Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Perak, Batu Kurau.


Assalamualaikum W.B.T., Salam Sejahtera dan Salam Negaraku Malaysia

Menghadap

Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbudin Shah Al-Maghfur-Lah

Dan

Duli Yang Maha Mulia, Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun,

  1. Terlebih dahulu dengan penuh hormat dan takzimnya, patik merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas limpah perkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku sudi mencemar duli berangkat bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Perak, Batu Kurau pada pagi yang mulia ini. Majlis perasmian ini adalah bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Tahun 2016. Patik mendoakan Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa berada dalam keafiatan dan dilanjutkan usia.
  2. Sesungguhnya keberangkatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku amat dialu-alukan dan dinanti-nantikan terutamanya warga Kementerian Pendidikan Malaysia. Kesudian Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku berangkat ke majlis ini menunjukkan keperihatinan Duli-Duli Tuanku terhadap perkembangan dan kemajuan pendidikan yang dilaksanakan untuk rakyat jelata terutamanya pembangunan pendidikan untuk rakyat di Negeri Perak ini.
  3. Sokongan padu Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku terhadap pembangunan pendidikan yang dilaksanakan di Negeri Perak ini sememangnya telah memberi suntikan semangat dan menyemarakkan lagi keazaman dan komitmen patik dan semua warga kerja Kementerian patik untuk meningkatkan lagi mutu pendidikan kepada rakyat.
  4. Terlebih dahulu saya bagi pihak Kementerian Pendidikan Malaysia mengucapkan terima kasih atas kehadiran dif-dif kehormat dan hadirin sekelian ke Majlis Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Perak, Batu Kurau.
  5. Untuk makluman kerja-kerja pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Perak telah dimulakan pada 20 Januari 2011 dan telah siap sepenuhnya pada 2 Ogos 2013. Sekolah ini diserahkan kepada Kementerian Pendidikan pada 13 September 2013 yang mengandungi 22 kelas. Sekolah ini mula beroperasi pada 1 Oktober 2013. Jumlah murid di sekolah ini pada tahun 2017 seramai 537 orang, 49 orang guru dan 6 orang staf sokongan.
  6. Kerjasama dalam kalangan warga pendidik khasnya di sekolah ini amat penting dalam usaha melahirkan insan cemerlang dalam akademik serta terbilang daripada segi sahsiah dan peribadi. Kini, peranan dan tanggungjawab pendidik semakin mencabar. Para pendidik perlu menggunakan sepenuh komitmen dalam memikul tanggungjawab yang berterusan untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan anak didiknya.
  7. Selain itu, para pendidik sebagai penggerak perlu mentranformasikan kaedah pengajaran dan sentiasa mengikut perkembangan pendidikan terkini dalam menjayakan perpaduan dan hasrat negara untuk merealisasikan Gagasan 1 Malaysia. Penggunaan kaedah pengajaran abad ke-21 akan dapat merangsang minda dan menyuntik ilmu kepada semua murid yang pastinya akan melahirkan anggota masyarakat yang berilmu dan berpendapatan tinggi pada masa akan datang.  
  8. Kejayaan sesebuah sekolah berkait rapat dengan peranan para pendidiknya. Oleh yang demikian, para pendidik perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebaik mungkin selaras dengan profesion keguruan. Namun begitu, kerjasama yang mantap dengan ibu bapa dan komuniti setempat tidak boleh diketepikan dalam usaha melahirkan sebuah sekolah yang cemerlang.
  9. Saya percaya proses pendidikan yang terancang akan mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menyokong pembinaan Negara Bangsa bagi memperkukuhkan perpaduan, membina identiti nasional dan semangat kebangsaan serta membangunkan sumber manusia bersesuaian dengan keperluan negara kita dalam menghadapi cabaran globalisasi. Saya berharap para pendidik dapat memainkan peranan yang penting ini. Selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, para pendidik turut berada di saf hadapan untuk menyemai dan memupuk perpaduan, semangat patriotisme, menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran; serta membentuk akhlak dan jati diri anak didiknya dalam usaha melahirkan modal insan cemerlang.
  10. Pada kesempatan ini juga saya menyeru semua ibu bapa untuk memainkan peranan penting dalam usaha memastikan anak-anak mendapat ilmu pendidikan yang sempurna. Ibu bapa tidak boleh menyerahkan tanggungjawab mendidik anak-anak mereka seratus peratus kepada pihak sekolah sahaja. Para ibu bapa perlu sedar bahawa anak-anak berada di sekolah hanya enam jam sehari, manakala masa mereka di rumah dan di bawah pengawasan ibu bapa melebihi 18 jam. Oleh itu, tidak wajarlah jika menuding jari menyalahkan para pendidik apabila anak-anak kita tidak berjaya dalam akademik. Kementerian Pendidikan sentiasa menggalakkan ibu bapa bekerjasama dengan pihak sekolah melalui Program Sarana demi kebaikan anak-anak kita.
  11. Demikianlah berakhirnya sembah ucapan patik sempena majlis ini. Patik sekali lagi dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas limpah perkenan Duli-Duli Tuanku sudi mencemar duli berangkat ke upacara perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Perak, Batu Kurau pada pagi yang bersejarah ini. Semoga Duli-Duli Tuanku terus kekal bersemayam di atas singgahsana takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dengan dilindungiNYA selama-lamanya.
  12. Patik memohon dengan segala kerendahan hati, merafak sembah menyusun sepuluh jari, mengatur kata jika ia tidak tertib, patik pohon keampunan. Jika ia tiada berhemah patik pohonkan petunjuk.

 

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik pohon diampun.

Patik menjunjung kasih Tuanku.

Foto: MK Media

This post has already been read 192 times!

Facebooktwittergoogle_plus
Facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram

Comments

comments