Pejabat Pendidikan Daerah Marang, Terengganu; Pelaburan Pendidikan.

Setelah lebih 30 tahun, atas usaha gigih semua pihak, Pejabat Pendidikan Daerah Marang bakal memperolehi bangunannya sendiri di atas sebidang tanah seluas 30,000 meter persegi (3 hektar) yang akan menempatkan bangunan dua tingkat yang mana mampu menempatkan 75 kakitangan dan lain-lain kemudahan. Sesungguhnya pelaburan pendidikan sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Malaysia demi  memastikan kesinambungan tamadun bangsa. Tahniah dan syabas atas usaha Pejabat Pendidikan Daerah Marang dan seluruh warga pendidikan yang telah mendapat sokongan pemimpin  dan ahli masyarakat daerah Marang. Ianya telah menjadi kenyataan pada hari ini dengan perasmian pecah tanah Pejabat Pendidikan Daerah Marang yang baharu.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa Pejabat Pendididikan Daerah sangat berperanan dan memberi sumbangan terhadap kemajuan masyarakat, negeri dan negara. Ternyata ia akan membuahkan impak yang besar kepada pendidikan itu sendiri, selain ekonomi dan politik.  Di bawah Program Transformasi Daerah (DTP), Kementerian Pendidikan telah memperluaskan kefungsian Pejabat Pendidikan Daerah untuk memperkasa sekolah dan murid. Kepimpinan tempatan diupayakan melalui pertukaran peranan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah dengan memberi tumpuan dan sokongan kepada sekolah dalam daerah masing-masing.

Di bawah Program Transformasi Daerah (DTP), PPD berperanan antara lain sebagai barisan hadapan dan sokongan peningkatan prestasi sekolah, membuat analisis data dan membantu sekolah mengenal pasti punca isu, serta merancang pelan intervensi untuk meningkatkan prestasi sekolah, memberi sokongan bimbingan dan pementoran kepada sekolah dari segi kemahiran pedagogi dan pengurusan serta mengenalpasti dan berkongsi amalan terbaik merentasi sekolah. Sudah tentu dengan adanya bangunan sendiri yang serba lengkap. Ia akan memudahkan lagi operasi PPD Marang dalam menjayakan DTP, Insya Allah.

Dengan pembinaan bangunan baru PPD Marang ini sudah tentu membuktikan bahawa Kerajaan kita pada hari ini merupakan Kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan yang menunaikan janji dan penuh akauntabiliti. JANJI DITEPATI. Kerajaan kita merupakan kerajaan yang tidak bercakap kosong, dan sentiasa memberi keutamaan kepada agenda  utama iaitu PENDIDIKAN. 

Ini terbukti dengan pembinaan Pejabat Pendidikan Daerah Marang yang menelan belanja RM8.4 juta dan dijangka siap pada bulan Julai 2019.Saya difahamkan bahawa Pejabat Pendidikan Daerah Marang memberikan perkhidmatan kepada 21,047 orang murid, 2,099 orang guru, dan 43 buah sekolah.

Secara tidak langsung pula, ia memberi khidmat kepada 105,100 orang penduduk daerah Marang yang meliputi  empat Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen Marang. 

Kita sama-sama merasa bangga kerana mengikut rekod, Pejabat Pendidikan Daerah Marang telah meraih banyak kejayaan di antaranya  dalam STPM dari segi PNGK di mana pada tahun 2014 dan 2016 mendapat kedudukan terbaik di negeri  Terengganu. PPD Marang juga mempunyai lima buah sekolah amanah dan tujuh buah sekolah transformasi.Pejabat Pendidikan Daerah juga hendaklah bertindak dan berperanan sebagai mata dan telinga kerajaan.

Pegawai-pegawai yang terdapat di PPD secara profesional hendaklah menerima secara tanpa syarat semua aduan dan pandangan, mendengar suara hati rakyat, sekaligus berusaha  menjawab segala isu yang dibangkitkan oleh rakyat berkaitan pendidikan. Selain itu, pegawai-pegawai di PPD juga hendaklah menjadi perantaraan untuk memyalurkan segala pandangan kepada agensi lain yang berkenaan. 

Sebagaimana yang kita sedia maklum, kerajaan menyediakan pelbagai bantuan persekolahan kepada murid-murid. Di antaranya ialah Rancangan Makanan Tambahan, Program Susu 1Malaysia, Bantuan Awal Persekolahan, Baucer Buku 1Malaysia, Bantuan Makanan Asrama dan lain-lain yang bertujuan untuk memastikan semua murid yang memerlukan dibantu dan seterusnya tidak terhalang untuk melalui proses pendidikan dan akhirnya berjaya dalam hidup.  Dengan ini  PPD seharusnya mampu bertindak sebagai penyelaras dan pemantau sekaligus membuat verifikasi  dalam memastikan tiada murid yang layak  tercicir daripada menerima bantuan yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Saya benar-benar menaruh harapan semoga bangunan Pejabat Pendidikan Daerah Marang yang dijangka siap pada bulan Julai tahun hadapan akan berfungsi  sebagai MERCU TANDA PENDIDIKAN DAERAH. Ia akan menjadi kebanggaan semua pihak dan merupakan simbol kecemerlangan pendidikan yang mana menunjukkan peningkatan kualiti pendidikan dari semasa ke semasa. Ia juga menjadi  simbol perpaduan masyarakat dan komuniti di mana semua ahli masyarakat daripada pelbagai latar belakang politik boleh duduk semeja dan berbincang dengan penuh harmoni demi kemaslahatan ummah.

Saya juga berharap Pejabat Pendidikan Daerah Marang akan menjadi pusat sehenti perancangan dan pembangunan kemenjadian murid, kemenjadian guru dan kemenjadian sekolah di daerah ini. Kerjasama, jalinan, jaringan dan rangkaian strategik bersama-sama agensi kerajaan lain, agensi bukan kerajaan, badan-badan sukarela dan semua pihak adalah amat perlu untuk merealisasikan semua hasrat Kementerian Pendidikan iaitu kemenjadian murid dan sekolah berkualiti. Saya menyeru kepada semua agensi berkenaan untuk menghulurkan apa sahaja bantuan demi mencapai hasrat yang diimpikan.

Saya juga mengambil peluang ini untuk sama-sama mengajak semua ibu bapa untuk merealisasikan misi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta sebagaimana Anjakan ke-9, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Melalui pelibatan seumpama ini, kita sama-sama dapat menunjukkan kesepakatan kita demi keberhasilan murid. Mudah-mudahan dengan kemudahan dan prasarana pendidikan ini, Terengganu sebagai sebuah negeri yang sentiasa mendepani pencapaian pendidikan negara dalam akademik dan kokurikulum dapat diteruskan pada masa-masa yang akan datang .

Saya berdoa agar Terengganu akan muncul sebagai MODEL PENDIDIKAN GENERASI NEGARA BANGSA.S aya secara peribadi merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu,  Warga Pendidikan Negeri Terengganu dan rakyat negeri Terengganu atas komitmen dan dedikasi cemerlang menjayakan agenda pendidikan negara di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia.

Insya Allah, KPM  akan sentiasa prihatin dan memberi perhatian terhadap permintaan berhubung dengan kemajuan pendidikan oleh Kerajaan Negeri, JPNT, pemimpin masyarakat, warga pendidikan negeri Terengganu dan rakyat negeri Terengganu. Harapan saya, semoga rakyat negeri Terengganu membuat pertimbangan yang bijak, rasional dan adil dalam menilai segala budi dan jasa Kerajaan yang memerintah hari ini untuk kemajuan pendidikan rakyat negeri Terengganu pada masa ini dan pada masa akan datang. Demi kelangsungan pembangunan pendidikan rakyat, bangsa dan negara, maka kesinambungan pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional amat diperlukan.

Akhirnya, dengan kesepaduan serta bulatnya tekad Pejabat Pendidikan Daerah untuk memacu, menggerak dan menjayakan misi pendidikan, saya percaya Pejabat Pendidikan Daerah Marang akan muncul sebagai Pejabat Pendidikan Daerah yang unggul dalam menyemai, membina, memantap Generasi Terengganu Baharu (Gen-T) dan TN50 sebagai pewaris tamadun bangsa khususnya untuk daerah Marang.

Dengan lafaz Bismillahirahmanirahim, saya merasmikan Majlis Pecah Tanah Pejabat Pendidikan Daerah Marang.

This post has already been read 364 times!

Facebooktwittergoogle_plus
Facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram

Comments

comments