Kelestarian Kecemerlangan Pendidikan Abad Ke-21

~Sebagaimana kata-kata Saidina Ali Ibn Abi Talib R.A ; “Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.”~

~Pada ketika ini, kita berada di ambang revolusi teknologi yang pada asasnya telah dan sentiasa mengubah cara hidup kita, cara kita bekerja, sama ada dari segi skala, skop dan kerumitan serta transformasi yang berbeza dengan apa yang telah manusia alami sebelum ini. ~


Perasmian Penutupan Konvensyen Kebangsaan Sekolah Kluster Kecemerlangan 2017

Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Jawatankuasa Penganjur iaitu Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan (BPSBPSK), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pusat Kepelbagaian Pelajar dan Pembangunan Komuniti UKM dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Taman Seroja, Bandar Baru Salak Tinggi. Syabas saya ucapkan kerana telah berjaya menganjurkan Konvensyen Kebangsaan Sekolah Kluster Kecemerlangan bagi tahun 2017.

Menyorot kembali sejarah selama satu dekad pelaksanaan Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) bermula pada tahun 2007 sehingga 2017, penilaian serta refleksi bagi mengenal pasti keberkesanan pelaksanaan program SKK wajar diteruskan. Lantaran itu, konvensyen yang berlangsung pada kali ini merupakan wahana terbaik dalam membincangkan isu utama, cadangan penambahbaikan serta perkongsian kejayaan cemerlang SKK sepanjang sepuluh tahun pelaksanaannya.

Pendidikan Abad Ke-21

Berpaksikan tema “Kelestarian Kecemerlangan Pendidikan Abad Ke-21”, usaha dalam membudayakan kreativiti bagi proses Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) perlu diterap dengan lebih pantas dan menyeluruh menerusi penjanaan lebih banyak idea segar untuk dimanfaatkan oleh murid-murid secara keseluruhannya.

Malah, setiap warga pendidik seharusnya memiliki kapasiti intelektual yang dinamik untuk memastikan paradigma Pendidikan Abad Ke-21 terus terpacu bahkan disambut secara positif serta optimis menerusi proses peningkatan dan keberkesanan PdPc dalam sistem pendidikan negara.

Transformasi Nasional 2050 (TN50)

Pada umumnya, tidak dapat disangkal bahawa kejayaan yang dikecapi SKK pada hari ini telah mengungguli persada pendidikan negara.  Namun, kita masih mempunyai tanggungjawab yang lebih besar dalam menyediakan generasi baharu masa hadapan berlandaskan wacana Transformasi Nasional 2050 (TN50).  Sebagaimana kata-kata Saidina Ali “Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.”

Pada ketika ini, kita berada di ambang revolusi teknologi yang pada asasnya telah dan sentiasa mengubah cara hidup kita, cara kita bekerja, sama ada dari segi skala, skop dan kerumitan serta transformasi yang berbeza dengan apa yang telah manusia alami sebelum ini.  Revolusi industri masa ini secara signifikan akan merubah masa depan dunia pekerjaan serta keseimbangan perolehan dan agihan pendapatan.

Revolusi Industri Keempat

Oleh itu, bagi tempoh 33 tahun yang mendatang, kita perlu menyusun strategi dan mempertingkatkan usaha dalam membina pemimpin masa hadapan yang berwibawa dan berminda cemerlang.  Kita harus sedar bahawa dunia hari ini berada di ambang Revolusi Industri Keempat, sekaligus merangka satu rancangan besar pada peringkat global untuk memacu arus deras revolusi ini.

Suatu masa dahulu, revolusi industri yang pertama menggunakan kuasa air dan wap untuk menghasilkan sesuatu produk.  Revolusi industri yang kedua pula, menggunakan kuasa elektrik untuk meningkatkan pengeluaran bagi menghasilkan produk pada skala yang lebih besar.  Seterusnya, dalam revolusi industri yang ketiga, dunia mula beralih kepada penggunaan peralatan elektronik dan teknologi maklumat untuk mengautomasikan pengeluaran.

Sekarang ini, dalam revolusi industri yang keempat, kita menyaksikan berlakunya revolusi digital secara meluas. Revolusi ini telah bermula sejak pertengahan abad yang lalu iaitu gabungan antara teknologi daripada aspek fizikal, digital, dan biologi.  Revolusi keempat ini berlaku dengan sangat pantas dan jika kita tidak benar-benar bersedia, dikhuatiri kita semua ketinggalan dan negara kurang berupaya untuk bersaing pada peringkat global.

Kerjasama Strategik

Saya melihat keberkesanan inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) terbukti membantu proses kerjasama strategik di antara SKK dengan agensi luar. Pendekatan inisiatif ini ternyata berupaya memacu daya kreativiti dan bersifat transformatif kepada sistem pendidikan negara.

Saya berasa amat teruja kerana saban tahun semenjak 2007, BPSBPSK Kementerian Pendidikan telah berusaha melaksanakan program jalinan dan jaringan dengan pelbagai Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta.  Berlandaskan usaha tersebut, sekolah berupaya membangunkan modal insan cemerlang yang holistik serta dapat bersaing di peringkat global seterusnya menjadi showcase di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Justeru, SKK perlu meneruskan pelaksanaan inisiatif ini dengan meneroka bidang kolaboratif baharu seiring dengan keperluan dan cabaran isu mendatang.

Sarana Ibu Bapa

Sejajar dengan Anjakan 9 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 iaitu bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti, dan sektor swasta secara meluas, kunci kejayaan sesebuah sekolah bergantung kepada pelibatan secara tidak langsung dan sokongan padu daripada ibu bapa dan komuniti.

Antara contoh pelibatan sarana ibu bapa yang aktif dan berjaya melonjakkan prestasi kecemerlangan sekolah telah direalisasikan oleh PIBG Sekolah Kebangsaan Taman Seroja dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seafield, Subang Jaya, Selangor. Hal ini membuktikan bahawa sarana ibu bapa dan komuniti merupakan inisiatif yang signifikan demi kecemerlangan murid dan sekolah keseluruhannya.

Hall of Fame

Dalam tempoh sedekad ini, kita dapat menyaksikan pelbagai lakaran sejarah kejayaan telah dicapai oleh SKK sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Perkara ini terbukti dengan pencapaian SMK Sultan Badlishah, Kedah yang telah berjaya merangkul dua anugerah di Amerika Syarikat iaitu anugerah Pembentang Terbaik serta Best Position Paper bagi Persidangan International Model United Nation 2017 dengan persaingan sejumlah 96 delegasi dari seluruh dunia.

Begitu juga dengan SK Putra, Perlis yang telah berjaya mengharumkan nama negara dengan pencapaian cemerlang pingat emas dalam Pertandingan Kreativiti Rekacipta Dunia kali keenam yang berlangsung di Seoul, Korea Selatan.

Bagi penganjuran program pengantarabangsaan dalam negara pula, sebanyak 10 program SKK telah diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri. Penganjuran program seumpama ini mampu memberi impak dalam menghasilkan murid yang cemerlang dan berdaya saing di peringkat global. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua yang telah berjaya. Ayuh, marilah kita bersama-sama melestarikan kegemilangan ini!

Harapan

Besarlah harapan saya agar SKK dapat melahirkan seramai mungkin bilangan murid yang cemerlang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka dunia melalui pelbagai penajaan pendidikan yang disediakan. Justeru, usah dipersia peluang yang ada kerana SKK merupakan wadah terbaik dalam membangunkan modal insan yang berpersonaliti unggul.

Saya juga berharap agar pemimpin sekolah masa kini dapat menerokai pelbagai mekanisme yang baharu bagi memperkasakan kepimpinan masing-masing di samping memberi inspirasi kepada pembangunan kepimpinan yang  lain.

A good leader leads the people from above them.  A great leader leads the people from within them.”            – M. D. Arnold.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua panel pembentang yang telah berkongsi secara profesional berkaitan dengan amalan terbaik melalui pelbagai platform sepanjang berlangsungnya konvensyen ini.

Akhir kata, selamat meneruskan tradisi kecemerlangan dan marilah kita sama-sama berganding bahu dalam mempertingkatkan produktiviti bagi melahirkan modal insan yang dilengkapi dengan kejituan patriotisme serta keperibadian sebagai insan terpuji.

Semoga segala usaha murni untuk melestarikan sistem pendidikan yang lebih berkualiti mendapat keberkatan-Nya dan mencapai matlamat dengan jayanya.

 

This post has already been read 1819 times!

Facebooktwittergoogle_plus
Facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram

Comments

comments