesanan sistem pendidikan serta dasar yang diamalkan telah berjaya memberi peluang pendidikan berkualiti kepada semua lapisan masyarakat. Kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara.  Kejayaan ini memberi peluang lebih ramai pelajar untuk menduduki peperiksaan STAM sebagai satu aliran untuk melanjutkan pengajian ke luar negara khususnya di Timur Tengah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan. Demikian juga dengan pelajar lepasan STPM yang berpeluang tinggi untuk memasuki IPT tempatan atau luar negara.

HARAPAN

  1. Saya harapkan adalah usaha kita membangunkan modal insan cemerlang di samping memastikan program pembangunan dan infrastruktur yang dirancang dapat disegerakan pelaksanaannya mengikut jadual. Tidak lupa juga saya nasihatkan anak-anak kita yang akan menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 dan anak-anak yang sedang membuat persiapan untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia pada tahun 2017 ini, agar menghargai masa yang ada dengan menambahkan ilmu pengetahuan di dada dan menghayati setiap ilmu yang dipelajari bukan sekadar untuk lulus peperiksaan sahaja. Semua pihak haruslah sedar bahawa anak-anak kita sebenarnya mempunyai potensi yang berbeza dalam pelbagai bidang untuk berjaya dalam kehidupan mereka. 
  2. Saya yakin sekiranya semua warga mempunyai semangat dan daya saing untuk memajukan diri dan organisasi, maka sudah pasti KPM akan terus mantap dan unggul di persada antarabangsa. Sebagai Menteri Pendidikan, saya menaruh harapan yang sangat tinggi kepada semua warga KPM, bukan sahaja untuk bekerja dengan rajin, bersungguh-sungguh, komited, berintegriti dan bertanggungjawab, malah saya mengharapkan agar semua pihak bersatu hati, saling bekerjasama dan menjadikan KPM sebagai organisasi yang terbaik dan terunggul, khusus dalam memperkasa sistem pendidikan negara. Selain itu juga, kita perlu bersedia untuk memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan yang mungkin menjadi penghalang kepada pencapaian matlamat, objektif, visi, misi dan piagam pelanggan KPM.
  3. Secara tuntasnya, harapan saya semoga tuan-tuan dan puan-puan sekalian akan terus-menerus menyampaikan perkhidmatan berimpak tinggi dengan cemerlang dan berintegriti sepanjang masa. Justeru, saya mengharapkan kita semua dapat bekerja dalam satu pasukan yang mantap dan kukuh untuk mencapai sasaran petunjuk prestasi utama KPM tahun ini.

@MahdzirKhalid – 15 Mac 2017

This post has already been read 1266 times!

Facebooktwittergoogle_plus
Facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram

Comments

comments