Menjadi Guru Malaysia

“Menjadi Guru Malaysia” ini sangat signifikan bahawa guru merupakan faktor paling penting dalam mencapai keberhasilan murid di sekolah.  Oleh itu, guru seharusnya menjadi pemimpin, pakar rujuk dan menjadi rakan pembimbing bagi memastikan kemenjadian murid. Untuk berjaya, jadilah guru pemimpin yang suka kepada cabaran dan melihat kesukaran sebagai peluang, sentiasa ingin tahu dengan meneroka dunia baharu, ‘iconoclastic’ (berani mencabar amalan dan kepercayaan tradisi), menggalakkan eksperimentasi dan penambahbaikan, menghargai seseorang yang melihat peluang dalam situasi yang sukar, mendengar perspektif yang berbeza daripada pelbagai sumber, melakukan kolaboratif merentasi sempadan, cepat berhadapan dengan realiti apabila berhadapan dengan kegagalan, dan tidak malu untuk mengatakan “saya tidak tahu” dalam situasi yang tidak pasti.

Konvokesyen Institut Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia, kali ke-8

Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya kita dapat sama-sama berkumpul pada hari ini bagi menyempurnakan istiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia, kali ke-8 di dewan yang mulia ini.

Saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada warga Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Kementerian Pendidikan Malaysia atas usaha gigih menjayakan majlis yang amat bermakna kepada semua khususnya para graduan sekalian. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada saudara dan saudari yang telah menamatkan kursus masing-masing dengan jayanya. Semoga kejayaan ini menjadi perangsang kepada anda sekalian untuk menabur bakti dan beriltizam  memberi perkhidmatan terbaik kepada anak bangsa agar terus cemerlang dan gemilang pada masa akan datang.

Pendidikan di Malaysia telah berkembang pesat setanding dengan bidang profesional yang lain di negara kita. Keadaan ini terbukti apabila profesion keguruan menjadi pilihan utama pelajar lepasan menengah untuk menyumbang kepada pendidikan dan negara.  Kementerian telah menerima banyak permintaan untuk menyertai program latihan perguruan yang secara langsung menunjukkan petanda positif kerana terdapat minat yang meluas dan mendalam untuk menyertai profesion keguruan.

Majlis konvokesyen pada kali ini membariskan sejumlah 5,976  orang graduan yang akan menerima ijazah dan diploma masing-masing menerusi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), Program Latihan Perguruan Peringkat Ijazah Pertama (PLPPIP-KIRKBY), Program Pensiswazahan Guru (PPG), dan Program Kolaborasi Kementerian Pendidikan Malaysia bersama-sama University of Besancon untuk program bahasa Perancis.

Selain itu, barisan graduan juga terdiri daripada mereka yang mengikuti Kursus Diploma Perguruan Malaysia – Kursus Dalam Cuti (KDPM-KDC) Menengah dan Rendah serta Program Diploma Pendidikan Lepas Ijazah (PDPLI). Menariknya konvokesyen pada kali ini bakal menyaksikan para graduan Program Ambilan Khas Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) KPM yang turut menerima ijazah masing-masing.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 #PPPM20132025

Dalam Rancangan Malaysia Ke-11, kerajaan lebih menekankan kepada pertumbuhan yang berpaksikan rakyat. Kita amat bersyukur kerana pembinaan infrastruktur dan kemudahan prasana sekolah seperti yang kita lihat pada hari ini membuktikan hasrat, keikhlasan dan kesungguhan kerajaan menyediakan pendidikan berkualiti kepada rakyat demi kemajuan negara tercinta selaras dengan visi Kementerian iaitu “Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera“.

Sesungguhnya Kementerian amat komited untuk merealisasikan matlamat dan aspirasi yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025. Kejayaan yang besar dalam Gelombang Satu PPPM telah membuka ruang kepada kita untuk bertindak dengan lebih pantas bagi menambah baik sistem pendidikan supaya matlamat transformasi dapat dicapai dalam tempoh lapan tahun dari sekarang. Oleh itu, saya menyeru agar kita terus melipatgandakan usaha dan bekerja bersama-sama untuk menjadikan sistem pendidikan negara antara sistem yang terbaik di dunia.

Untuk menjadi yang terbaik, saya pasti andalah penggerak utamanya. Sebagai guru muda yang telah dilatih dan dibimbing dengan kepesatan teknologi masa kini, sudah semestinya anda mampu mengadaptasikan ilmu itu dengan membuat perubahan yang lebih kreatif dan inovatif. Perubahan tersebut bersesuaian mengikut keperluan Pendidikan 2030 bagi menyediakan pendidikan untuk semua berpandukan dasar baharu yang dirangka melalui pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang memberi fokus kepada teknologi digital dalam pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc).

Kementerian Pendidikan Malaysia juga sentiasa menyemak standard kualiti latihan guru bagi memastikan semua latihan keguruan kekal berada pada tahap berkualiti dan mencapai standard yang ditetapkan. Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memastikan hanya mereka yang berkualiti berada dalam sistem pendidikan negara dan kekal berkualiti sepanjang tempoh perkhidmatan. Langkah yang diambil termasuklah memantapkan mekanisme pelaksanaan latihan profesionalisme keguruan, menambah baik sistem pemilihan calon guru, melonjakkan kecemerlangan institusi latihan keguruan, dan menambah baik laluan kerjaya serta kebajikan guru. IPGM juga memainkan peranan penting bagi memantapkan struktur dan fungsinya agar pihak yang berkenaan dapat menghasilkan gerak kerja yang lebih cemerlang dan berkualiti seiring dengan keperluan semasa.

Saya berharap agar konvokesyen pada hari ini menjadi titik permulaan bagi para graduan menanam azam dan tekad dalam usaha menyuntik semangat menjadi guru yang berkualiti dan berkemahiran tinggi. Guru perlu sentiasa meningkatkan kemahiran dan kompetensi masing-masing kerana perubahan berlaku dengan semakin cepat, mendalam dan hebat (speed, scale and force). Guru juga perlu berubah seiring dengan arus peredaran masa agar tidak ketinggalan dan sentiasa kekal relevan.

Dalam bidang pendidikan, aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) sangat penting ditekankan sebagai teras pembentukan karakter khususnya semasa bergelar guru pelatih. Namun, para graduan sekalian seharusnya lebih bersedia dari aspek mental dan fizikal. Aspek persediaan mental yang saya maksudkan termasuklah perubahan tempat bertugas kerana semasa latihan perguruan, kebanyakan guru pelatih ditempatkan di kawasan bandar. Kemungkinan besar situasi semasa berkhidmat akan berubah, justeru, bersedialah berkhidmat untuk negara walau di mana anda berada.

Sekiranya para graduan diarahkan bertugas di kawasan pedalaman, terimalah dengan hati terbuka dan ikhlas berbakti demi kemajuan negara. Kerajaan juga sentiasa berusaha mengurangkan beban guru yang ditempatkan di kawasan tersebut dengan menyediakan elaun pedalaman berjumlah antara RM500.00 hingga RM1,500.00 setiap bulan.

Transformasi Institut Pendidikan Guru #TranformasiIPGM

Sejajar dengan Anjakan Keempat dalam PPPM 2013 – 2025 , Transformasi Institut Pendidikan Guru (IPG) bertepatan dengan transformasi pendidikan negara yang bertujuan menyediakan guru masa hadapan bertaraf global iaitu guru berkualiti bagi meningkatkan standard pendidikan negara yang dapat memenuhi keperluan aspirasi sistem pendidikan Malaysia abad ke-21 ini. Selain itu, Transformasi IPG juga menuju ke arah menjadi institusi pendidikan tinggi utama untuk meningkatkan standard pendidikan di Malaysia melalui latihan dan pembangunan pendidikan guru.

Bermula pada tahun 2016, Kementerian berusaha untuk melaksanakan transformasi IPG sebagai penyedia latihan pendidikan keguruan bertaraf antarabangsa dan pusat kecemerlangan praperkhidmatan dan dalam perkhidmatan bagi pembangunan profesional.  Pelan Hala Tuju Transformasi IPG (2016 – 2025) merupakan suatu pelan strategik dan komprehensif yang mengandungi pelan jangka pendek dan jangka panjang untuk meningkatkan kualiti pendidikan guru negara ini dalam tempoh sepuluh tahun selaras dengan visi IPG sebagai peneraju kecemerlangan pendidikan guru.

Dalam usaha merealisasikan transformasi IPG ini, kita pasti berdepan pelbagai cabaran. Namun, untuk menjayakan agenda transformasi, warga IPG perlu berfikir secara positif dan bersatu untuk menyokong agenda perubahan demi masa depan pendidikan negara. Warga IPG juga perlu menjadi agen perubahan dan bersama-sama memacu transformasi organisasi menjadi institut perguruan yang unggul.

Saya yakin Kementerian terus beriltizam mengekalkan dasar sedia ada, iaitu mengukuhkan profesion keguruan di Malaysia bagi menjadikannya lebih menarik, mendatangkan kepuasan dan lebih berprestij. Mengambil iktibar daripada kejayaan usaha terdahulu, dan permuafakatan awal dengan guru serta kesatuan guru, Kementerian melaksanakan Pakej Kerjaya Guru yang baharu dalam beberapa gelombang. Pakej kerjaya ini akan menangani cabaran semasa yang dihadapi oleh guru pada setiap peringkat kerjaya mereka daripada pengambilan dan latihan keguruan hingga persaraan.

Pakej ini merangkumi usaha meninggikan syarat kelayakan masuk, meningkatkan peluang pembangunan profesionalisme berterusan mengikut keperluan individu, membolehkan guru maju dalam kerjaya berdasarkan prestasi dan kompetensi, serta mewujudkan budaya kecemerlangan profesional berasaskan teladan rakan setugas.

Dalam konteks ini, Pembangunan Profesionalisme Berterusan atau Continuous Professional Development (CPD) adalah sangat penting terutamanya latihan berasaskan sekolah. Melalui CPD dan Professional Learning Community atau PLC, guru-guru mudah mendapat pendedahan dan maklumat yang menyeluruh, betul dan tepat berkaitan pelaksanaan dasar yang perlu dilakukan oleh para guru seperti yang terkandung dalam PPPM 2013 – 2025.

Menjadi Guru Malaysia

Selaras dengan aspirasi PPPM 2013 – 2025, Kementerian Pendidikan Malaysia telah melaksanakan pelbagai program pembangunan profesionalisme berterusan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran guru. Langkah ini sangat penting kerana cabaran abad ke-21 lebih memerlukan kompetensi dan komitmen yang tinggi dalam kalangan guru, justeru, Kementerian telah merangka satu kaedah bagi memastikan tahap profesionalisme guru dapat dipertingkatkan setaraf dengan kerjaya profesional yang lain. Maka kaedah “Menjadi Guru Malaysia” telah dizahirkan, meliputi peringkat kelayakan, pendaftaran, dan pelesenan guru selaras dengan inisiatif Kementerian di bawah Pelan Transformasi Perkhidmatan Awam.

“Menjadi Guru Malaysia” ini sangat signifikan bahawa guru merupakan faktor paling penting dalam mencapai keberhasilan murid di sekolah.  Oleh itu, guru seharusnya menjadi pemimpin, pakar rujuk dan menjadi rakan pembimbing bagi memastikan kemenjadian murid. Untuk berjaya, jadilah guru pemimpin yang suka kepada cabaran dan melihat kesukaran sebagai peluang, sentiasa ingin tahu dengan meneroka dunia baharu, ‘iconoclastic’ (berani mencabar amalan dan kepercayaan tradisi), menggalakkan eksperimentasi dan penambahbaikan, menghargai seseorang yang melihat peluang dalam situasi yang sukar, mendengar perspektif yang berbeza daripada pelbagai sumber, melakukan kolaboratif merentasi sempadan, cepat berhadapan dengan realiti apabila berhadapan dengan kegagalan, dan tidak malu untuk mengatakan “saya tidak tahu” dalam situasi yang tidak pasti.

Persediaan Mendepani Cabaran Abad ke-21

Saya menyeru semua graduan yang hadir pada majlis ini agar berusaha mengenal pasti potensi diri masing-masing dan pada masa yang sama mencabar kemampuan diri dengan berfikir di luar kotak ke arah mencapai jati diri dan hala tuju dalam budaya kerja berkesan. Kita sedia maklum bahawa Pembelajaran Abad ke-21 merupakan satu transformasi yang dilaksanakan bagi memperbaharui taraf pendidikan sedia ada ke arah sistem pendidikan yang bersifat fleksibel, kreatif, mencabar dan lebih kompleks. Guru perlu secara berterusan sepanjang tempoh perkhidmatan melengkapkan dan dilengkapi dengan ciri-ciri pendidik profesional abad ke-21 bagi memastikan mereka kekal relevan dan efektif dalam ekosistem pendidikan yang dinamik, mencabar dan sentiasa menuntut keberhasilan murid yang holistik serta menepati kualiti gobal.

Pada kesempatan ini, sukalah saya mengingatkan bahawa sebagai guru baharu, saudara dan saudari adalah bakal penjawat awam yang akan dilantik ke skim perkhidmatan awam melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran. Seharusnya semua penjawat awam mengetahui dengan jelas tentang peraturan dan surat pekeliling perkhidmatan yang dikeluarkan oleh Kementerian mahupun Jabatan Perkhidmatan Awam. Sebagai penjawat awam, para guru juga perlu sentiasa bersedia dan akur dengan arahan pekeliling perkhidmatan dan memahami kandungan yang terdapat dalam piagam pelanggan Kementerian.

Harapan saya juga, saudara saudari sentiasa menyokong usaha kerajaan dalam melaksanakan segala perancangan ke arah menjayakan dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50). Walaupun ditempatkan di mana jua, guru-guru baharu perlu menjaga imej kementerian yang bertindak sebagai barisan hadapan yang dekat dengan masyarakat, ibu bapa dan anak-anak. Sesungguhnya para guru merupakan penghubung antara kerajaan dengan masyarakat, justeru, kefahaman yang luas tentang dasar-dasar kerajaan amat perlu agar para guru tidak mudah terpedaya dengan pengaruh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kita sewajarnya berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa prihatin tentang kebajikan guru kerana telah menyediakan pelbagai peluang kerjaya yang cerah, memberi dana melalui tajaan pendidikan, memudahkan urusan kenaikan pangkat para guru sama ada secara time-based atau laluan kerjaya sebagai guru cemerlang.

Penghargaan dan Harapan

Sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua graduan yang berjaya memperoleh ijazah dan diploma masing-masing pada konvokesyen kali ini. Tidak lupa juga saya ucapkan ribuan terima kasih kepada para ibu bapa, suami, isteri mahupun anak-anak yang sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit bagi melihat impian para graduan menggenggam segulung ijazah menjadi kenyataan.

Saya berdoa kepada Allah SWT agar menganugerahkan kekuatan akal, semangat kental dan kecergasan yang berpanjangan kepada saudara dan saudari untuk memberikan sumbangan secara signifikan terhadap usaha mengangkat pendidikan negara ke tahap yang lebih tinggi.  Suburkanlah semangat untuk cemerlang dalam diri saudara dan saudari dengan niat untuk memperoleh kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Kementerian Pendidikan Malaysia amat menghargai dan menyanjung tinggi segala usaha dan pengorbanan yang saudara dan saudari laksanakan demi kemajuan anak bangsa kita.  


Mahdzir Khalid

Menteri Pendidikan Malaysia

Konvokesyen Institut Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia , kali ke-8.

 

This post has already been read 534 times!

Facebooktwittergoogle_plus
Facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram

Comments

comments