Pendidikan sains melalui amalan inkuiri (IBSE)-Penilaian rintis, keperluan dan inisiatif.

Penilaian Pelaksanaan Projek Rintis Pendidikan Sains Berasaskan Amalan Inkuiri (IBSE) Di Empat Buah Sekolah Rendah Di Daerah Hulu Langat

Akademi Sains Malaysia (ASM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melaksanakan kajian penilaian pelaksanaan projek rintis pendidikan sains melalui amalan inkuiri (IBSE) di empat buah sekolah rendah di Daerah Hulu Langat dari tahun 2012-2013.

Tujuan kajian ini adalah untuk menilai keberkesanan penggunaan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) IBSE dalam pendidikan sains di sekolah rendah.

Kajian ini dijalankan berikutan kebimbangan mengenai prestasi murid-murid di dalam negara dalam dua penilaian antarabangsa berkaitan STEM seperti berikut:

Programme for International Students Assessment (PISA) 2009+ –  Malaysia berada dalam kelompok sepertiga terbawah di kalangan 74 negara peserta. Pada tahun 2012, Malaysia berada pada tempat ke-52 daripada 65 negara yang mana di belakang kedudukan Thailand dan Vietnam.

Ujian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) – Pencapaian murid Malaysia bagi mata pelajaran Matematik dan Sains pada tahun 2011 telah menurun ke bawah purata antarabangsa bagi kedua-dua mata pelajaran yang mana 35% dan 38% murid Malaysia gagal memenuhi tahap pencapaian minimum dalam mata pelajaran Matematik dan Sains.

Empat buah sekolah berstatus luar bandar dan melibatkan kelas pertengahan telah dipilih oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat untuk terlibat dalam pelaksanaan projek rintis ini seperti berikut:

  • SK Bandar Seri Putra
  • SK Semenyih
  • SK Seksyen 7, Bandar Baru Bangi
  • SK Bandar Tasik Kesuma

Melalui projek rintis ini, guru-guru telah diberikan pendedahan mengenai pendekatan IBSE melalui latihan secara berkala yang dianjurkan oleh ASM dengan kerjasama Southeast Asian Ministers of Education Organisation-Regional Centre for Education in Science and Mathematics (SEAMEO RECSAM) dan Bahagian Pendidikan Guru, KPM. Pendekatan ini kemudiannya diguna pakai dalam PdP di sekolah-sekolah yang terlibat.

Hasil daripada kajian ini, didapati pencapaian murid-murid yang telah mengikuti pembelajaran menggunakan kaedah IBSE lebih cemerlang berbanding murid-murid yang tidak terlibat dalam penggunaan pendekatan IBSE, yang mana 27% pelajar IBSE mencatat keputusan A dalam UPSR pada tahun 2014 berbanding hanya 5% bagi pelajar bukan IBSE.

Ini jelas menunjukkan bahawa pendekatan ini berkesan dalam meningkatkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran sains dan matematik. Pihak KPM amat berterima kasih kepada ASM atas inisiatif melatih guru-guru di sekolah rendah ini mengenai pendekatan IBSE ini.

Keperluan Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) Yang Khusus Bagi Guru-Guru STEM

Hasil kajian penilaian pelaksanaan projek rintis IBSE yang dijalankan menunjukkan bahawa sekiranya guru-guru STEM diberikan latihan secara berterusan sehingga minimun 60-80 jam, kaedah ini boleh dilaksanakan di dalam PdP sains dan matematik sedia ada.  Oleh itu, terdapat keperluan untuk guru-guru ini diberi latihan profesional berterusan (CPD) yang khusus bagi mata pelajaran berkaitan STEM bagi memastikan guru berkeyakinan dalam melaksanakan kaedah IBSE.

 

Latihan sebegini amatlah penting bagi memastikan guru-guru STEM mendapat latihan yang berterusan yang disokong oleh pakar STEM. Selain itu, sokongan rakan sejawat (peer support)  dan perkongsian bahan PDP di antara guru semasa dan selepas latihan ini dapat menyedikan platform berterusan yang membantu penjanaan idea  di kalangan guru bagi penghasilan dan persediaan bahan PDP STEM yang baik.

Inisiatif Berkaitan Latihan IBSE Kepada Guru-Guru STEM

Sebagai kesinambungan daripada projek rintis IBSE, ASM telah melaksanakan Program IBSE di bawah Program Duta Sains di Jerlun, Setiu dan Tuaran pada tahun 2015. Manakala pada tahun 2016, ASM juga telah meneruskan latihan kepada semua guru-guru STEM di empat buah sekolah rintis dan sebuah sekolah swasta (Sekolah Sri Bestari) melalui IBSE 2.0 atas permintaan daripada guru besar sekolah-sekolah yang terlibat.

Berdasarkan inisiatif IBSE yang telah dilaksanakan oleh pihak ASM, seramai 112 guru telah dilatih dalam pendekatan IBSE ini termasuk 2 Pegawai PPD. Guru-guru ini kini boleh dimanfaatkan bagi melatih rakan-rakan mereka di seluruh negara bagi memastikan lebih ramai guru STEM yang celik IBSE.

Penubuhan National STEM Centre

National Science Council (NSC) di mesyuarat pertamanya bertarikh 28 Jan 2016  memaklumkan akan kepentingan bidang STEM untuk membantu melonjak negara ke tahap negara maju. Oleh itu, KPM, MOSTI dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah dipertanggungjawabkan untuk merangka satu Pelan Tindakan STEM yang bersepadu.

Salah satu pelan tindakan yang dicadangkan di Pelan Tindakan ini adalah Penubuhan National STEM Centre. Inisiatif ini adalah selari dengan dapatan kajian rintis IBSE yang dilaksanakan, yang mana guru-guru STEM perlu diberikan pendedahan secara berterusan dan juga disokong oleh pakar STI dan sumber PdP yang dapat membantu mereka dalam persediaan bahan pengajaran.

MOSTI dengan kerjasama KPM dan KPT kini sedang dalam usaha untuk menubuhkan National STEM Centre ini yang mana akan berfungsi sebagai pusat perkembangan profesional untuk guru-guru STEM bagi meningkatkan kemahiran, keupayaan dan keyakinan dalam pengajaran Sains dan Matematik melalui kaedah IBSE. Pusat ini akan mengunapakai infrastuktur sedia ada dan dilengkapi dengan sumber rujukan dan bahan PdP STEM.

Berikutan MOSTI kini juga sedang dalam proses pembinaan Pusat Sains cawangan Sabah, terdapat cadangan untuk Pusat Sains yang dibangunkan ini untuk menjadi National STEM Centre yang dicadangkan.

Pihak KPM akan bekerjasama dalam mengistitusikan pelaksanakan pedagogi IBSE melalui penubuhan pusat ini.

  • Mahdzir Khalid @ SK Mengkabong, Tuaran Sabah.

This post has already been read 1209 times!

Facebooktwittergoogle_plus
Facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram

Comments

comments