GAGM1M: Kebersamaan pemikiran, keakraban sosial guru.

” Dalam usaha mentransformasi pendidikan negara, pemain utama yang berada di barisan paling hadapan adalah guru-guru kita. Untuk itu usaha untuk menggemblengkan permuafakatan serta pemikiran mereka perlu diberi keutamaan kerana merekalah arkitek sebenar di bilik darjah dan sekolah. “

  1. Program Guru Muda 1 Malaysia ini bertujuan merapatkan perpaduan barisan para guru seluruh negara di bawah Program Guru Membina Negara Bangsa dalam memacu Transformasi Pendidikan Negara.
  2. Bagi mencapai hasrat tersebut, saya memilih untuk memberi keutamaan dengan bersungguh-sungguh melindungi profesion keguruan, mengambil daya usaha secara berterusan meningkatkan tahap profesionalisme mereka serta menjaga kebajikan para guru sekalian.

RASIONAL PROGRAM

  1. Pertama, Transformasi Pendidikan Negara yang bermula tahun 2013 di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 memerlukan semangat kebersamaan pemikiran dalam kalangan guru-guru bagi menjana pelaksanaannya secara berkesan, dan
  2. Kedua, bagi mencapai hasrat tersebut, keakraban sosial dalam kalangan guru perlu dipertingkatkan menerusi wadah yang sesuai dengan fitrah profesionalisme keguruan mereka.

 

GELOMBANG GURU

  1. Dalam usaha mentransformasi pendidikan negara, pemain utama yang berada di barisan paling hadapan adalah guru-guru kita. Untuk itu usaha untuk menggemblengkan permuafakatan serta pemikiran mereka perlu diberi keutamaan kerana merekalah arkitek sebenar di bilik darjah dan sekolah.
  2. Saya amat yakin bahawa transformasi yang kita inginkan boleh terhasil menerusi gelombang kebangkitan guru yang seiya dan sekata membawa perubahan dalam sistem pendidikan kita. Sebab itu keutamaan selalu diberikan kepada guru.

Guru adalah Jurucakap Kerajaan yang memerintah.

  1. Dalam mencapai kemajuan sesebuah negara, guru adalah pemain utama yang berada di barisan paling hadapan negara. Guru-guru boleh menjadi juru cakap sebenar Kerajaan. Dalam hal ini, guru-guru perlu sentiasa berada bersama masyarakat bagi memberi penjelasan tentang isu-isu yang melibatkan kepentingan negara.
  2. Untuk itu guru-guru perlu menunjukkan contoh dan teladan kepada masyarakat akan makna kesetiaan kepada pemerintah ini. Hal ini kerana sejak merdeka lagi guru-guru telah diiktiraf sebagai agen yang telah membawa perubahan terhadap pemikiran rakyat dan kemajuan negara seperti dikecapi oleh generasi hari ini dan akan datang.
  3. Dalam hal ini, suka saya mengingatkan para guru agar sentiasa menjaga ketertiban, profesionalisme dan disiplin sebagai Guru Malaysia secara konsisten. Sebagai guru yang profesional, kita tidak sepatutnya mudah terpengaruh dengan elemen-elemen negatif yang boleh merosakkan profesion mulia ini.

PERPADUAN NASIONAL DAN PERANAN GURU

  1. Perpaduan Nasional adalah elemen penting yang membantu mengekalkan kestabilan, kemajuan dan tamadun bangsa dalam negara Malaysia yang merdeka. Masa yang paling sesuai untuk menyemai benih perpaduan dan semangat cintakan tanah air ini adalah di peringkat yang paling awal iaitu di bangku sekolah.
  2. Dalam usaha membina sebuah Negara Bangsa, para guru merupakan barisan paling hadapan yang bertanggungjawab untuk memastikan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat dapat dimantapkan.
  3. Dalam hal ini, KPM sedia mengkaji secara menyeluruh aspek berkaitan kurikulum serta program-program berkaitan secara berterusan selain memastikan usaha memartabatkan Bahasa Malaysia dilaksanakan sepenuhnya di semua sekolah yang bertujuan meningkatkan perpaduan nasional dalam kalangan murid di negara ini.

KEMENJADIAN MURID

  1. Kemenjadian murid bukan bermakna mereka hanya berjaya dalam bidang akademik semata-mata. Kemenjadian murid yang diharapkan hasil daripada sistem pendidikan kita adalah menyeluruh atau holistik, iaitu termasuk sahsiah diri, memiliki budi pekerti yang tinggi, memiliki semangat patriotik dan cinta akan negara serta sentiasa berpegang kepada nilai-nilai murni sejagat yang berpaksikan pegangan agama yang kukuh.

PROGRAM TRANSFORMASI NASIONAL 2050 (TN50)

  1. Transformasi Nasional 2050 (TN50), merupakan satu inisiatif pembangunan negara yang merangkumi tahun 2020 hingga 2050. Inisiatif ini akan dipacu oleh matlamat dan sasaran yang jelas selama 30 tahun. TN50 merupakan satu inisiatif pembangunan negara jangka panjang.
  2. Di peringkat awal ‘Perbincangan TN50’, siri penglibatan dan aktiviti-aktiviti wacana yang bertujuan untuk mencetuskan aspirasi rakyat serta menentukan bidang untuk transformasi termasuk ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan, kebudayaan dan alam sekitar. Peringkat pelaksanaan di Kementerian Pendidikan Malaysia, sasaran dibahagikan kepada dua iaitu Guru dan Murid.

EKONOMI DIGITAL

  1. Para guru perlu bersedia dan berada dalam gagasan yang lebih besar daripada pendidikan sedia ada. Hal yang demikian bermakna guru-guru juga perlu banyak mencari ilmu dan menjadi pendidik yang kreatif untuk melahirkan generasi yang boleh bersaing di peringkat lebih tinggi terutama dalam dunia ekonomi digital.

 

DIGITAL NATIVE, DIGITAL IMMIGRANTS

  1. Saya kerap menyebut tentang the new society atau masyarakat baharu terutamanya anak-anak kita yang di sekelilingi teknologi ini.  Marc Prensky dalam artikelnya bertajuk Digital Native, Digital Immigrants pada 2001 telah menerangkan dengan jelas impak teknologi kepada anak-anak kita ini.  
  2. Kita perlu menerima hakikat bahawa murid kita sekarang ini adalah digital natives, bermaksud murid ini sejak lahir lagi sudah didedahkan dengan pelbagai alat komunikasi canggih yang dapat merangsang deria mereka dengan cepat.  Umur dua tahun, kalau mengikut teori perkembangan kanak-kanak baru sahaja dibentuk gross motor skills atau kemahiran motor kasar; tetapi sekarang dua tahun telah diberi i-tab atau i-pad, sudah pandai menggunakan touch screen; dan perubahan ini bukan mengambil masa berpuluh tahun tetapi berlaku dengan begitu pantas.
  3. Teknologi digital yang kita agak sukar untuk gunakan adalah mainan biasa untuk murid kita.  Ini bermakna bahawa murid hari ini tidak sama dengan murid yang kita bayangkan semasa kita dilatih menjadi guru dahulu.  Sistem pendidikan yang kita lalui dahulu dan semasa kita dilatih sebagai guru adalah berbeza dengan dunia murid kita sekarang.  Apakah kita bersedia untuk menghadapi mereka ini?  Adakah kita bersedia untuk mendidik mereka bagi bersedia pula dengan teknologi dan cabaran yang bakal wujud dalam masa 10 atau 20 tahun akan datang?
  4. Sehubungan itu, Kementerian sedia mengkaji aspek penambahbaikan terhadap penggunaan gajet ICT di kalangan pelajar sekolah bertujuan memantapkan PdP.

 

LEDAKAN MAKLUMAT – BENAR VS PALSU

  1. Guru-guru seharusnya tidak boleh membenarkan diri mereka terjebak dengan polimik maklumat yang sering tersebar khususnya menerusi media-media sosial. Guru-guru merupakan golongan bijak pandai yang boleh menilai sesuatu maklumat sama ada benar atau palsu serta tidak mudah terpengaruh oleh unsur-unsur atau elemen-elemen negatif yang boleh mengancam asas profesionalisme, pemikiran dan dedikasi para guru.
  2. Tanggungjawab guru perlu difokuskan kepada usaha-usaha membangunkan pemikiran rakyat khususnya menerusi bidang pendidikan negara. Segala unsur keraguan dan persepsi negatif terhadap sebarang dasar dan inisiatif kerajaan membangunkan rakyat mesti dielakkan.  

 

PERANAN GURU AKTIF DAN GURU MUDA 1MALAYSIA

  1. Para guru yang aktif perlu sentiasa membantu dan sentiasa berlapang dada dalam menerima tanggungjawab sebagai guru. Di samping pergaulan sesama rakan guru, saya juga berharap mereka boleh berdamping dengan semua golongan masyarakat sebagai agen penyalur maklumat yang betul dan tepat.
  2. Saya mengharapkan agar program ini menjadi titik permulaan dalam kita bersama-sama menerajui perubahan pendidikan di Malaysia.

This post has already been read 883 times!

Facebooktwittergoogle_plus
Facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram

Comments

comments