Program Perantisan Industri Menengah Atas (PIMA) Kementerian Pendidikan Malaysia.

Program Perantisan Industri Menengah Atas (PIMA) Kementerian Pendidikan Malaysia.

Tempat: SMK Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, Selangor.

Program PIMA ini dirangka selaras dengan Aspirasi Sistem dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dengan akses; setiap kanak-kanak warganegara Malaysia berhak mendapat kesamarataan peluang pendidikan bagi membolehkan mereka mencapai potensi diri masing-masing. Perubahan ini adalah berdasarkan Transformasi Pendididkan Nasional yang melibatkan peluasan kepada murid yang cenderung kepada kemahiran; risiko keciciran dalam kalangan murid menengah atas yang semakin meningkat (2013: 77.96%, 2014: 86.49%, 2015: 86.20%) serta murid yang tidak layak memiliki sijil SPM selepas 11 tahun mengikuti pendidikan formal di sekolah turut meningkat (2013: 14.48%, 2014: 14.90%, 2015: 15.10%)

Hal ini kerana program yang diaturkan ini bertepatan dengan Anjakan 1 dan 9 PPPM, iaitu menyediakan pendidikan berkualiti yang bertaraf antarabangsa kepada murid-murid bagi menjamin kejayaan mereka di sekolah. Kejayaan yang diharapkan ini memerlukan kerjasama yang erat dan meluas antara pihak sekolah dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta.

Kita sedia maklum, dalam tempoh empat tahun pelaksanaan PPPM, KPM telah melipatgandakan usaha bagi memastikan kejayaan beberapa inisiatif seperti yang ditetapkan dalam Gelombang 2 (2016-2020). Tumpuan pelaksanaan dalam Gelombang 2 adalah untuk memperkenalkan perubahan struktur dan pada masa yang sama memacu peningkatan yang telah berlaku semasa Gelombang 1. Justeru, kita perlu kekal komited dan perlu melipatgandakan usaha untuk memastikan sistem pendidikan negara dapat direalisasi dan dipercepat sejajar dengan perubahan dunia masa kini.

Penawaran program PIMA ini diharap dapat menjadi alternatif akses murid kepada TVET yang berkualiti. Pelaksanaannya juga dapat mempertingkatkan lagi pendidikan vokasional bagi menjayakan Transformasi Pendidikan TVET serta memberi sumbangan yang besar kepada pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) enrolmen pendidikan vokasional.  Kaedah ini memberi peluang kepada murid untuk mendapat pengiktirafan kemahiran daripada pihak industri dan membuka ruang kerjaya yang lebih pelbagai dalam bidang kemahiran.

Transformasi Nasional 2050

Dalam memenuhi Agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50) bagi melahirkan generasi muda yang cemerlang dalam tempoh 30 tahun pula, guru-guru perlu kreatif dalam mendidik anak murid sesuai dengan zamannya. Realitinya, TN50 telah membentuk satu piawaian KPI yang realistik dan praktikal kepada guru. Pada masa ini, sekolah  bukan sahaja perlu melahirkan tenaga profesional, ilmuan dan pemimpin tetapi juga menjana modal insan yang bersahsiah dan berpersonaliti yang sempurna serta berkemahiran dalam menjadikan modal insan yang lebih holistik. Hal ini penting kerana anak-anak inilah bakal menjadi produk yang akan membanjiri pasaran kerjaya dalam pelbagai sektor dan menyumbang kepada kejayaan negara menjelang tahun 2050.

Program Perantisan Industri Menengah Atas (PIMA)

Matlamat utama program ini adalah untuk melahirkan modal insan yang berkemahiran, yakin diri dan bersedia untuk menyertai pasaran kerja selaras dengan minat kecenderungan murid itu sendiri.  Program ini terbuka kepada murid-murid tingkatan 4 yang berminat dengan syarat mendapat kebenaran daripada ibu bapa mereka. Murid-murid ini  juga telah menduduki Pentaksiran Psikometrik pada tahun semasa dan mendapat surat tawaran bagi menyertai program ini. Mereka juga perlu menandatangani surat perjanjian yang telah ditetapkan.

Antara objektif utama program PIMA ialah:

  • mengatasi masalah keciciran dalam kalangan murid di peringkat sekolah menengah;
  • menyediakan alternatif pembelajaran kepada murid-murid yang berisiko keciciran;
  • menimbulkan minat belajar melalui ‘hands on’ bekerja di industri;
  • membentuk sahsiah diri dan pembangunan karakter yang mantap berbekalkan pengetahuan dan kemahiran pekerjaan; dan
  • memberi peluang kepada murid-murid mengaplikasikan ilmu dan teori yang dipelajari di industri ke dalam dunia pekerjaan yang sebenar.

Sehubungan dengan itu, beberapa kursus telah dikenal pasti untuk murid-murid ikuti iaitu:

  • mekanik penyejukbekuan dan penyamanan udara
  • terapi spa
  • pembuatan pakaian wanita
  • teknologi kimpalan arka dan gas
  • perkhidmatan menyelenggara motosikal
  • automotif

Murid-murid yang mengikuti program ini akan berada di sekolah selama 2 hari manakala 3 hari di industri. Mereka belajar 5 subjek teras di sekolah (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik dan Pendidikan Islam/Pendidikan Moral). Jangka masa pembelajaran mata pelajaran teras ini hendaklah dalam tempoh 2 tahun secara keseluruhannya.

Keselamatan dan kebajikan murid-murid dalam Program PIMA meliputi cuti berdasarkan takwim persekolahan, kerja lebih masa (kerja selepas praktikal, semasa cuti umum atau semasa cuti persekolahan), insurans tambahan, waktu rehat dan pengangkutan.

Walau bagaimanapun pihak industri perlu mematuhi Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966: Akta 350 yang telah digariskan oleh Kementerian Sumber Manusia. Sementara penyeliaan latihan industri menjadi tanggungjawab pihak industri. Dalam hal ini, guru penyelaras bertindak memantau disiplin dan kehadiran murid melalui pegawai penyelia pihak industri itu sendiri.

Program PIMA mengguna pakai mod latihan perantisan yang menetapkan 60% masa pembelajaran di industri manakala 40% pembelajaran akademik. Murid-murid yang terlibat akan memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Pernyataan Mata Pelajaran Aliran Kemahiran (MPAK); testimoni atau sijil perakuan latihan yang dikeluarkan oleh pihak industri.

KPM akan perluaskan program ini secara menyeluruh di sekolah menengah harian pada masa akan datang. KPM menyasarkan sekurang-kurangnya 2 buah sekolah di setiap Pejabat Pendidikan Daerah bagi Semenanjung Malaysia manakala di Sabah dan Sarawak adalah mengikut kesesuaian untuk menyertai program ini pada tahun 2018. KPM akan menawarkan program ini kepada sekolah yang berminat memandangkan Program PIMA mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan ibu bapa.

Program PIMA menyasarkan seramai 70,000 orang murid iaitu melebihi 10 peratus yang akan menyertai bidang kemahiran dalam tempoh 2018 hingga 2019. Sasaran KPI ini turut melibatkan murid yang sedang belajar di Kolej Vokasional. Program PIMA ini juga secara tidak langsung dapat menjimatkan peruntukan kerajaan sebanyak RM3.520 bilion bagi membina Kolej Vokasional yang baharu dalam melatih murid-murid di bidang kemahiran.

Bagi tujuan peluasan Program PIMA ini untuk di laksanakan di seluruh negara, KPM telah menyediakan Garis Panduan Pelaksanaan dan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) kepada sekolah sebagai panduan. Garis panduan dan SPI ini akan dihantar kepada semua sekolah melalui Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah supaya semua pihak maklum peranan masing-masing dalam memastikan Program PIMA ini dapat berjalan dengan lancar.

Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada industri yang telah memberikan kerjasama kepada KPM dalam pelaksanaan Program PIMA di SMK Bukit Rahman Putra.

Saya berharap kita semua dapat bekerja dalam satu pasukan yang mantap dan kukuh demi menjayakan apa-apa yang telah kita gariskan dalam perancangan strategik dan petunjuk prestasi utama KPM pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang.  

Semoga segala usaha murni kita untuk memartabatkan perkhidmatan awam khususnya dalam bidang pendidikan mendapat keberkatan-Nya dan mencapai matlamat dengan jayanya.

This post has already been read 3602 times!

Facebooktwittergoogle_plus
Facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram

Comments

comments