Pertukaran guru Jun 2017 dan Penempatan Guru Baharu.

Pertukaran guru Jun 2017, One Stop Center dan Penempatan Guru Baharu.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ingin memaklumkan bahawa proses kelulusan pertukaran seseorang guru adalah berdasarkan kepada Kepentingan Perkhidmatan, Kekosongan Perjawatan serta Keperluan Opsyen di sesebuah sekolah di negeri yang dipohon. Selain itu, beberapa kriteria lain juga turut diberi pertimbangan dalam menentukan kelulusan permohonan pertukaran tersebut iaitu melibatkan sakit kronik, ancaman keselamatan, mengikut pasangan, tempoh berkhidmat di sesebuah sekolah dan lain-lain alasan munasabah dan wajar.

 

KELULUSAN PERTUKARAN GURU JUN 2017

Pada keseluruhannya jumlah guru di sekolah-sekolah bawah KPM pada tahun 2017 adalah seramai 427,942 orang. Jumlah tersebut merangkumi seramai 241,799 orang guru yang mengajar di sekolah rendah dan seramai 186,143 orang guru yang mengajar di sekolah menengah.

Manakala permohonan pertukaran guru bagi bulan Jun 2017 adalah berjumlah 20,470 permohonan atau 4.8 peratus. Ia melibatkan sejumlah 11,766 (4.9%) permohonan bagi sekolah rendah dan sejumlah 8,704 (4.7%) permohonan bagi sekolah menengah seluruh negara.

Alasan permohonan pertukaran tersebut dapat dikategorikan seperti berikut;

 

BIL. ALASAN PERMOHONAN JUMLAH %
1. Sakit Kronik 674 3.3
2. Ancaman Keselamatan 139 0.7
3. Duka Lara (Pasangan berada di negeri yang dimohon) 6,635 32.4
4. Tempoh berkhidmat 4,126 20.2
5. Permohonan bersama 3,655 17.9
6. Lain-lain alasan 5,241 25.6
JUMLAH 20,470 100.0

 

Daripada jumlah permohonan tersebut, jumlah yang DILULUSKAN permohonan pertukaran guru berkenaan bagi bulan Jun 2017 adalah seramai 2,825 (13.8%) orang.  Ia melibatkan sejumlah 1,824 (15.5%) permohonan bagi sekolah rendah dan sejumlah 1,001 (11.5%) permohonan bagi sekolah menengah seluruh negara.

 

Jumlah kelulusan mengikut kategori adalah seperti berikut;

 

BIL. ALASAN PERMOHONAN JUMLAH JUMLAH DILULUSKAN %
1. Sakit Kronik 674 37 5.5
2. Ancaman Keselamatan 139 15 10.8
3. Duka Lara (Pasangan berada di negeri yang dimohon) 6,635 2,261 34.1
4. Tempoh berkhidmat 4,126 168 4.1
5. Permohonan bersama 3,655 166 4.5
6. Lain-lain alasan 5,241 178 3.4
JUMLAH 20,470 2,825 13.8

 

Peratus kelulusan mengikut kategori adalah seperti berikut;

 

BIL. ALASAN PERMOHONAN JUMLAH DILULUSKAN %
1. Sakit Kronik 37 1.3
2. Ancaman Keselamatan 15 0.5
3. Duka Lara (Pasangan berada di negeri yang dimohon) 2261 80.0
4. Tempoh berkhidmat 168 5.9
5. Permohonan bersama 166 5.9
6. Lain-lain alasan 178 6.3
JUMLAH 2,825 100.0

 

Berdasarkan permohonan mengikut negeri, jumlah permohonan pertukaran antara negeri yang paling tinggi adalah dari negeri Sarawak iaitu seramai 3,976 (19.4%) orang guru. Manakala jumlah terendah yang mohon bertukar antara negeri adalah dari negeri Kelantan iaitu seramai 94 (0.4%) orang guru.

Pilihan negeri yang paling ramai dimohon oleh guru adalah negeri Kelantan iaitu berjumlah 4,319 (21.1%) permohonan, iaitu melibatkan sejumlah 2,154 permohonan di sekolah menengah dan sejumlah 2,165 permohonan di sekolah rendah. Sehingga pada 25 Mei 2017, jumlah perjawatan di negeri Kelantan yang masih ada adalah sebanyak 197 perjawatan iaitu 33 jawatan di sekolah menengah dan di sekolah rendah sebanyak 164 perjawatan.

Manakala negeri yang masih kekurangan guru dan memerlukan perhatian KPM adalah negeri Sarawak iaitu kekurangan sebanyak 1,282 perjawatan, iaitu 696 perjawatan di sekolah menengah dan 586 di sekolah rendah.

 

Dalam hal ini KPM memohon JPN Sarawak bersama-sama SPP mempercepatkan pengambilan guru interim bagi mengisi kekosongan tersebut dalam memenuhi hasrat pelaksanaan dasar 90 : 10. Sungguh pun KPM mempunyai bekalan guru yang mencukupi, namum KPM juga akur akan aspirasi negeri Sarawak untuk memberi keutamaan pengisian tersebut oleh anak-anak kelahiran negeri Sarawak.

PENYELESAIAN ISU DUKA LARA GURU JUN 2017

Daripada jumlah permohonan tersebut, jumlah yang dikategorikan sebagai kes duka lara yang memohon pertukaran adalah seramai 6,635 (32.4%) orang, iaitu melibatkan  seramai 3,783 (57.0%) orang guru dari sekolah rendah dan seramai 2,852 (43.0%) orang guru dari sekolah menengah.

Bagi kes tersebut, jumlah yang DILULUSKAN permohonan pertukaran bagi bulan Jun 2017 adalah seramai 2,261 (80.0%) orang, iaitu melibatkan  seramai 1,421 (77.9%) orang guru dari sekolah rendah dan seramai 840 (83.9%) orang guru dari sekolah menengah.

Pilihan negeri yang paling ramai dipohon oleh guru dalam kategori duka lara ini adalah negeri Kelantan iaitu berjumlah 1,010 (16.6%) permohonan.

KPM juga ingin menjelaskan bahawa pertimbangan kelulusan pertukaran tersebut adalah amat perlu juga mengambilkira kepentingan kelas-kelas peperiksaan serta opsyen kritikal seperti Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam di sekolah rendah serta Bahasa Melayu di sekolah menengah. Sehubungan itu, bagi mana-mana guru yang gagal dalam permohonan mereka pada sesi Jun 2017 hendaklah bersabar sehingga sesi pertukaran akan datang iaitu pada bulan Oktober 2017 atau Januari 2018.

PENEMPATAN GURU BARU JULAI 2017

KPM juga ingin memaklumkan bahawa bagi penempatan guru baharu, iaitu guru yang keluar dari IPGM dan IPTA akan dibuat pada bulan Julai 2017. Jumlah mereka adalah dianggarkan seramai 1,175 orang meliputi seramai 746 orang untuk ditempatkan di sekolah rendah dan seramai 429 orang untuk ditempatkan di sekolah menengah.

Dalam hal ini juga, KPM ingin menjelaskan bahawa bagi penempatan baru ini, semua calon tersebut hendaklah akur terhadap penempatan mereka kerana ia dibuat berdasarkan kepentingan perkhidmatan di seluruh negara. Mana-mana calon yang menolak arahan penempatan tersebut boleh dianggap menolak tawaran sebagai guru.

KPM telah menetapkan bahawa kekosongan jawatan di sesebuah negeri akan diberi keutamaan untuk penempatan guru-guru yang mohon bertukar khususnya dalam kes-kes sakit kronik, ancaman keselamatan, mengikut pasangan, tempoh berkhidmat di sesebuah sekolah termasuk kes-kes yang dikategorikan sebagai duka lara.

PENGURUSAN PENEMPATAN DAN PERTUKARAN GURU SECARA BERPUSAT (ONE STOP CENTER)

Bermula pada Januari 2018, KPM telah menetapkan bahawa semua urusan pertukaran dan penempatan guru akan dilaksanakan secara berpusat atau One Stop Center. Semua urusan pertukaran dan penempatan guru antara negeri hanya akan dilaksanakan di Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), KPM sebagai urus setia, dan tidak lagi dilaksanakan oleh bahagian-bahagian operasi yang lain di KPM.

Manakala urusan pertukaran dan penempatan guru di semua jenis sekolah di sesebuah negeri pula akan hanya dibuat oleh Pengarah Pendidikan Negeri masing-masing.

Langkah penambahbaikan proses kerja pertukaran dan penempatan guru secara berpusat ini bertujuan untuk;

 

Meningkatkan kecekapan dan keberkesanannya di mana tempoh masa yang akan digunakan untuk proses tersebut dapat disingkatkan.

 

Memudahkan rujukan dilaksanakan oleh pihak pengurusan tertinggi KPM dan juga pihak-pihak lain yang berkepentingan dalam urusan tersebut.

 

Pengurusan data guru dan data pergerakan guru dapat dipantau secara tepat melalui satu pusat seterusnya dapat mengelakkan percanggahan terhadap data tersebut.

 

Memudahkan guru berurusan secara setempat, tidak lagi terpaksa bergerak untuk mencari tempat-tempat yang berbeza bagi menyelesaikan urusan mereka. Hal ini juga dapat mengurangkan karenah birokrasi di samping memudahkan aduan dan maklumbalas guru-guru terlibat yang akan dikendalikan di satu pusat sahaja.

KPM amat berharap dengan langkah-langkah yang diambil tersebut akan dapat menyelesaikan banyak masalah khususnya berkaitan ketidakpuasan yang timbul dalam kalangan guru-guru kita.

Dengan langkah-langkah yang diambil ini juga, KPM juga amat berharap agar guru-guru dapat menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap tugas dan tanggungjawab mereka mendidik anak bangsa seperti diharapkan negara.

Perlu diperjelaskan juga bahawa dalam membuat pertimbangan terhadap pertukaran guru serta kebajikan mereka, KPM juga perlu mengambilkira kepentingan pembelajaran murid yang perlu diberi keutamaan khususnya bagi murid-murid yang berada dalam kelas-kelas peperiksaan awam UPSR dan SPM.

This post has already been read 16127 times!

Facebooktwittergoogle_plus
Facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram

Comments

comments