SMK Serada, Kuala Terengganu; Akses dan Ekuiti Pendidikan.

MENINGKATKAN AKSES DAN EKUITI PENDIDIKAN: MAJLIS PECAH TANAH SMK SERADA, KUALA TERENGGANU, 8 Februari 2018

Sebagaimana yang kita sedia maklum, pendidikan adalah keutamaan Kerajaan Malaysia. Pertambahan penduduk menyebabkan sekolah-sekolah baru perlu dibina. Saya difahamkan murid-murid di kawasan ini terpaksa bersekolah di SMK Padang Midin dengan jarak 5 km, SMK Seri Nilam (6 km), SMK Tun Telanai (7 km) dan sekolah-sekolah ini pun telah mengalami kepadatan kapasiti murid-murid. Latar belakang sosio-ekonomi penduduk di kawasan ini juga menjadi justifikasi pihak Kementerian Pendidikan Malaysia mempertimbangkan pembinaan sebuah sekolah menengah baharu di kawasan ini.

Saya difahamkan usaha-usaha pengambilan tanah telah bermula seawal tahun 2010 dan siri-siri perundingan ke arah pembinaan telah dijalankan sehingga terbinanya sekolah berkenaan hari ini. Tahniah dan syabas kepada semua pihak terutama YAB Menteri Besar, YB Exco Pendidikan, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu dan semua pihak yang telah berusaha gigih merealisasikan pembinaan sekolah ini.

 

Dengan pembinaan SMK Serada ini sudah tentu membuktikan bahawa Kerajaan kita pada hari ini merupakan Kerajaan yang bertanggungjawab lagi prihatin dan kerajaan yang menunaikan janji. JANJI DITEPATI. Kerajaan kita sentiasa memberi keutamaan kepada agenda utama  rakyat dan negara iaitu PEMBANGUNAN DAN KEMAJUAN PENDIDIKAN SERTA RAKYAT.

Isu ekonomi global tidak pernah menghalang kita untuk melaksanakan semua janji-janji kerajaan kepada rakyat termasuk pembangunan prasarana yang menelan belanja yang besar. Ini terbukti dengan pembinaan SMK Serada, Kuala Terengganu yang menelan belanja RM22,853,904.38 juta di kawasan seluas 16 ekar dan dijangka siap pada bulan Disember  2019. Saya juga difahamkan di Terengganu ini, selain SMK Serada, kerajaan telah meluluskan pembinaan dua buah sekolah menengah lagi iaitu SMK Tok Jembal, Kuala Nerus dan SMK Permai, Kemaman.

 

Kerajaan Barisan Nasional telah mengekalkan tahap pelaburan yang tinggi dalam pendidikan sejak negara mencapai kemerdekaan lebih 60 tahun yang lalu. Pada awal 1980-an, perbelanjaan Persekutuan untuk pendidikan rendah dan menengah sebagai peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah tertinggi di Asia Timur. Perbelanjaan ini terus meningkat dari tahun ke tahun dan dalam Bajet 2018, jumlah yang diperuntukkan kepada pendidikan ialah RM61.6 bilion.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia  (PPPM) 2013 -2025 KPM berhasrat mencapai lima keberhasilan teras pendidikan bagi menentukan kejayaan sistem pendidikan Malaysia secara keseluruhan, iaitu akses, kualiti, ekuti, perpaduan dan kecekapan.

Setiap kanak-kanak di Malaysia berhak mendapat kesamarataan peluang pendidikan bagi membolehkan mereka mencapai potensi diri masing-masing.

Sistem pendidikan berprestasi tinggi menyediakan pendidikan berkualiti kepada setiap kanak-kanak tanpa mengira kedudukan geografi, jantina dan latar belakang sosio ekonomi.

Kementerian berhasrat merapatkan lagi jurang pencapaian antara murid bandar dan luar bandar, tahap sosio ekonomi dan pencapaian antara jantina menjelang tahun 2020. Semua kanak-kanak di Malaysia adalah berpeluang mendapatkan pendidikan cemerlang berdasarkan keunikan sistem pendidikan dan setanding dengan sistem pendidikan antarabangsa.

Murid-murid menghabiskan lebih satu perempat dari masa mereka di sekolah. Oleh yang demikian, sekolah berperanan sebagai institusi perpaduan dalam kalangan murid. Melalui interaksi bersama murid lain daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi, agama dan kaum, mereka belajar memahami, menerima serta menghayati perbezaan di bawah satu bumbung.

Dengan itu, perkongsian pengalaman dan aspirasi akan terbentuk dalam kalangan mereka. Kementerian berhasrat menjana suatu sistem pendidikan yang memberi peluang kepada murid berkongsi pengalaman dan aspirasi demi membentuk dan memperkukuhkan lagi asas perpaduan rakyat Malaysia ke arah TN50.

Segala usaha yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia adalah untuk mempastikan pelanggan utama pendidikan iaitu murid-murid mendapat kesan langsung kepada pelaksanaan segala dasar pendidikan. PPPM 2013–2025 mensasarkan KEMENJADIAN MURID di mana murid-murid mesti mencapai tahap kualiti tertentu yang ditetapkan oleh sistem pendidikan.

Justeru itu, semua guru, ibu bapa, murid dan ahli masyarakat perlu bersatu dalam merealisasikan visi pendidikan sebagai wadah pembangunan murid yang holistik dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Bermula dengan penguasaan kemahiran literasi dan numerasi, murid-murid meneroka PENGETAHUAN dengan menguasai mata pelajaran teras seperti Matematik dan Sains selain pengetahuan menyeluruh mengenai Malaysia, Asia dan dunia menerusi Sejarah, kemanusiaan dan lain-lain mata pelajaran.  

Semua mata pelajaran yang dipelajari ini digabungkan dengan diperkasakan melalui KEMAHIRAN BERFIKIR di mana murid akan menerapkan perasaan ingin tahu dan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat. Pendedahan KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi) diharapkan dapat membolehkan murid mengaplikasi ilmu pengetahuan dan berfikir secara kreatif di luar konteks akademik.

Bagi mendepani cabaran abad ke-21, murid-murid kita perlu mempunyai kemahiran-kemahiran insaniah yang lain seperti KEMAHIRAN MEMIMPIN dan KEMAHIRAN DWIBAHASA. Ini akan membolehkan mereka menyesuaikan diri  dengan persekitaran yang serba mencabar dan meluaskan penerokaan pendidikan di peringkat antarabangsa. Selain itu sebagai murid, mereka mesti menguasai ETIKA DAN KEROHANIAN supaya beroleh kesejahteraan dan keharmonian.

Kita juga mengharapkan acuan pendidikan kita dapat memupuk murid yang BERIDENTITI NASIONAL iaitu cintakan negara, patriotik, memahami, menerima serta menghayati hakikat kepelbagaian.  Sudah tentulah sekolah sebagai agen pelaksana adalah merupakan medan perjuangan untuk menjayakan kelima-lima aspirasi berkenaan.

Satu lagi komponen penting dalam mana-mana sistem pendidikan ialah PENGHAYATAN NILAI, sebagaimana Anjakan ke-3 dalam PPPM 2013-2025.  Murid hari ini merupakan pewaris dunia yang penuh dengan cabaran hebat, termasuk kelunturan adab dan sahsiah, kemusnahan alam sekitar malah konflik senjata. Murid mesti mempunyai dan mengamalkan nilai murni sejagat seperti integriti, belas kasihan, adil dan penyayang.

Kita menaruh harapan agar apa yang dipelajari di sekolah akan diamalkan dalam kehidupan seharian, yang seterusnya menghasilkan tingkah laku sivik seperti peningkatan dalam aktiviti sukarela, penerimaan individu berlainan bangsa, agama dan etnik, amanah dan berintegrasi. Selain itu, setiap murid yang tamat persekolahan bersedia menjadi pemimpin bagi diri dan keluarga mereka, atau sebahagian komuniti yang lebih besar serta negara.

Saya juga berharap Sekolah Menengah Kebangsaan Serada akan menjadi pusat pembangunan kemenjadian sekolah, kemenjadian guru  dan kemenjadian murid dan seterusnya berupaya memberi sumbangan kepada komuniti setempat, daerah, negeri dan negara dalam semua bidang.  Kerjasama, jalinan, jaringan dan rangkaian strategik  bersama-sama agensi kerajaan lain, agensi bukan kerajaan, badan-badan sukarela dan semua pihak adalah amat perlu untuk merealisasikan semua hasrat Kementerian Pendidikan iaitu kemenjadian murid dan sekolah berkualiti. Saya menyeru kepada semua agensi berkenaan untuk menghulurkan apa sahaja bantuan kepada sekolah demi mencapai hasrat yang diimpikan.

Saya difahamkan murid-murid yang akan bersekolah di sini ialah dari SK Kg Baru Serada, SK Serada, SK Banggol Katong dan SK Kepong dan kemungkinan juga dari sekolah-sekolah lain yang berdekatan. Justeru saya mengambil peluang ini untuk sama-sama mengajak semua ibu bapa untuk merealisasikan misi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta sebagaimana Anjakan ke-9, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Melalui penglibatan seumpama ini, kita sama-sama dapat menunjukkan kesepakatan kita demi keberhasilan murid.

Insya Allah, KPM  akan sentiasa prihatin dan memberi perhatian terhadap permintaan berhubung dengan kemajuan pendidikan oleh Kerajaan Negeri,  JPNT, pemimpin masyarakat, warga pendidikan negeri Terengganu dan rakyat negeri Terengganu.

Akhirnya, dengan muafakat semua pihak, Sekolah Menengah Kebangsaan Serada akan terbangun dan tersergam indah seterusnya menyemai,  membina, memantap Generasi Terengganu  Baharu (Gen-T) TN50 sebagai pewaris tamadun bangsa.

 

This post has already been read 770 times!

Facebooktwittergoogle_plus
Facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *