Langkah seterusnya sudah bermula;SPM/STPM 2017

ﻪﺘﺎﻜﺮﺒﻮﷲﺍﺔﻤﺤﺭﻮ ﻡﻜﻴﻠﻋﻢﻼﺴﻠﺍ, Salam Sejahtera dan Salam Negaraku Malaysia.

Peperiksaan SPM 2017 akan bermula pada Isnin, 6 November 2017 sehingga 4 Disember 2017. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada semua 443,883 orang calon yang bakal menduduki peperiksaan bertulis tersebut. Saya yakin anda semua telah berusaha gigih selama ini dengan sokongan serta bantuan guru-guru, ibu bapa dan sahabat handai.

Sesungguhnya peperiksaan ini adalah untuk menguji tahap pembangunan minda, kematangan pemikiran dan keperibadian diri anda selama ini yakni bermula daripada peringkat anda memasuki alam pendidikan menengah rendah hingga kini. Pada saat peperiksaan sebenar, semuanya akan terangkum sebagai persediaan mental, fizikal dan kerohanian diri anda sendiri.

Justeru itu, bagi memberi suntikan semangat kepada anda sebagai calon kepada satu peperiksaan yang penting, saya sekali lagi berkongsi info laluan pendidikan selepas SPM sebagai objektif anda seterusnya. Pelbagai laluan disediakan untuk anda mengikut kecenderungan, minat dan hasil usaha anda kelak. Begitu juga, bagi meningkatkan motivasi diri, ingatlah pengorbanan ibu bapa, keluarga dan para guru anda selama ini yang tidak pernah berputus asa membimbing serta memberi sokongan moral. Ini adalah detik peluang terbaik untuk membalas segala jasa dan menunaikan harapan mereka.

Melangkah ke dewan peperiksaan pula mengundang pelbagai perasaan. Sebagai seorang bapa dan bekas guru saya amat memahami perasaan anda, justeru menasihati anda semua agar sentiasa bersikap tenang dan yakin dengan usaha anda selama ini serta berdoa agar dikurniakan fikiran yang lapang. Mudah-mudahan urusan anda akan dipermudahkan. Dalam tempoh peperiksaan ini juga khususnya, kesihatan dan keselamatan diri perlu dijaga termasuklah aspek pemakanan, rehat yang mencukupi dan seumpamanya bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

Demikian juga pesanan yang sama kepada 45,303 calon STPM2017 Penggal Ke -3 yang akan bermula pada tarikh yang sama iaitu 6 November sehingga 14 November dan 50,011 calon pula akan menduduki peperiksaan Penggal 1, STPM 2018 pada 15 November hingga 21 November. Manakala peperiksaan ulangan Penggal 1 STPM 2017 juga akan diadakan pada 15 November hingga 21 November ini membabitkan 41,078 calon, dan peperiksaan ulangan Penggal 2 STPM 2017 pula akan diadakan pada 22 November hingga 28 November ini (40,289 calon). Anda semua sudah berada di peringkat pra-universiti dan mudah-mudahan akan berjaya ke menara gading kelak berkat usaha diri dan semua pihak yang membantu. Insya Allah.

Kepada para petugas peperiksaan dalam kalangan guru, pihak pentadbir sekolah, Lembaga Peperiksaan, Majlis Peperiksaan Malaysia selamat menjalankan tugas dengan jujur dan amanah diucapkan. Terima kasih atas khidmat bakti anda sepanjang tempoh peperiksaan tersebut dijalankan kelak.

Saya mendoakan agar urusan kita semua dipermudahkan.

Sekian. Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Pautan Jadual Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. 

Pautan Jadual Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia

~Langkah anda seterusnya sudah bermula. #SPM2017 #STPM2017~

-Mahdzir Khalid-

This post has already been read 684 times!

Facebooktwittergoogle_plus
Facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram

Comments

comments