Memperkasa Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21)

“Pegawai-pegawai Pendidikan Daerah (PPD) seharusnya lebih peka terhadap kehendak warga pendidik di bawah tanggungjawab masing-masing. “

“Dalam membicarakan PAK21, kita banyak mendengar penekanan diberikan kepada kalangan pendidik. Kita jarang-jarang mendengar peranan Pegawai Pendidikan Daerah dikupas dengan panjang lebar. “

“Kayu ukur kepada PAK21 adalah kemenjadian murid. Murid-murid merupakan klien utama kita. Selain murid-murid, ibu bapa turut merupakan sebahagian daripada pelanggan utama kita. “

“Semua warga pendidik seharusnya bertanggungjawab melahirkan insan yang mengamalkan KBAT, bukan untuk tujuan lulus peperiksaan semata-mata tetapi mampu mengamalkannya dalam kehidupan seharian.”

“Semua PPD seharusnya memastikan ciri-ciri guru abad ke-21 seperti menguasai kandungan kurikulum, mahir dan berketrampilan dalam pedagogi, menggunakan teknologi terkini, memahami perkembangan murid dan menyayangi mereka, memahami psikologi pembelajaran serta memiliki kemahiran kaunseling, wujud di daerah masing-masng.”

“Sebelum mampu menilai para pendidik di daerah masing-masing mempunyai ciri-ciri guru abad ke-21, semua PPD seharusnya melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang bersesuaian untuk memastikan para pendidik yang ada di daerah kita benar-benar kompeten. “

PERSIDANGAN KEBANGSAAN PENGURUSAN PENDIDIKAN MALAYSIA PEGAWAI PENDIDIKAN DAERAH 2017

Program Transformasi Daerah (DTP) : Memperkasakan Pembelajaran Abad Ke-21

Seiring dengan perubahan drastik dalam bidang pendidikan, peranan Pegawai Pendidikan Daerah semakin penting. Di bawah Program Transformasi Daerah, apabila jabatan pendidikan setiap negeri dikecilkan, peranan Pegawai Pendidikan Daerah dan sekolah akan bertambah besar daripada yang sedia ada. Hal ini menyebabkan Pegawai Pendidikan Daerah perlu diperkasakan bagi memastikan Pegawai-pegawai Pendidikan Daerah berupaya meneraju dan melaksanakan transformasi seperti yang dihasratkan.

Pegawai Pendidikan Daerah bertanggungjawab menjadi agen terpenting dalam merealisasikan sesebuah daerah menjadi organisasi yang benar-benar mapan serta mantap. Ini kerana Pegawai Pendidikan Daerah merupakan jambatan penghubung terpenting antara Kementerian Pendidikan dengan sekolah. Peranan ini amat relevan dan penting dalam era yang semakin canggih dan mencabar ini. Untuk itu, semua Pegawai Pendidikan Daerah seharusnya memanfaatkan sepenuhnya persidangan ini bagi memastikan semua input yang ada dikumpul dan dikongsi dengan seluruh warga pendidik di daerah masing-masing.

Dalam mendepani era pendidikan yang semakin mencabar ini, pelbagai isu berkaitan dengan pendidikan sentiasa mencuri perhatian masyarakat. Dalam menangani cabaran ini, Pegawai Pendidikan Daerah mempunyai tanggungjawab dan peranan yang amat penting bagi memastikan segala cabaran tersebut dapat diselesaikan dengan mengambil kira kepentingan semua pihak. Isu salah laku murid sering kali menjadi tumpuan media massa dan peranan Pegawai Pendidikan Daerah amat penting dalam memastikan isu-isu seumpama ini diselesaikan sebaik mungkin.

Integriti

Isu integriti merupakan satu daripada isu yang sering dikaitkan dengan penjawat awam. Bidang pendidikan tidak terlepas daripada isu integriti ini. Warga pendidik terlibat dalam isu ini secara langsung dan tidak langsung. Pegawai-pegawai Pendidikan Daerah turut sama menjadi tumpuan apabila disebut integriti. Pegawai-pegawai Pendidikan Daerah sebagai ketua bagi sesebuah daerah mempunyai peranan dan tanggungjawab yang amat penting dalam usaha memastikan semua warga pendidik di daerah masing-masing benar-benar berintegriti supaya imej pendidik sentiasa terpelihara. Kitalah yang sepatutnya menjadi suri teladan kepada semua penjawat awam lain kerana kita paling dekat dengan mahrain.

Desawarsa ini, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha memastikan anak-anak kita mendapat pendidikan yang berkualiti. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah dilancarkan pada tahun 2013 dan rentetan itu, Program Transformasi Daerah (DTP) telah dilaksanakan. Dalam Gelombang Kedua ini pelbagai inisiatif di bawah DTP ini menjadi tumpuan utama Kerajaan Malaysia.

Program Transformasi Daerah (DTP) ini berteraskan konsep sokongan dan akauntabiliti bagi mempertingkat kualiti pendidikan sekolah-sekolah dalam kawalan PPD. Kementerian akan memastikan JPN dan PPD diperkukuh dan ditumpukan semula dalam usaha menyokong pembelajaran murid dan meningkatkan pencapaian keseluruhan sekolah. Program DTP mensasarkan peningkatan keberhasilan murid di sekolah berprestasi rendah menerusi sokongan dan bantuan terbeza daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Justeru itu, pengupayaan kepimpinan tempatan lebih diutamakan di mana perubahan peranan PPD lebih berfokus kepada usaha meningkatkan sokongan kepada sekolah dalam daerah. PPD harus memberikan sokongan kepada pengetua, guru besar, guru dan murid melalui pelaksanaan intervensi yang menepati keperluan sekolah untuk menangani pelbagai isu dan cabaran. Pegawai Pendidikan Daerah perlu berfokus kepada kepimpinan instruksional dan sekolah yang paling memerlukan bimbingan.

PPD perlu memberi tumpuan kepada tindakan intervensi berfokus bagi mencapai Key Perfomance Indicator (KPI). PPD perlu mengatur pertemuan dengan pihak sekolah bagi membincangkan prestasi pendidikan berdasarkan data dan fakta serta disusuli dengan tindakan yang mantap dan berfokus bagi mencapai sasaran KPI tersebut.

Oleh yang demikian, PPD perlu mempunyai kebolehan untuk menganalisis data sekolah, mengesan punca masalah dan mereka bentuk pelbagai bantuan serta sokongan kepada sekolah. PPD juga akan membantu sekolah untuk melibatkan ibu bapa dan seluruh masyarakat bagi memaksimumkan impak pelaksanaan. Usaha mentransformasikan organisasi sekolah ini memerlukan pemimpin yang dihormati dan mampu memacu pelaksanaan proses.

Pegawai Pendidikan Daerah mempunyai tanggungjawab besar dalam usaha memastikan DTP ini mencapai sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan. Sehubungan dengan itu, pemerkasaan Pegawai-pegawai Pendidikan Daerah amat penting dilaksanakan dengan segera. Semua Pegawai Pendidikan Daerah seharusnya melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan terutama yang berkaitan dengan bidang pendidikan. Bagi meyokong pelaksanaan DTP, pegawai pada semua peringkat perlu mengamalkan budaya kerja yang menjurus kepada penyelesaian masalah serta pemikiran kreatif dan inovatif.

Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21)

Pembelajaran Abad ke-21 merupakan satu aspek yang hangat diperkata oleh semua warga pendidik dan masyarakat akhir-akhir ini. Namun banyak pihak beranggapan bahawa PAK21 ini hanya merujuk kepada susun atur bilik darjah semata-mata. Memang satu daripada aspek PAK21 merupakan susun atur bilik darjah yang bersesuaian dengan aktiviti murid.

Namun begitu banyak lagi aspek yang lebih penting selain aspek tersebut. Dalam bahasa mudah PAK21 boleh didefinisikan sebagai ‘requires students to matter the content while producing synthesizing and evaluating information from a wide variety of subjects and sources with an understanding of and respects for diverse cultures (Barnet Berry, Founder & CEO, Center For Teaching Quality, 2011). Berdasarkan definisi tersebut jelas menunjukkan tahap pemikiran aras tinggi diberi penekanan dalam PAK21. Pemprosesan maklumat menjadi keutamaan dalam sesuatu interaksi pengajaran dan pembelajaran.

Aspek 4C menjadi petanda penting kewujudan PAK21 dalam sesebuah Pengajaran dan Pemudahcaraan atau PdPc. Communication, Critical Thinking, Collaboration dan Creativity merupakan 4C yang ada dalam PAK21. Di kebanyakan negara barat, mereka menambah satu C lagi iaitu Computer atau literasi komputer.

Dalam membicarakan PAK21, kita banyak mendengar penekanan diberikan kepada kalangan pendidik. Kita jarang-jarang mendengar peranan Pegawai Pendidikan Daerah dikupas dengan panjang lebar. Sebenarnya, Pegawai Pendidikan Daerah merupakan individu terpenting dalam memastikan kelangsungan dan pelaksanaan PAK21 di setiap sekolah. PPD sebenarnya merupakan individu yang sepatutnya diperkasakan terlebih dahulu. Tuan-tuan dan puan-puanlah yang menjadi peneraju utama PAK21 di daerah masing-masing.

Semua PPD seharusnya memahami dan menjiwai roh serta falsafah yang terkandung dalam PAK21. Semua PPD seharusnya memastikan ciri-ciri guru abad ke-21 seperti menguasai kandungan kurikulum, mahir dan berketrampilan dalam pedagogi, menggunakan teknologi terkini, memahami perkembangan murid dan menyayangi mereka, memahami psikologi pembelajaran serta memiliki kemahiran kaunseling, wujud di daerah masing-masng.

Sebelum mampu menilai para pendidik di daerah masing-masing mempunyai ciri-ciri guru abad ke-21, semua PPD seharusnya melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang bersesuaian untuk memastikan para pendidik yang ada di daerah kita benar-benar kompeten.  

PAK21: Kayu ukur kejayaan.

Kayu ukur kepada PAK21 adalah kemenjadian murid. Murid-murid merupakan klien utama kita. Selain murid-murid, ibu bapa turut merupakan sebahagian daripada pelanggan utama kita. Sepatutnya semua PPD peka dan cakna terhadap kemenjadian murid sepertimana yang dihasratkan dalam Aspirasi Murid yang terkandung dalam PPPM 2013-2025. Semua warga pendidik khasnya PPD seharusnya cakna terhadap kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid-murid seperti yang dihasratkan dalam PAK21 ini.

Kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid dalam PAK21 ini termasuklah kemahiran pembelajaran dan inovasi, kemahiran maklumat, media dan teknologi, serta kemahiran hidup dan kerjaya. Ketiga-tiga kemahiran ini perlulah dipastikan ada dalam kalangan anak didik kita. PPD bertanggungjawab dalam memastikan hal ini berlaku. Menjadi tanggungjawab PPD nemastikan diri masing-masing memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran melalui amalan membaca serta muzakarah.

Latihan dalam perkhidmatan (LDP) seharusnya diberikan kepada warga pendidik di daerah masing-masing. Hal ini bukan sahaja berupaya memperkasakan kalangan guru tetapi juga berupaya membantu PPD meningkatkan kompetensi mereka sendiri.

PAK21 mempunyai beberapa elemen penting yang mesti diberi perhatian oleh semua warga pendidik dan PPD khasnya perlu meneliti serta memastikan elemen berkenaan ada diamalkan di daerah masing-masing. Elemen-elemen seperti kreativiti dan inovasi, fleksibiliti dan keupayaan menyesuaikan diri seharusnya diberi penekanan. Pemikiran kritis dan penyelesaian masalah, berinisiatif serta mempunyai haluan komunikasi dan kolaboratif sepatutnya ada dalam sesebuah kelas PAK21.

Kemahiran sosial dan antara budaya, literasi maklumat, literasi teknologi dan komunikasi turut perlu diberi perhatian oleh semua PPD untuk dipastikan berlaku dalam PdPc di daerah masing-masing. Elemen yang seterusnya ialah produktiviti dan akauntabiliti serta kepimpinan dan tanggungjawab turut perlu dijadikan amalan di setiap sekolah.  Semua elemen ini merupakan elemen yang penting untuk dipastikan wujud dalam PAK21. PPD seharusnya mengambil langkah proaktif terhadap isu ini.

PAK21 wujudkan murid KBAT

PAK21 sebenarnya menjurus kepada mewujudkan murid-murid yang mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi atau KBAT. Semua warga pendidik seharusnya bertanggungjawab melahirkan insan yang mengamalkan KBAT, bukan untuk tujuan lulus peperiksaan semata-mata tetapi mampu mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Pengurusan sumber sokongan termasuk teknologi serta maklumat dalam melaksanakan PdPc berkesan dan berkualiti memerlukan sokongan PPD.

Peranan PPD dan SiPartner+ dan SISC+ perlu seiring.

Aspek pengetahuan kandungan kurikulum dan pedagogi turut memerlukan perhatian serius PPD. Semua cabaran ini perlulah ditangani dengan berkesan di semua peringkat. PPD seharusnya berusaha dan bergerak seiringan dengan SiPartner+ dan SISC+ dalam mendepani cabaran ini. Kepakaran yang ada pada pegawai-pegawai tersebut seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya. Gerakkan juga pegawai lain di Pejabat Pendidikan Daerah masing-masing dalam usaha memastikan PAK21 berjalan lancar di daerah.

Sesungguhnya melalui PAK21, murid-murid yang memiliki ciri-ciri seperti berupaya membuat hubung kait, bijak menyoal, yakin berkomunikasi, dahagakan ilmu, mengambil risiko dan ingin tahu perlulah dipupuk dalam diri setiap anak didik kita. Selain itu, PAK21 juga diharapkan dapat melahirkan murid-murid yang mampu menjana idea, fleksibel, tidak berputus asa, mendengar dan membuat refleksi serta berkemahiran kritis. Menjadi tugas semua pendidik untuk mewujudkan murid-murid tersebut dan PPD berperanan penting menyokong serta memperkasakan pendidik dengan ilmu dan kemahiran bersesuaian bagi membantu guru-guru melahirkan murid-murid sedemikian.

Ciri-ciri lain yang diharapkan dapat dilahirkan melalui PAK21 ialah murid-murid yang menguasai kemahiran literasi, berani mencuba, mampu berfikir sendiri, berinisiatif, mampu bekerja dengan orang, membuat perubahan dan berintegriti. Semua elemen ini sebenarnya terkandung dalam KSSR dan KSSM. PPD perlulah memastikan semua kandungan dalam kurikulum tersebut dipatuhi oleh semua warga pendidik di PPD masing-masing.

Persidangan yang dianjurkan seumpama ini amat penting bagi Pegawai Pendidikan Daerah sebagai satu wahana perkongsian ilmu pengetahuan serta medium percambahan dan pertukaran idea dalam kalangan Pegawai-pegawai Pendidikan Daerah. Budaya berkongsi ilmu seharusnya menjadi amalan semua warga pendidik. Selain mengadakan persidangan seumpama ini, warga pendidikan seharusnya turut mengamalkan budaya Professional Learning Community (PLC) secara istiqamah.

Di bawah DTP 3.0 yang berkuatkuasa mulai 03 Julai 2017, satu daripada elemen penting yang terkandung di dalamnya ialah PLC. Kejayaan PLC sebenarnya berkait rapat dengan pegawai pendidikan di setiap daerah. Pegawai Pendidikan Daerah bertanggungjawab dalam pelaksanaan PLC. Menurut Robert Eaker dan Janel Keating, 2012 dalam bukunya Every School, Every Team, Every Classroom, peranan Pegawai Pendidikan Daerah sebagai peneraju dan pemangkin dalam memastikan kejayaan pembentukan warga pendidik yang mengamalkan PLC, amat dititikberatkan. Oleh itu, diharapkan Pegawai-pegawai Pendidikan Daerah dapat memainkan peranan utama sebagai perancang dan pelaksana kepada kelestarian budaya PLC di daerah masing-masing.

Transformasi Nasional 2050 #TN50

Kerajaan sedang merangka satu gagasan yang dikenali sebagai Transformasi Nasional 2050 atau lebih dikenali sebagai TN50. Kementerian Pendidikan terlibat secara langsung dalam gagasan TN50 ini. Warga pendidikan turut memainkan peranan utama dalam menjayakan TN50. Pandangan warga pendidik turut diambil kira dalam pembentukan TN50 ini. Pegawai-pegawai Pendidikan Daerah seharusnya memainkan peranan menjelaskan tentang hal ini kepada warga pendidik di daerah masing-masing.

Sehubungan itu, Pegawai-pegawai Pendidikan Daerah seharusnya lebih peka terhadap kehendak warga pendidik di bawah tanggungjawab masing-masing. Menjadi tanggungjawab kita sebagai warga pendidik menjelaskan apa-apa dasar baharu kepada warga pendidikan agar sesuatu dasar itu difahami oleh semua. Oleh itu, Pegawai Pendidikan Daerah mempunyai tugas berat dalam memperjelaskan dasar-dasar kerajaan yang berkaitan dengan pendidikan.

Sesungguhnya persidangan seumpama ini seharusnya menjadi agenda tahunan bagi Pegawai-pegawai Pendidikan Daerah. Perhimpunan seumpama ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua Pegawai Pendidikan Daerah khasnya dan warga pendidik amnya. Syabas dan tahniah sekali lagi atas kejayaan penganjuran majlis ini.


Mahdzir Khalid

Menteri Pendidikan Malaysia

Perasmian Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Malaysia

~23 Ogos 2017 ; Kuching, Sarawak. ~

This post has already been read 5771 times!

Facebooktwittergoogle_plus
Facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram

Comments

comments