Pendidikan: Satu Kesinambungan Perjuangan

Pendidikan kunci kepada mengubah nasib bangsa. Pendidikan sepanjang hayat adalah tema kepada perjuangan membangunkan sebuah negara bangsa, dari pendidikan formal di sekolah sehinggalah kepada asuhan membina ketamadunan. Atas timbaan pengalaman dalam susun galur hidup saya dari jawatan Pengetua di Sabah pada usia muda sehinggalah ke jawatan Menteri Pendidikan sekarang, tidak boleh dinafikan UMNO sebagai parti yang dominan dalam kerajaan telah meletakkan landasan yang betul untuk membangunkan pendidikan negara.

Di waktu itu saya sedar bahawa tanggungjawab untuk meningkatkan kemajuan bangsa tidak boleh dilepaskan ke tangan orang lain, malah perlu saya galas perjuangan untuk membela masa hadapan bangsa, agama dan negara, justeru UMNO menjadi landasan untuk saya meneruskan perjuangan ini.

Justeru sekitar penghujung tahun 1990an, saya menerima tawaran perlantikan sebagai Pegawai Khas Menteri Besar Kedah ketika itu iaitu Tan Sri Dato’ Seri Haji Osman Aroff. Seterusnya saya diberi kepercayaan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi (ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) untuk menggalas tanggungjawab sebagai Setiausaha Politik beliau sewaktu menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri Malaysia ke – 5.

Pada PRU ke 11 iaitu pada tahun 2004, saya dipilih sebagai calon Barisan Nasional bagi kawasan DUN Pedu seterusnya memenangi kerusi DUN tersebut setelah diberi mandat oleh para pengundi. Pada tahun 2005, saya diberi amanah oleh pucuk pimpinan UMNO untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Menteri Besar Kedah sehingga tahun 2008.

Pada PRU ke 13 iaitu pada tahun 2013 yang lalu saya diberi kepercayaan untuk menjadi wakil rakyat bagi kawasan Parlimen Padang Terap dan seterusnya dilantik sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dalam Kabinet Malaysia.

Kini, saya diberi amanah dan tanggungjawab yang besar sebagai Menteri Pendidikan Malaysia. Semangat yang sememangnya membara dalam diri saya sebagai guru dan pengetua sejak dahulu untuk melihat anak-anak bangsa Malaysia menjadi warga yang berguna, kini saya teruskan dalam memimpin Kementerian Pendidikan.  

Saya bersyukur kerana Kementerian mempunyai visi dan misi dan jelas untuk meletakkan negara dalam kalangan satu pertiga teratas antara negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik dunia melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.   Saya merasa bertuah kerana pucuk pimpinan negara di bawah YAB Perdana Menteri Malaysia memberikan sokongan  yang padu dalam bidang pendidikan melalui bajet yang diberi untuk melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memajukan pendidikan.  

Sama ada sedar atau tidak, idea bagi inisiatif di bawah bidang pendidikan ini banyak yang telah dicetuskan oleh pihak akar umbi melalui UMNO.  Saban tahun dalam Persidangan Agung UMNO, Usul Pendidikan sentiasa mendapat perhatian; daripada para perwakilan hinggalah kepada YAB Presiden UMNO sendiri.  Antara aspek yang dibawa oleh perwakilan adalah peluang yang lebih luas kepada murid di kawasan bandar, luar bandar dan miskin bandar, cabaran untuk melanjutkan pelajaran ke pendidikan tinggi, pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional atau TVET dan STEM.  

Saban tahun samada mesyuarat cawangan UMNO atau persidangan perwakilan Bahagian Umno telah melaungkan isu pendidikan dalam pelbagai permasalahan rakyat. Pendidikan dekat dihati Umno. Begitu juga di Persidangan Agung Umno, para perwakilan yang berucap menyampaikan dengan bernas isu-isu  pendidikan. Pergerakan Wanita,Pemuda dan Puteri Umno juga menyuarakan hal yang sama.
Kita bersyukur dan berterima kasih kerana YAB Dato Seri Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri kita amat peka dengan isu-isu pendidikan. Perdana Menteri amat menyokong segala usaha Tranformasi Pendidikan menuju kepada Pendidikan Abad ke 21. Perdana Menteri juga prihatin dengan aspek pembangunan dan permasalahan dan kebajikan guru. Tugas dan tanggunjawab KPM mestilah untuk menjayakan Tranformasi Pendidikan.

Seawal tahun 2010 Kementerian ketika itu telah merencanakan program transformasi untuk TVET, dan kini di bawah PPPM 2013-2025, TVET merupakan salah satu inisiatif utama yang sedang  mengubah landskap pendidikan negara. TVET tidak lagi dianggap sebagai pendidikan kelas kedua, malah kini TVET merupakan sebahagian daripada pendidikan arus perdana.

Masyarakat tidak lagi mempunyai pemikiran konvensional iaitu mendapatkan ijazah sebelum bekerja, malah murid digalakkan untuk mengisi pasaran kerja keraana peluang untuk melanjutkan pelajaran boleh didapati pada bila masa melalui  Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) di bawah Malaysia Qualifications Agency (MQA).

Walaupun pelbagai inisiatif dilaksanakan untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara, suara hati guru, pentadbir sekolah malah setiap pihak berkepentingan tetap mendapat perhatian saya secara langsung. Media baharu menjadi wadah komunikasi dua hala antara penggubal dasar dan pelaksana seperti yang saya terjemahkan melalui keterbukaan berkomunikasi melalui laman sosial dengan para guru dan pihak pentadbir secara terus.
Walaupun setiap polisi pendidikan telah direncana, dirintis dan disahkan keberkesanannya, namun di peringkat pelaksanaan kita berhadapan dengan pelbagai cabaran, justeru saya amat prihatin terhadap tugas dan peranan yang perlu digalas oleh para pelaksana dengan memberikan sokongan serta bantuan bagi memudahkan mereka menjalankan tugas demi membangunkan murid yang bersedia dengan cabaran masa hadapan.

Setinggi-tinggi penghargaan saya rakamkan kepada para perwakilan UMNO yang sejak dahulu begitu komited terhadap peningkatan kualiti sistem pendidikan negara.  

Tanpa UMNO, infrastruktur asas yang menjadi masalah kepada sekolah di kawasan pedalaman tidak mungkin dapat diatasi.  

Tanpa UMNO, peluang pendidikan kepada Murid Berkeperluan Khas (MBK) dan Murid Terpinggir seperti Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Kuala Lumpur yang sangat dekat di hati YAB Perdana Menteri mungkin tidak akan dapat ditambah baik dengan begitu cepat seperti yang berlaku sekarang.  

Begitu besar jasa UMNO dalam memastikan anak bangsa Malaysia dipupuk dengan jati diri dan identiti nasional.  

Terima kasih UMNO kerana memastikan agenda pendidikan terus diberi penekanan dalam menyediakan bangsa Malaysia yang dapat mamacu kejayaan negara dengan izin Allah S.W.T 

#TERIMAKASIHUMNO

This post has already been read 932 times!

Facebooktwittergoogle_plus
Facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram

Comments

comments