Transformasi Pendidikan Vokasional

Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Kali Kedua.

 

~90.58 peratus dari 2,273 graduan kohot pertama (2016) telah mendapat pekerjaan mengikut bidang, manakala 55.49 peratus dari 12,997 pelajar kohot kedua (2017) telah ditawarkan pekerjaan sebelum tamat pengajian.~

Seramai 12,997 graduan daripada 36 program telah berjaya menamatkan pengajian masing-masing di 72 buah kolej vokasional di seluruh negara. Konvokesyen kali kedua bermula 20 Ogos 2017 sehingga 27 Ogos 2017 juga akan meraikan pelajar-pelajar yang terlibat dalam Program `Buying Places` KPM bersama 2 buah Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) iaitu Malaysian Institute of Technology Academy (MITA) dan Akademi Latihan Penerbangan Malaysia (MATA). Selain itu, majlis ini juga turut meraikan Anugerah Pelajar Terbaik Program dan Anugerah Emas Menteri Pendidikan.

Transformasi Pendidikan Vokasional

Kita sedia maklum bahawa di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) kerajaan telah berusaha untuk mengarusperdanakan pendidikan vokasional. Bagi menyahut saranan tersebut, KPM dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025 telah membuat satu perubahan dalam Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan memberi penekanan membangunkan potensi pelajar yang mempunyai kecenderungan dalam pelbagai minat dan kebolehan. Kini, terdapat peningkatan sebanyak 20 peratus enrolmen pelajar dalam sistem pendidikan vokasional.

Menyedari keperluan dan kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional (Technical and Vocational Education and Training –TVET) dalam pembangunan kapasiti serta menyokong ke arah merealisasikan status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, KPM telah merangka dan melaksanakan Pelan Transformasi Pendidikan Vokasional mulai 2012.  Antara inisiatif utama adalah pelaksanaan Program Transformasi Pendidikan Vokasional yang merupakan pengenalan Pendidikan Asas Vokasional (PAV) dan menaik taraf Sekolah Menengah Vokasional (SMV) kepada Kolej Vokasional (KV). KPM juga telah melaksanakan Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) dengan  menaik taraf Mata Pelajaran Vokasional (MPV) mulai tahun 2016.

Inisiatif lain termasuk mengukuhkan lagi jaringan kerjasama dengan industri. Kerjasama sektor awam dan sektor swasta ini telah berjaya meningkatkan kualiti pendidikan vokasional terutama dari aspek pengiktirafan oleh pihak industri. Ekonomi Malaysia akan berhadapan dengan kesukaran sekiranya negara dan industri tidak membuat persediaan awal.

Maklum balas daripada pihak industri mendapati wujudnya jurang antara pengetahuan, kemahiran dan sikap graduan dengan keperluan di tempat kerja. Dalam situasi ini, kita telahpun mengambil tindakan proaktif dengan mengadakan “Memorandum of Understanding” (MoU) dengan industri kerajaan dan swasta untuk pelaksanaan on-the-job training (OJT).  MoU ini membolehkan pelajar kita menjalani latihan industri selama empat bulan selepas empat tahun menimba pelbagai ilmu dan kemahiran di kolej vokasional.

Bukan itu sahaja, pengajian di KV kini merangkumi modul insaniah yang menjurus kepada penguasaan soft skills termasuk kemahiran employability skills dan penguasaan bahasa antarabangsa dan bahasa perniagaan seperti Bahasa Arab dan Bahasa Cina. Modul insaniah ini mengandungi elemen soft skills yang dapat membantu pembentukan sikap yakin diri graduan KV, seterusnya lebih berdaya saing dan berpeluang memenuhi permintaan dalam pasaran kerja di industri.

Graduan Kolej Vokasional

Saya bersyukur atas kejayaan dan pencapaian Transformasi Pendidikan Vokasional yang amat membanggakan. Keyakinan sikap serta kemahiran spesifik yang ada pada graduan KV akan meletakkan mereka pada aras yang tinggi dan mampu bersaing, terutamanya untuk mengisi perjawatan di sektor swasta dan sebagai tenaga mahir dalam industri. Semua pihak haruslah melihat kejayaan ini secara holistik sebagai satu usaha membina generasi yang berbangsa Malaysia yang mampu memiliki pekerjaan dengan pendapatan yang tinggi.

Di sini sukalah saya berkongsi beberapa kejayaan graduan KV yang membanggakan kita iaitu:

90.58 peratus dari 2,273 graduan kohot pertama (2016) telah mendapat pekerjaan mengikut bidang, manakala 55.49 peratus dari 12,997 pelajar kohot kedua (2017) telah ditawarkan pekerjaan sebelum tamat pengajian.

Graduan KV boleh melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi awam dan swasta melalui dua laluan khas untuk mereka yang cemerlang dan laluan Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL).

Saudari Anis Sophia Mohd Rosehan Anwar, bekas pelajar Kolej Vokasional Shah Alam berjaya melanjutkan pengajian ke tahun dua di Dublin Business School dalam BA (Hons) in Business (Psychology) dan tahun ketiga ditawarkan Program Master of Business Administration (MBA) (With Streams).

Tahniah kepada semua yang berjaya!

Harapan

Dalam dunia realiti, para graduan harus bersaing secara sihat dan mempunyai kemahiran yang tinggi untuk menyelesaikan masalah berperwatakan dan berperibadi mulia, bersikap ilmiah, tinggi daya fikir, serta berupaya menghadapi apa-apa jua situasi dan rintangan. Harapan negara kepada para graduan ini amatlah tinggi. Mereka bertanggungjawab menguruskan pembangunan negara pada masa hadapan dan menentukan arah kecemerlangan negara tercinta, Malaysia.

Saya yakin pihak pengurusan BPTV dan warga kolej mampu melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi dan mempunyai ketrampilan diri. Syabas dan tahniah kepada semua tenaga pengajar kolej vokasional.  Sememangnya, Kerajaan amat peka tentang pentingnya peranan dan tanggungjawab para pensyarah. Oleh itu, amat wajar tuan-tuan dan puan-puan mempertingkatkan tahap profesionalisme dan kemahiran melalui kursus-kursus atau seminar yang sesuai dan berkaitan.

Terima kasih juga kepada pihak industri, swasta dan agensi-agensi kerajaan yang telah memberi kerjasama kepada KPM dalam menjayakan Transformasi Pendidikan Vokasional khususnya dalam memberi peluang kepada para pelajar menjalani latihan OJT. Kerjasama dengan pihak industri ini perlu diteruskan memandangkan pada tahun 2018 hampir 16,000 orang pelajar KV akan menjalani OJT.

~ Kepada para graduan yang diraikan, syabas dan tahniah kerana akan menerima diploma yang merupakan satu pengiktirafan kepada para graduan berkemahiran tinggi serta akan mewarnai dunia pekerjaan dalam pelbagai sektor dan industri di negara ini.~

 

 

~Sekalung tahniah juga diucapkan kepada tenaga pengajar dan ahli akademik dalam mencapai salah satu sasaran penting bidang keberhasilan utama kementerian. Syabas dan terima kasih kepada para ibu bapa, ahli keluarga dan waris yang memberikan inspirasi dalam memastikan kejayaan para graduan.~

 

” Saya mendoakan agar semua graduan KV berjaya memperoleh pekerjaan dan jadikanlah pekerjaan itu sebagai satu ibadah seterusnya mengharumkan nama kolej vokasional Malaysia agar dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan graduan IPT lain. ” – Mahdzir Khalid

 

This post has already been read 2552 times!

Facebooktwittergoogle_plus
Facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram

Comments

comments