Perasmian Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu

Sebagaimana yang kita sedia maklum, KOLEJ TINGKATAN ENAM, HULU TERENGGANU ini nama asalnya ialah SMK Kuala Berang  yang dibina di Lot PT 7274, Mukim Tanggol, Hulu Terengganu. Difahamkan, kerja-kerja pemilikan tapak bermula bulan September 2008 dan  pembinaan telah siap sepenuhnya pada bulan Januari 2016. Ianya telah diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia pada bulan April 2016 dan beroperasi pada 2 Mei 2016.

Saya difahamkan bahawa sekolah ini mengumpulkan murid-murid Tingkatan Enam dari SMK Matang, SMK Tengku Ampuan Intan, SMK Ajil dan SMK Seri Berang. Pada 22 Mei 2016, Kementerian Pendidikan telah mewartakan 10 buah sekolah di Malaysia di bawah  Program Mod Satu Tingkatan Enam termasuk di sekolah ini  dan dinamakan sebagai Kolej Tingkatan Enam, Hulu Terengganu.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat Exco Pendidikan,  Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Pegawai Pegawai Daerah Hulu Terengganu dan semua pemimpin tempatan yang telah berjaya merealisasikan Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu, satu-satunya kolej sepertinya di Pantai Timur.

Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu  ini sudah tentu membuktikan bahawa Kerajaan kita pada hari ini merupakan Kerajaan yang bertanggungjawab dan kerajaan yang menunaikan janji.

Tingkatan Enam telah mula beroperasi di sekolah-sekolah menengah harian bantuan penuh kerajaan di seluruh negara lebih daripada 50 tahun yang lalu. Murid-murid yang menamatkan pengajian menengah atas dan telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), layak ditawarkan untuk meneruskan pendidikan ke Tingkatan Enam selama tiga penggal melalui dua aliran iaitu Aliran Sains Sosial dan Aliran Sains.

 

Penjenamaan Semula Tingkatan Enam

Salah satu inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia ialah untuk MENJENAMAKAN SEMULA TINGKATAN ENAM dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 iaitu dengan meningkatkan imej, sistem dan kualiti pendidikan setanding dengan pendidikan lepasan menengah (pra universiti) yang lain seperti Matrikulasi dan Kursus Asasi  serta menjad pilihan murid sebagai laluan utama melanjutkan pelajaran ke IPT.

Selain itu, ia juga adalah untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap pendidikan Tingkatan Enam di samping membangun dan memupuk nilai kepimpinan dalam kalangan murid-murid.

Tingkatan Enam bukan lagi merupakan pilihan terakhir kepada murid-murid lepasan SPM  yang tidak dapat mengikuti pengajian di IPTA atau IPTS, malah Tingkatan Enam adalah satu keistimewaan kerana pusat pembelajaran adalah berhampiran dengan tempat tinggal dan tiada sebarang yuran dikenakan malah sebahagian yang layak ditawarkan biasiswa. Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula mendapat pengiktirafan daripada Kerajaan Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), dan Cambridge Assessment, England.

Sijil STPM turut diterima oleh JPA untuk menjawat perjawatan dalam perkhidmatan kerajaan. Murid yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan STPM dan PAJSK layak memohon untuk melanjutkan pelajaran ke IPT dalam dan luar negara.

Menurut Bahagian Pengurusan dan Kemasukan, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, kuota kemasukan ke IPT adalah besar bagi lepasan STPM berbanding lepasan SPM.

Matlamat pendidikan Tingkatan Enam adalah bertujuan membentuk kepimpinan menuju ke arah membina Negara Bangsa meliputi aspek perpaduan, patriotisme, dan jati diri bagi mendukung aspirasi nasional. Sehubungan dengan itu, Pusat Tingkatan Enam telah dijenamakan semula dari segi imej dan anjakan minda, info dan infrastruktur, pengurusan dan pentadbiran, Mod Pengajaran dan Pembelajaran dan Kurikulum.

Dari segi Mod Pembelajaran, Mod 1 adalah pusat yang hanya menempatkan sekurang-kurangnya 12 kelas murid-murid, pengurusan dan guru-guru Tingkatan Enam sahaja, Mod 2 pula dengan sekurang-kurangnya 12 kelas di sekolah arus perdana dengan beroperasi di blok khusus dan Mod 3 bagi yang kurang dari 12 kelas murid Tingkatan Enam. Sehingga 31 Januari 2018, di Terengganu terdapat seramai 2,378 murid Tingkatan Enam di 46 buah sekolah dan daripada jumlah  tersebut, 44 buah daripadanya melaksanakan Mod 3, 1 buah Mod 2 iaitu di SMK Sultan Sulaiman, dan 1 buah Mod 1 iaitu di Kolej Tingkatan Enam, Hulu Terengganu.

Saya berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu di mana STPM 2017, pencapaian Kolej ini memberangsangkan iaitu PNGK Penggal Satu ialah 2.06, Penggal Dua 2.19 dan Penggal Tiga 2.53 serta 2 orang mendapat CGPA 4.0.

Saya menaruh penuh harapan agar berlaku peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran di semua Pusat Tingkatan Enam. Bagi mencapai matlamat tersebut, guru seharusnya mempunyai kompetensi yang tinggi dalam PdPc dan mempunyai semangat untuk sentiasa memperbaiki dan meningkatkan ilmu pengetahuan.

Guru-guru hendaklah lebih kreatif dan inovatif dengan melakukan penyelidikan, sama ada berbentuk kajian tindakan ataupun kajian konvensional. Isu-isu murid dikenalpasti dan dilakukan intervensi bijak agar murid-murid dapat menguasai PdP seterusnya meningkatkan pencapaian mereka.

Guru-guru juga hendaklah mendorong murid-murid menyertai aktiviti kokurikulum terutama memperkasakan kepimpinan murid-murid Tingkatan Enam. Di Pusat Mod 2 dan Mod 3, mereka seharusnya adalah sebagai role model dan ikon kepada murid-murid lain dari segi kepimpinan dan lain-lain kecemerlangan.

Saya juga berharap Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu akan menjadi pusat pembangunan kemenjadian sekolah, kemenjadian guru  dan kemenjadian murid, serta seterusnya berupaya memberi sumbangan kepada komuniti setempat, daerah, negeri dan negara dalam semua bidang.  

Kerjasama, jalinan, jaringan dan rangkaian strategik bersama-sama agensi kerajaan lain, agensi bukan kerajaan, badan-badan sukarela dan semua pihak adalah amat perlu untuk merealisasikan semua hasrat Kementerian Pendidikan iaitu KEMENJADIAN MURID DAN SEKOLAH BERKUALITI.

Saya menyeru kepada semua agensi berkenaan untuk menghulurkan apa sahaja bantuan kepada kolej ini demi mencapai hasrat yang diimpikan. Saya juga mengambil peluang ini untuk sama-sama mengajak semua ibu bapa untuk merealisasikan misi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta sebagaimana Anjakan ke-9, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Melalui pelibatan seumpama ini, kita sama-sama dapat menunjukkan kesepakatan kita demi keberhasilan murid. Sehingga ini, antara mekanisme dan instrumen terbaik membina tamadun bangsa tidak lain dan tidak bukan ialah PENDIDIKAN.

Saya secara peribadi merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu,  Warga Pendidikan Negeri Terengganu dan rakyat negeri Terengganu atas komitmen dan dedikasi cemerlang menjayakan agenda pendidikan negara di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia.

Insya Allah, KPM  akan sentiasa prihatin dan memberi perhatian terhadap permintaan berhubung dengan kemajuan pendidikan oleh Kerajaan Negeri, JPNT, pemimpin masyarakat, warga pendidikan negeri Terengganu dan rakyat negeri Terengganu.

Akhirnya, berkat muafakat semua pihak, Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu akan berdiri megah sebagai sebuah organisasi pembina  Generasi Terengganu  Baharu (Gen-T).

This post has already been read 208 times!

Facebooktwittergoogle_plus
Facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *