Komitmen Bersama Memperkasa Akses dan Ekuiti Pendidikan

Alhamdulillah sesi persekolahan telahpun berlangsung selama sebulan di seluruh negara dan saya amat bersyukur kerana tidak ada isu yang besar melanda dalam waktu ini.  Dalam program walkabout saya ke sekolah-sekolah dalam bulan Januari ini, saya merasa sangat teruja dengan usaha sekolah untuk menyahut dan melaksanakan transformasi pendidikan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.  

Akses dan Ekuiti Pendidikan

Walaupun saya melihat banyak sekolah yang memerlukan kerja baik pulih,  kesungguhan pihak sekolah untuk mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif sangat menyentuh hati saya. Ketika melawat sekolah-sekolah di daerah Hulu Langat pada 22 Januari yang lalu, saya telah mengarahkan Kementerian Pendidikan untuk menyediakan peruntukan baik pulih sebanyak RM1.5 juta kepada tujuh sekolah yang dilawati bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan yang kritikal, manakala bagi sekolah-sekolah lain di daerah ini, peruntukan akan disalurkan secara berperingkat mengikut keperluan.

Begitu juga dengan Murid Berkeperluan Khas (MBK) yang sememangnya memerlukan perhatian yang khusus daripada semua pihak.  Di daerah Hulu Langat, terdapat sekolah yang menawarkan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang  mengalami kesesakan akibat pertambahan murid.  Kementerian akan mengatasi masalah ini dengan mewujudkan kelas PPKI yang baharu di sekolah berdekatan demi keselesaan dan keperluan untuk menyediakan pembelajaran kondusif untuk anak-anak istimewa ini.   Menyedari bahawa daerah ini mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, saya juga telah bersetuju untuk mengkaji keperluan mewujudkan Sekolah Pendidikan Khas di daerah ini.  

Sememangnya Kerajaan amat prihatin untuk memberikan akses kepada pendidikan berkualiti untuk semua anak-anak warganegara.  Bagi pihak Kementerian saya sekali lagi ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Dato’ Sri Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia di atas kesudian beliau menyempurnakan Majlis Perasmian SMK Bandau Kota Marudu Sabah pada 19 Januari 2018.  Pembinaan sekolah baharu ini adalah antara usaha kerajaan bagi memastikan kebajikan rakyat, tidak kira di mana dalam negara ini, akan terus terpelihara dan terjaga.

Sepintas Lalu Perutusan Tahun Baharu 2018 Kementerian Pendidikan Malaysia

Semasa Majlis Perutusan Tahun Baharu 2018 pada 18 Januari lalu, saya telah berkongsi tentang pencapaian pendidikan dan usaha Kementerian dalam meningkatkan kualiti pendidikan ke peringkat antara bangsa.  Saya merasa bangga kerana pendidikan di negara ini telah menunjukkan peningkatan yang signifikan di bawah PPPM 2013-2025.  Negara berbangga dengan atlit Sekolah Sukan Malaysia dan atlit Paralimpik yang telah membantu menjulang nama negara menjadi Juara Keseluruhan dalam Kejohanan Sukan SEA 2018 serta Sukan Para ASEAN.

Dalam bidang seni, untuk kesekian kali nya kontinjen negara yang diwakili oleh Sekolah Seni Malaysia menjadi juara dunia.  Dalam pertandingan robotik dan Olympiad peringkat antarabangsa, kontinjen negara tidak pernah mengecewakan.   Kejayaan ini menunjukkan bahawa bakat dan kebolehan murid perlu dipupuk dan dikembangkan; tidak semestinya setiap murid perlu dijuruskan kepada kecemerlangan akademik semata-mata.  

Menerajui Perubahan

Kementerian sentiasa berusaha untuk membangunkan murid yang seimbang selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, justeru Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) terus diperkasakan dengan memperkenalkan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) untuk sekolah rendah.  Dengan cara ini ibu bapa dan penjaga akan mendapat maklumat yang lebih holistik mengenai prestasi anak-anak mereka.  Pelaporan ini adalah lebih baik kerana mencakupi prestasi murid dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek yang dapat membantu dalam menentukan asas bagi mereka menyerlah kebolehan dan bakat masing-masing di sekolah menengah.

Bagi menyerlahkan bakat murid ini dan memastikan pendidikan kita dapat membentuk kesejahteraan diri mereka, Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan telah menyalurkan pelbagai bantuan kepada mereka yang memerlukan.  Perlu saya nyatakan bahawa dalam Bajet 2018, Kerajaan memperuntukkan dana yang besar iaitu RM45.9 billion untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi Kementerian Pendidikan Malaysia.  Daripada manakah peruntukan ini diperolehi? Sudah tentu lah daripada pendapatan negara, termasuk cukai serta GST, justeru janganlah mengeluh kerana hasil daripada GST itu telah disalurkan dengan sebaik mungkin bagi pelbagai usaha pembangunan, antaranya untuk pendidikan anak-anak kita sendiri.

Pendidikan Rendah dan Menengah Percuma di Malaysia

Diingatkan juga bahawa pendidikan di Malaysia untuk murid di peringkat rendah dan menengah adalah PERCUMA kepada semua anak-anak warganegara.  Ibu bapa dan penjaga hanya perlu menyediakan kelengkapan untuk anak-anak mereka mendaftar di sekolah.  Kerajaan membiaya secara purata sebanyak RM8 900 untuk setiap 5.2 juta murid di seluruh negara setahun bagi mereka mendapatkan pendidikan di sekolah.  Yuran khas, yuran peperiksaan hinggalah bayaran tambahan persekolahan telahpun dimansuhkan.  Setiap pelajar diberikan pinjaman buku teks, tanpa mengira kemampuan keluarga masing-masing.  Seharusnya kita merasa bersyukur kerana Kerajaan dalam menyempurnakan tanggungjawab dalam memastikan setiap anak-anak warganegara diberikan pendidikan berkualiti bagi mereka mendepani cabaran global kelak.   

Bagi murid yang memerlukan, Kementerian telah menyediakan bantuan dalam pelbagai bentuk, yang pentingnya ialah anak-anak warganegara dapat terus bersekolah.  Untuk tahun 2018 sahaja jumlah bantuan yang diperuntukkan adalah sebanyak RM3.10 billion, meningkat daripada RM3.06 billion pada tahun sebelumnya.  Bantuan ini termasuklah bantuan makanan, sukan, pendidikan khas, biasiswa dan elaun, bantuan perjalanan dan pengangkutan, bantuan kelas dewasa Orang Asli, baucar buku serta Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang akan diedarkan pada bulan Februari nanti.  Dengan pelbagai bantuan yang disalurkan ini, tidak ada sebab mengapa anak-anak kita tidak mendapat peluang untuk mengikuti pendidikan berkualiti di sekolah.  

Bukan sahaja nasib murid dibela, Kerajaan juga sentiasa memastikan bahawa institusi kekeluargaan itu sendiri dipelihara.  Sekiranya keluarga murid memerlukan bantuan tambahan, Kerajaan telah memperuntukkan pelbagai insentif di bawah Kementerian yang lain bagi memastikan kesejahteraan hidup rakyat di negara ini.  

Justeru tidak ada sebab mengapa anak-anak kita tidak boleh mendapat peluang untuk mendapatkan pendidikan terbaik yang telah disediakan.  Sepatutnya tidak ada lagi kes mengenai keluarga yang daif atau anak-anak yang tidak bersekolah dalam keadaan negara kita yang makmur dan harmoni ini.  Kerjasama erat yang dijalin antara sekolah, ibu bapa dan masyarakat sebagaimana yang dianjurkan dalam Anjakan ke 9 PPPM 2013-2025 ini akan dapat membentuk satu sistem pembelajaran yang kondusif untuk anak-anak kita, dalam persekitaran yang selamat dan selesa.  

Mensyukuri nikmat di bumi Malaysia.

Sesungguhnya saya merasa bersyukur kerana telah dapat membantu Kerajaan melaksanakan amanah memberikan peluang pendidikan kepada anak-anak kita  melalui Kementerian Pendidikan Malaysia.  Setiap hari apabila mengetahui kesengsaraan yang dilalui oleh saudara kita di negara yang dilanda musibah peperangan seperti di Syria atau di Palestin, mahupun mereka yang ditindas seperti pelarian Rohingya, saya memanjatkan doa kepada Ilahi supaya negara kita kekal makmur dan harmoni seperti sekarang.  Ya, saya akui tidak ada negara, tidak ada kerajaan yang sempurna.

Namun begitu, saya berbangga kerana negara kita dapat mengekalkan kestabilan dan keamanan dalam keadaan dunia yang kian tidak menentu ini.  Kini menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan keselamatan dan keselesaan yang dilalui oleh anak-anak kita terus terjamin. Kita perlu memastikan negara yang mereka warisi ini adalah negara yang berdaulat dan dihormati di persada dunia.  

Ikrar Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kementerian Pendidikan akan terus melaksanakan tugas yang telah diamanahkan ini dengan penuh integriti sebagaimana yang telah dijanjikan oleh semua warganya melalui Ikrar Penjawat Awam yang dilafazkan.  Sebagaimana yang telah saya nyatakan dalam Majlis Perutusan yang lalui, saya memerlukan bantuan daripada semua pihak dalam memastikan agenda pendidikan Kerajaan dapat direalisasikan. Bantuan dan sokongan boleh diterjemahkan melalui pelbagai kaedah seperti komitmen dalam melaksanakan PIBK di peringkat sekolah. 

Penghargaan daripada saya kepada semua pihak yang telah sama-sama memberikan maklum balas dan bantuan demi memastikan kualiti pendidikan negara tetap terpelihara.  

This post has already been read 2453 times!

Facebooktwittergoogle_plus
Facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram

Comments

comments