Bantuan Persekolahan KPM 2018: Memanfaatkan golongan sasar.

Majlis yang diadakan ini membuktikan bahawa kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang bertanggungjawab, prihatin lagi cakna kepada kebajikan rakyat terutama kepada kumpulan kanak-kanak yang berada di bangku persekolahan. Isu ekonomi global tidak pernah menghalang kita untuk melaksanakan semua janji-janji kita kepada rakyat termasuk pengagihan bantuan kepada murid-murid yang memerlukan.

Dalam Bajet 2018, kerajaan memperuntukkan dana yang sangat besar kepada Kementerian Pendidikan iaitu sebanyak RM45.9 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan termasuk bagi menyediakan bantuan persekolahan kepada lebih 5.2 juta murid di seluruh negara. Sebagaimana yang kita sedia maklum, pendidikan peringkat rendah dan menengah di Malaysia adalah PERCUMA. Sebenarnya purata perbelanjaan setiap murid setahun ialah RM8,900.00. Selain itu, yuran khas, yuran peperiksaan hinggalah bayaran tambahan persekolahan telah dimansuhkan. Pinjaman buku teks diberi secara percuma kepada semua murid. Untuk tahun 2018, Kementerian Pendidikan telah meneruskan 19 jenis bantuan dengan peruntukan sebanyak RM3.103 bilion. Di antara bantuan-bantuan tersebut ialah Bantuan Persekolahan Umum, Bantuan Persekolahan Khusus dan Bantuan Persekolahan One Off.

Bantuan umum misalnya akan disalurkan terus kepada sekolah tanpa sebarang syarat atau kriteria khusus bagi menyokong aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta aktiviti luar bilik darjah berdasarkan jumlah enrolmen murid tahun semasa. Ini pastinya akan dapat terus membantu kelancaran aktiviti pengajaran dan pembelajaran seperti yang dirancang di kelas dan sekolah pada setiap hari.

Sementara itu, bantuan khusus pula diberikan kepada murid yang layak berdasarkan kepada kriteria yang ditetapkan bagi membantu murid daripada golongan yang berpendapatan rendah, orang kurang upaya (OKU) atau yang cemerlang dalam akademik dan sukan. Antara bantuan yang disediakan kepada murid daripada kalangan berpendapatan rendah ialah Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM100 bagi setiap murid iaitu daripada kalangan keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah dengan jumlah peruntukan sebanyak RM350 juta.

Di samping itu, bagi murid sekolah rendah daripada golongan berpendapatan rendah, kerajaan secara konsisten menyediakan peruntukan khusus di bawah program Rancangan Makanan Tambahan 1Malaysia (RMT1M) yang turut merangkumi Program Susu 1Malaysia (PS1M). Bantuan khusus lain termasuklah Bantuan Makanan Asrama serta Biasiswa Kecil Persekutuan, Biasiswa Sukan dan juga elaun Murid Berkeperluan Khas.

Malah kerajaan juga menyediakan beberapa bantuan sampingan lain seperti saluran peruntukan bagi pembelian Jaket Keselamatan Murid (JKM) serta bantuan Pengangkutan dan Perjalanan Murid (PPM) kepada yang memerlukannya di samping peruntukan khusus untuk program Kelas Dewasa Ibu Bapa Orang Asli dan Penan (KEDAP).

Di Terengganu, saya difahamkan untuk BANTUAN PERSEKOLAHAN KHUSUS 2018, di antara bantuan yang diberi ialah ;

  1. PROGRAM RANCANGAN MAKANAN TAMBAHAN (RMT),  iaitu sebanyak RM15,390,475 bagi murid-murid Tahun 1 hingga 6 berjumlah 32,401 orang
  2. BANTUAN KUMPULAN WANG AMANAH PELAJAR MISKIN (KWAPM), sebanyak RM3,533, 900  kepada 35,339 murid
  3. PROGRAM SUSU 1 MALAYSIA, sebanyak RM4,292,900
  4. BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN (BAP) 2018, iaitu bantuan yang akan disampaikan pada hari ini –  sebanyak RM16,362,900.00 kepada seramai 163,629 orang murid. Selain itu, saya difahamkan kerajaan Negeri Terengganu juga ada memperuntukkan sejumlah RM14 juta sebagai DANA BANTUAN PERSEKOLAHAN sesi 2018 kepada lebih 120,000 murid.
  5. KAD SISWA 1 MALAYSIA (KADS1M) sebanyak RM588,250.00 kepada seramai 2,353 orang murid-murid Tingkatan 6 Atas bagi bantuan pembelian buku
  6. BIASISWA KECIL PERSEKUTUAN (BKP) – RM7,226,520 dengan jumlah penerima 8,603 orang penerima
  7. BIASISWA KECIL PRA UNIVERSITI (BKPU) – RM61,200 dengan jumlah penerima 612 orang penerima
  8. BIASISWA SUKAN – RM48,720 dengan jumlah 58 orang penerima

Itulah sebahagian bantuan persekolahan yang diberikan kepada murid-murid negeri Terengganu. Saya juga difahamkan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu melalui Yayasan Terengganu juga ada memberikan pelbagai jenis bantuan kepada murid-murid di negeri ini.

Maka apa yang penting sekarang sejauh mana segala bantuan persekolahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan yang disasarkan. Secara umumnya mengambil kira segala bantuan yang disediakan ini, tidak wajar timbul lagi kes anak-anak keciciran untuk masuk ke sekolah kerana sudah sedia ada banyak bantuan untuk memulakan sesi persekolahan.

Kementerian Pendidikan berharap pihak ibu bapa sama-sama  memainkan peranan menjayakan usaha murni ini. Pastikan anak-anak dihantar ke sekolah dan menikmati segala kemudahan yang kerajaan sediakan demi kepentingan, keselamatan dan kebajikan bersama. Sama ada golongan yang berpendapatan rendah, anak Orang Asli mahupun yang OKU semuanya wajar mendapat peluang yang sama rata.

Kita berharap menjelang tahun 2050, negara ini boleh mencapai angka sifar kadar keciciran anak ke sekolah dan pada masa sama, kadar celik huruf rakyat akan terus meningkat setanding dengan negara-negara maju lain sekali gus mampu memacu kegemilangan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang dihasratkan.

Saya difahamkan dalam majlis ini, pihak NGO dan swasta turut sama akan menyampaikan bantuan kepada murid-murid. Terima kasih atas keprihatian dan kecaknaan. Saya menyeru kepada pihak swasta dan badan korporat agar turut sama membantu anak-anak yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian masing-masing dengan lebih baik dan selesa. Bantuan kewangan atas dasar tanggungjawab sosial korporat (CSR) perlu diteruskan demi masa depan anak-anak di samping dapat mengurangkan pergantungan sepenuhnya kepada pihak kerajaan.

Semoga segala bantuan persekolahan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan dengan peruntukan yang cukup besar ini mampu memberikan manfaat yang sepenuhnya kepada semua golongan sasar di negara ini. Kita percaya bantuan sebegini bukan saja bertujuan membantu mengurangkan beban kewangan ibu bapa malah akan membantu secara berterusan untuk melahirkan lebih ramai lagi golongan cerdik pandai dalam kalangan rakyat kita.

Mudah-mudahan dengan kemudahan dan bantuan pendidikan ini, agenda Terengganu sebagai sebuah negeri yang sentiasa mendepani pencapaian pendiddkan negara dalam akademik dan kokurikulum dapat diteruskan pada masa-masa yang akan datang. Saya berdoa agar Terengganu akan muncul sebagai MODEL PENDIDIKAN GENERASI NEGARA BANGSA.

Saya secara peribadi merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu,  Warga Pendidikan Negeri Terengganu dan rakyat negeri Terengganu atas komitmen dan dedikasi cemerlang menjayakan agenda pendidikan negara di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia.

Insya Allah, KPM  akan sentiasa prihatin dan memberi perhatian terhadap permintaan berhubung dengan kemajuan pendidikan oleh Kerajaan Negeri, JPNT, pemimpin masyarakat, warga pendidikan negeri Terengganu dan rakyat negeri Terengganu.

Harapan saya, semoga rakyat negeri Terengganu membuat pertimbangan yang bijak, rasional dan adil dalam menilai segala budi dan jasa Kerajaan yang memerintah hari ini untuk kemajuan pendidikan rakyat negeri Terengganu pada masa ini dan pada masa akan datang. Demi kelangsungan pembangunan pendidikan rakyat, bangsa dan negara, maka kesinambungan pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional amat diperlukan.

 

This post has already been read 696 times!

Facebooktwittergoogle_plus
Facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram

Comments

comments