Konvensyen Kecemerlangan Pendidikan 2.0 Parlimen Kuala Kangsar 2017:Pendidikan Penjana Transformasi

Alhamdullillah, syukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat berkumpul di Universiti Sultan Azlan Shah pada hari ini sempena “Majlis Perasmian Pelancaran Aktiviti Konvensyen Kecemerlangan Pendidikan 2.0 Parlimen Kuala Kangsar 2017”.

Terlebih dahulu, setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih saya ucapkan kepada jemputan kehormat dan tuan-tuan kerana sudi hadir dalam majlis ini.

Dalam kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan setinggi-setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Perak, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang bertindak sebagai penaja konvensyen kali ini.

Tidak lupa juga penghargaan dan terima kasih kepada seluruh jawatankuasa kerja yang terlibat dalam penganjuran konvensyen kali ini. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada komuniti Kuala Kangsar yang hadir bersama-sama untuk menjayakan konvensyen yang diadakan selama dua hari mulai 21 April hingga 22 April 2017.

Semoga kehadiran tuan-tuan dapat menyemarakkan lagi tekad dan iltizam khalayak untuk menjadikan daerah ini sebagai hab pendidikan bertaraf antara bangsa sesuai dengan tema konvensyen ini iaitu “Pendidikan Penjana Transformasi”.

Sesungguhnya, Konvensyen Kecemerlangan Pendidikan 2.0 ini mencerminkan iltizam warga Parlimen Kuala Kangsar terhadap pendidikan yang menjadi tulang belakang tranformasi dunia sejagat. Kehadiran khalayak pada hari ini jelas membuktikan sokongan, dokongan dan semangat untuk melestarikan bidang pendidikan secara holistik demi memartabatkan sistem pendidikan negara.

Saya menyokong usaha murni Parlimen Kuala Kangsar menjadikan konvensyen dan persidangan ini sebagai satu wadah ke arah mengubah persepsi masyarakat terhadap dunia pendidikan yang menjadi penjana dunia pendidikan. Hal ini akan melahirkan warga negara yang cakna dengan perkembangan dunia pendidikan.

Secara tidak langsung konvensyen ini membuka minda masyarakat setempat terhadap dasar transformasi yang diilhamkan oleh kepimpinan negara dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Program dan aktiviti sebeginilah yang menjadi katalis bagi menjamin tranformasi yang berlaku itu selari dengan latar budaya masyarakat Malaysia yang majmuk ini. Syabas dan tahniah saya ucapkan atas penganjuran konvensyen ini.

PENDIDIKAN PENJANA TRANSFORMASI

Tema konvensyen kali ini iaitu ”Pendidikan Penjana Transformasi” dilihat amat sinonim dengan perkembangan dan perubahan dunia peringkat global. Dalam abad ke-21 ini, senario pendidikan global berkembang dengan begitu pesat sekali. Arus dan ledakan globalisasi telah menghasilkan daya penggerak yang membentuk hala tuju baharu pendidikan dunia.

Hala tuju ini juga melahirkan beberapa trend baharu antara lainnya, globalisasi, mobiliti, kolaborasi, evolusi dalam pembelajaran dan pengajaran serta penggunaan teknologi yang maksima. Hakikatnya perkara-perkara ini mendominasi dunia pendidikan arus perdana sehingga menjadi penjana kepada tranformasi secara menyeluruh dan seimbang alam sejagat. Tanpa pendidikan yang bersifat sakinah, tranformasi yang bakal ditempuhi tidak akan benar-benar memberi manfaat yang besar kepada dunia.

Dinamika dalam transformasi dan arus globalisasi ini akan berterusan menjadi cabaran kepada sektor pendidikan hingga menuntut kepada anjakan dalam hala tuju, kepimpinan dan cara berfikir supaya tranformasi yang wujud menjadi lebih bersifat antarabangsa, tidak jumud dan bercirikan hubungan jaringan yang berasaskan kepada kolaborasi dan komplementari.

Maka, di sinilah letak peri pentingnya pendidikan yang dapat menjana tranformasi yang seiring dengan falsafah pendidikan negara dan memberi kesejahteraan kepada manusia sejagat.

Pendidikan menjadi alat timbang tara bagi memastikan tranformasi yang berlaku itu sesuai atau tidak dengan latar budaya negara kita yang majmuk ini. Dalam hal ini, cabaran utama yang menjadi keprihatinan kita ialah penghakisan nilai-nilai kemanusiaan dan keadilan dalam order ekonomi kapitalis yang dominan pada saat ini.

Persoalannya, adakah kita semua bersedia untuk menghadapi ledakan transformasi global ini? Justeru itu, konvensyen ini sebenarnya membuka ruang dan peluang untuk masyarakat hari ini menimba sebanyak mana ilmu untuk mengadaptasi transformasi yang berlaku sekarang dan pada masa hadapan. Marilah bersama-sama kita fikirkan.

Di samping itu, untuk Malaysia mencapai taraf negara maju pada abad ke-21, negara memerlukan warganegara yang mempunyai pengetahuan dan pendidikan dalam pelbagai bidang. Dengan pengetahuan dan pendidikan, kita dapat mengurus tatacara untuk menerima semua tranformasi yang berlaku.

Oleh itu, masyarakat perlulah mengambil peluang dan ruang untuk mempelajari dan menguasai mata pelajaran yang berasaskan sains dan teknologi. Hal ini penting untuk masyarakat memahami masa hadapan perkembangan ekonomi perindustrian dan perdagangan sesebuah negara ditentukan oleh para pekerjanya yang menggunakan kekuatan mental dan bukannya kemahiran tenaga semata-mata.

Oleh itu, setiap tenaga pekerja yang dihasilkan perlulah berilmu dan mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan sains dan teknologi. Hal ini secara tidak langsung membuktikan bahawa pendidikan menjadi eleman utama dalam proses penerimaan terhadap tranformasi.

LANGKAH TERBARU KPM

Menyedari perpaduan nasional masih belum berada di tahap membanggakan, KPM sedia mengkaji secara menyeluruh aspek silibus dan program di sekolah-sekolah. Kajian teliti ini akan dibuat demi merealisasikan hasrat mencapai Negara Bangsa yang tunjangnya adalah perpaduan nasional.

KPM turut bersedia untuk memperkasakan Bahasa Melayu di kalangan pelajar sekolah vernakular bagi memantapkan perpaduan nasional. Ini kerana penguasaan Bahasa Melayu yang mantap mampu memperkukuhkan perpaduan nasional di kalangan pelajar yang seterusnya menghasilkan masyarakat yang bersatu padu serta hidup dalam keharmonian antara kaum.

Ledakan perkembangan ICT dewasa ini tidak dapat dielakkan dan setiap daripada kita harus mengimbangan kemajuan berkenaan. Untuk itu, KPM akan menambah baik polisi berkaitan penggunaan gajet ICT dalam kalangan pelajar sekolah di mana kajian teliti akan disiapkan dalam tempoh dua bulan.
Sebelum mengakhiri ucapan ini, besarlah harapan saya agar konvensyen dan persidangan yang diadakan ini dapat membakar semangat hadirin semua untuk mengintegrasi hasil positif dan mengadaptasi tranformasi yang berlaku bagi memantapkan lagi sistem pendidikan negara dan memastikan kelestarian hidup rakyat negara kita.

Di samping itu, manfaat yang diperoleh melalui penganjuran konvensyen pendidikan ini dapat membina jaringan sokongan dan hubungan intelektual dua hala dengan pemimpin dan komuniti di peringkat akar umbi hinggalah kepada pihak kerajaan.

Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan Konvensyen Kecemerlangan Pendidikan Parlimen Kuala Kangsar pada kali ini.

Saya juga menyeru kerjasama semua pihak khususnya warga setempat supaya terus memberi komitmen padu dalam membudayakan pembinaan ilmu dan perkongsian ilmu demi merealisasikan impian Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, sukacitanya saya merasmikan Konvensyen Kecemerlangan Pendidikan 2.0 Perlimen Kuala Kangsar.

This post has already been read 249 times!

Facebooktwittergoogle_plus
Facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram

Comments

comments