Peruntukan Tabung Khas Bajet 2017:Penambahbaikan dan penyelenggaraan sekolah.

PEMILIHAN KONTRAKTOR SECARA UNDIAN DI BAWAH PROJEK PENAMBAHBAIKAN DAN PENYELENGGARAAN SEKOLAH MENGGUNAKAN PERUNTUKAN TABUNG KHAS YANG TELAH DILULUSKAN DALAM UCAPAN BAJET 2017

Setiap tahun Kementerian telah menerima permohonan dari sekolah dan institusi pendidikan di bawah KPM untuk menambahbaik dan menyenggara sekolah serta premis institusi pendidikan. Sekolah-sekolah dan institusi ini perlu ditambahbaik dan disenggara bagi memastikan sistem pembelajaran tidak terjejas, memanjangkan jangka hayat sekolah/institusi dan mengelakkan terjadi kecelakaan yang boleh meragut nyawa murid-murid dan orang awam.

Bagi tahun 2017, Kementerian Kewangan telah menyediakan peruntukan tabung khas penambahbaikan dan penyenggaraan sebanyak RM500 juta untuk menambahbaik dan menyenggara sekolah-sekolah.

Bagi memastikan projek penambahbaikan dan penyenggaraan dilaksanakan secara optima, cepat laksana, berimpak tinggi serta value for money, Kementerian memperuntukkan sejumlah RM350 juta daripada RM500 juta peruntukan tabung khas untuk menyenggara Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan SABK secara Tatacara Perolehan Khas.

Projek Penambahbaikan Dan Penyenggaraan Sekolah Menggunakan Peruntukan Tabung Khas 2017 (PPKHAS) ini adalah merupakan salah satu inisiatif berterusan Kerajaan dalam menyalurkan peruntukan kepada sekolah-sekolah yang memerlukan pembaikan dengan kaedah Rapid Execution, Low Cost dan High Impact.

Skop pelaksanaan PPKHAS tahun 2017 memfokuskan kepada penambahbaikan dan penyenggaraan elektrik/kerja elektrik, tangki air utama, peralatan pencegahan kebakaran, rawatan anai-anai dan penambahbaikan pagar sekolah. Pelaksanaannya adalah tertakluk kepada prosedur dan tatacara perolehan khas yang telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan iaitu secara lantikan terus, undian, sebut harga; dan secara tender terhad bagi penambahbaikan dan penyenggaraan tangki air.

Bagi memastikan PPKHAS 2017 berjaya dilaksanakan, Kementerian telah menugaskan pegawai-pegawai kanan untuk membuat enggagement dengan pegawai Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), PPD dan JKR bagi mengenal pasti sekolah-sekolah untuk diselenggara di bawah PPKHAS ini.

Hasil daripada perancangan yang teliti selama dua (2) bulan, sebanyak 8,171 projek telah dikenalpasti untuk dilaksanakan di bawah PPKHAS 2017. Pelaksanaan PPKHAS ini juga akan memberi manfaat kepada 6,697 sekolah atau 73% daripada 9,051 Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di seluruh negara.

Salah satu kaedah pelaksanaan PPKHAS ialah memilih kontraktor secara undian. Oleh itu pemilihan kontraktor secara undian diadakan serentak di seluruh negara bermula pada petang 25 Mei 2017. Proses pengundian secara serentak ini merupakan pertama kali dilaksanakan oleh Kementerian dengan pelancarannya dibuat di Negeri Kelantan. Kementerian berharap agar pelaksanaan PPKHAS ini membuka peluang kepada lebih ramai kontraktor kelas G1, kontraktor kerja-kerja elektrik, kontraktor anai-anai dan kerja-kerja pencegahan kebakaran untuk turut serta dalam projek ini.

Pelaksanaan PPKHAS ini akan membawa impak yang positif daripada sudut kesan limpahan ekonomi. Kesan berganda (multiplier effect) bukan hanya boleh dirasai oleh kontraktor yang mendapat projek tetapi juga, turut dirasai oleh pembekal, peniaga-peniaga kecil yang lain dan juga penduduk setempat.

Untuk Negeri Kelantan pula sebanyak 483 projek telah dikenal pasti yang melibatkan sebanyak 468 sekolah atau (81%) daripada 580 sekolah di seluruh Kelantan. Daripada jumlah tersebut sebanyak 338 projek akan dibuat secara undian yang merangkumi sebanyak 148 projek untuk kerja elektrik, 140 kerja pagar dan 50 projek untuk kerja penghapusan anai-anai. Manakala semua kerja-kerja pencegah kebakaran akan diberi secara lantikan terus.

Besar harapan saya agar kontraktor yang dipilih dapat memastikan kualiti kerja yang terbaik dan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian. Kita tidak mahu ada kontraktor yang mendapat kontrak di bawah PPKHAS ini melaksanakan kerja ibarat melepaskan batuk di tangga, kerana yang akan mendapat kesannya adalah anak-anak kita yang belajar di sekolah.

Keutamaan saya dan Kementerian adalah daripada segi keselamatan dan keselesaan anak-anak kita yang akan belajar di sekolah yang terlibat.

 

This post has already been read 2624 times!

Facebooktwittergoogle_plus
Facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram

Comments

comments