Program perintis LIBRE, MGIEP-UNESCO

Kita bawa balik dulu (modul LIBRE), lihat sama ada sesuai atau tidak. Kalau kita dapati tidak sesuai, tidaklah perlu diteruskan. KPM akan menggunakan mana-mana kaedah terbaik bagi menangani masalah disiplin pelajar di sekolah.

PARIS (Perancis): Kementerian Pendidikan akan melaksanakan program perintis bagi menangani keganasan ekstrem melalui pendidikan, di lima sekolah mulai tahun depan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata program dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) akan dijalankan selama tiga tahun, iaitu sehingga 2020.

Katanya, program itu menggunakan Kurikulum Pembangunan Kompetensi, Pengamatan Kritikal, Empati, Belas Ihsan dan Kesedaran (LIBRE) yang dibangunkan badan di bawah UNESCO, Mahatma Gandhi Institute of Education and Peace (MGIEP).

“Program perintis ini akan dibiayai sepenuhnya oleh UNESCO dan sekolah yang terbabit akan dikenal pasti dan kita akan maklumkan kemudian.

“Sebuah sekolah yang sudah menyatakan kesediaan untuk melaksana program LIBRE ini secara suka rela ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Ipoh, Perak walau pun sekolah itu bukanlah dalam kelompok ‘sekolah panas’,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat rakan sejawat dari Pakistan, Muhammad Baligh-ur Rahman pada Perhimpunan Agung UNESCO Ke-39, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, kementeriannya akan menggunakan mana-mana kaedah terbaik bagi menangani masalah disiplin pelajar di sekolah.

“Kita bawa balik dulu (modul LIBRE), lihat sama ada sesuai atau tidak. Kalau kita dapati tidak sesuai, tidaklah perlu diteruskan,” katanya selain menambah program perintis LIBRE itu turut akan dijalankan negara seperti India, Sri Lanka, Zimbabwe dan Kenya.

Kementerian menganggarkan ketika ini terdapat sejumlah 420 sekolah ‘panas’ yang diletakkan dalam kategori bermasalah disiplin termasuk pembabitan pelajar dengan dadah dan kes buli.

Program LIBRE yang akan dilaksana secara e-Pembelajaran menggunakan pendekatan pendidikan melalui pengintegrasian elemen pedagogi, seperti kaedah inkuiri yang kritikal, dengan kemampuan pemikiran, empati, atau secara mudahnya menggunakan keseluruhan bahagian otak.

Pengarah MGIEP, Dr Anantha Kumar Duraiappah, rakyat Malaysia yang berpengkalan di New Delhi, India akan menyelaras program perintis terbabit.

Pengetua dan dua guru SMK Tuanku Abdul Rahman dan Ketua Unit Bahagian Penyelidikan dan Perancangan Pendidikan Kementerian Pendidikan, Zurina Zulkarnain menyertai wakil 10 negara lain mengikuti bengkel sulung LIBRE di MGIEP, pada Ogos lalu.

Pada dasarnya, pendekatan LIBRE diperkenalkan MGIEP untuk mewujudkan masyarakat yang bertanggungjawab dan mengetahui akibat daripada pilihan dibuat mereka.

Program ini juga membantu pelajar membebaskan diri daripada emosi negatif seperti kemarahan, permusuhan, kebencian, kekejaman, sikap tidak bertoleransi dan mementingkan diri.

Sumber Berita: Berita Harian

 

This post has already been read 82 times!

Facebooktwittergoogle_plus
Facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram

Comments

comments