Children must be taught how to think, but not what to think.

World of Robotics National Championship (WRC) 2017

“Di ambang peralihan negara ke arah negara maju, kita perlu sedar bahawa kita memerlukan lebih banyak modal insan yang berdaya saing, modal insan yang mempunyai kemahiran kognitif, kemahiran pengendalian teknologi dan kemahiran berfikir aras tinggi.”

Kementerian amat mengalu-alukan usaha kolaboratif dan penyertaan pihak swasta bersama-sama menyumbang ke arah merealisasikan hala tuju serta memajukan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) negara. Pelibatan pihak swasta dalam pembangunan Pendidikan STEM boleh meningkatkan dan memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju di rantau ini.

Saya yakin dan percaya penganjuran WRC 2017 ini bukan sahaja sebagai pencetus minda dan bakat yang tinggi dalam kalangan murid malah menimbulkan minat mereka melalui bidang STEM yang sedang dilaksanakan di sekolah kita. Bahkan pembudayaan bidang STEM ini sangat signifikan dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 yang mementingkan ilmu dan kemahiran teknologi serta inovatif dalam budaya digital dan robotik.

Pendidikan bidang STEM adalah pendidikan yang berasaskan kepada konsep mendidik murid dalam empat bidang; Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik dengan mengintegrasikan dan mengaplikasikannya dalam konteks dunia sebenar. Saya berharap pertandingan WRC ini berupaya menjadi wadah untuk memupuk minat murid dalam bidang STEM dan menarik perhatian mereka terhadap aktiviti yang mencabar, menyeronokkan dan bermakna melalui pendidikan dan pembelajaran robotik.

Penganjuran pertandingan seumpama ini turut selari dengan Anjakan 9 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 di mana kerjasama dengan agensi swasta ataupun kerajaan amat dialu-alukan bagi menarik minat dan kesedaran murid dan masyarakat dalam bidang STEM.

Di ambang peralihan negara ke arah negara maju, kita perlu sedar bahawa kita memerlukan lebih banyak modal insan yang berdaya saing, modal insan yang mempunyai kemahiran kognitif, kemahiran pengendalian teknologi dan kemahiran berfikir aras tinggi. Saya yakin bahawa pendidikan robotik ini dapat membantu melahirkan lebih ramai modal insan yang berkualiti dan yang paling penting mesti bermula daripada sekolah lagi, dan ingatlah selalu “Children must be taught how to think, but not what to think”.

Justeru, modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran STEM diperlukan supaya negara kekal berdaya saing dan dinamik pada peringkat global. Oleh itu, peningkatan penyertaan dan kecemerlangan murid STEM ke peringkat tertiari akan menggalakkan penyelidikan dan pembangunan dalam ciptaan dan inovasi baharu serta dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.

Salah satu elemen penting dalam pendidikan STEM ialah menghasilkan pengalaman pembelajaran yang bermakna dan menyeronokkan. Melihat kepada senyuman para peserta,  pendidikan robotik ini merupakan satu platfom yang betul-betul dapat memberikan peluang kepada para murid untuk mempelajari bidang teknologi dan kejuruteraan dengan cara yang menyeronokkan dan boleh dikatakan tanpa ada sebarang tekanan.

Saya amat berharap agar pihak World of Robotics dapat meneruskan usaha bersama KPM untuk terus menyahut cabaran dan memperluaskan lagi program supaya lebih ramai lagi generasi muda kita dapat mempelajari pendidikan robotik yang begitu menarik ini. Jadikanlah pertandingan ini acara tahunan agar semua anak-anak muda dapat menunjukkan bakat masing-masing dalam bidang ini.

Kepada semua permata negara yang telah bertanding dalam WRC ini, tidak dapat dinafikan, kemenangan memanglah penting dalam setiap pertandingan tetapi yang lebih utama ialah mengambil bahagian dan mengutamakan semangat kesukanan. Kepada yang menang, sekalung ucapan tahniah dirakamkan dan kepada yang kalah jangan cepat berputus asa, tidak mengapa kerana sesungguhnya jadikan kekalahan hari ini sebagai satu titik permulaan ke arah kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan.

Setinggi-tinggi ucapan syabas dan tahniah kepada anak-anak sekalian. Anda perlu yakin bahawa anda semua adalah permata bersinar yang mempunyai keistimewaan dan kebolehan tersendiri, nescaya satu hari nanti, kejayaan pasti dalam genggaman anda semua. Saya juga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sama bagi menjayakan WRC 2017 ini dengan cemerlang.

Tahniah dan syabas atas kerjasama Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan World of Robotics Sdn Bhd. Saya difahamkan ini merupakan tahun kedua pertandingan ini diadakan dan lebih daripada 550 orang peserta daripada 90 buah sekolah termasuk sekolah dari negeri Kedah turut menyertai pertandingan ini. Tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat yang telah bertungkus lumus menjayakan pertandingan yang hebat ini.

 

This post has already been read 1903 times!

Facebooktwittergoogle_plus
Facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram

Comments

comments