PEMBANGUNAN NILAI DAN SAHSIAH – SATU USAHA BERSEPADU

PEMBANGUNAN NILAI DAN SAHSIAH – SATU USAHA BERSEPADU

Sesungguhnya saya amat terkesan dengan pelbagai kes penderaan yang dipaparkan melalui media kebelakangan ini, terutama apabila mangsanya adalah anak-anak kecil yang tidak berdosa.  Saya tertanya dalam diri – di manakah letaknya nilai kemanusiaan dalam kehidupan? Adakah kita terlalu tertekan dengan tuntutan kehidupan maka kita tidak lagi memikirkan masa hadapan anak-anak kita sendiri?

Setiap kali saya mengadakan lawatan ke sekolah dan melihat wajah ceria anak-anak yang sedang belajar, saya tidak hanya meminta pegawai saya memastikan kemudahan infrastruktur disediakan dengan mencukupi. Saya bukan setakat melihat keselesaan anak-anak menjalani proses pembelajaran, tetapi saya memikirkan di sebalik keceriaan mereka di dalam kelas, apakah kehidupan yang mereka lalui semasa dengan keluarga dan semasa berinteraksi dengan masyarakat?

Cabaran yang mendepani anak-anak kita dan kita sendiri dewasa ini bukanlah sedikit.  Generasi ibu bapa sekarang perlu memahami bahawa kita berada dalam dunia yang tidak bersempadan. Sebagaimana yang selalu saya katakan dalam ucapan saya, kita perlu mendidik anak-anak ini sesuai dengan zaman mereka. Zaman mereka adalah zaman digital, di mana pengetahuan boleh diperolehi di hujung jari. Maka sekolah sebenarnya mempunyai peranan yang lebih besar, iaitu memupuk nilai kemanusiaan menerusi interaksi sesama insan.  

Selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, murid dididik untuk mencapai keseimbangan dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek agar dapat membentuk kesejahteraan diri. Dalam setiap aspek pengajaran, guru-guru berusaha untuk menerapkan nilai supaya murid ini dapat dibangunkan secara holistik dan dapat memberikan sumbangan yang bermakna kepada masyarakat. Suasana interaksi di sekolah berbeza daripada pengalaman sebenar mereka di luar sekolah. Melalui kurikulum yang telah dibina, situasi pembelajaran yang kondusif diwujudkan untuk murid kita mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran yang telah dipelajari.  

Namun begitu, melangkah keluar daripada kawasan sekolah, apakah kehidupan yang dilalui oleh anak-anak ini? Jika di sekolah mereka diterapkan dengan nilai menghormati orang yang lebih tua melalui pembacaan, amalan dan khidmat masyarakat contohnya, adakah perkara yang sama diamalkan dan diperkukuh di dalam keluarga dan masyarakat? Pengaruh media sosial juga tidak kurang hebatnya. Sejauh mana kawalan kita terhadap interaksi anak-anak di alam maya? Sejauh mana pula pengaruh media baharu ini terhadap pemikiran dan tingkah laku anak-anak kita?

Jelas bahawa penerapan nilai dan pembentukan sahsiah ini bukanlah tugas sekolah semata-mata. Dalam membangunkan seorang manusia yang penuh dengan nilai insaniah, usaha yang bersepadu amat-amat diperlukan daripada semua pihak berkepentingan. Di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, Enam Aspirasi Murid meletakkan kesimbangan antara ilmu dan akhlak. Kemahiran memimpin, etika dan kerohanian serta identiti nasional merupakan aspek akhlak yang kita harapkan telah diterapkan dalam diri murid kita.

Bagi memperkukuh aspek pembentukan akhlak ini,  saya telah mengumumkan semasa Perutusan Tahun Baharu 2018 bahawa Pembangunan Nilai dan Sahsiah ini menjadi salah satu daripada 19 inisiatif utama yang perlu dilaksanakan secara komprehensif.  Kementerian Pendidikan akan menjalankan usaha yang lebih agresif dalam meningkatkan kesedaran setiap pihak berkepentingan – guru, ibu bapa, masyarakat umum serta sektor swasta bahawa usaha menerapkan nilai dan membangunkan sahsiah diri murid ini memerlukan kerjasama semua pihak. Nilai murni yang diterapkan di rumah atau di sekolah, diperkukuhkan dalam interaksi dengan masyarakat.   

Kita harus sedar bahawa pembentukan nilai dan sahsiah ini adalah proses yang memerlukan jangkamasa yang panjang, berterusan dan perlu dimulakan sejak awal lagi. Setiap agama mengajar umatnya supaya berbuat baik, dan memupuk etika dan kerohanian sejak kecil lagi. Dalam Islam contohnya, proses pendidikan itu bermula sejak dari dalam rahim ibunya lagi, apabila seorang ibu sangat digalakkan untuk mengamalkan ayat-ayat al Quran secara konsisten dan memelihara amalan seharian. Institusi kekeluargaan memainkan peranan yang penting dalam memupuk murid yang seimbang dan sejahtera. Alangkah beruntungnya seorang anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang keluarga, mendapat pendidikan berkualiti dari institusi formal dan diperkukuh pula melalui interaksi yang positif dalam masyarakat.  

Namun begitu, tidak semua anak-anak kita yang bertuah untuk mengalami suasana sebegini dalam proses mereka membesar. Untuk anak-anak ini, sekolah merupakan tempat di mana mereka akan merasa selamat dan dikasihi. Guru dan pentadbir sekolah bersama-sama dengan ibu bapa yang lain, serta masyarakat dan sektor swasta diharapkan dapat berganding bahu dalam mewujudkan satu ekosistem pembelajaran dalam komuniti secara konsisten.  

Saya berbangga dengan kerjasama yang dihulurkan oleh Polis Diraja Malaysia dalam menangani isu disiplin di sekolah.  Saya menghadiri Seminar Seminar Permuafakatan Pembangunan Nilai Dan Sahsiah Murid anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Perbadanan Putrajaya dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Kuala Lumpur baru-baru ini di Auditorium Cempaka, Putrajaya.   Seminar ini merupakan satu usaha secara kolaboratif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian bagi meningkatkan nilai dan sahsiah murid. Saya amat berbesar hati kerana PDRM turut mengganggotai JK Induk Menangani Gejala Disiplin yang secara langsung telah banyak membantu KPM menangani salah laku disiplin murid.  Saya merakamkan ucapan penghargaan dan setinggi-tinggi terima kasih kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Bin Harun dan PDRM atas usaha dan inisiatif melaksanakan pelbagai program dengan Kementerian.

Usaha PDRM membantu Kementerian untuk menangani isu disiplin dan salah laku murid adalah satu usaha terpuji yang menunjukkan keprihatinan agensi kerajaan dalam isu pendidikan.  Dalam skop yang lebih besar,  kerjasama semua pihak amat diperlukan dalam memupuk etika dan kerohanian dalam diri setiap individu agar identiti kita sebagai warga Malaysia dapat diserlahkan.  Perpaduan dalam kepelbagaian perlu diperkukuh, justeru ambillah kesempatan yang ada semasa musim perayaan ini untuk kita sama-sama mengeratkan hubungan demi masa hadapan yang lebih gemilang untuk anak-anak kita.

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BAHARU CINA 2018

@MahdzirKhalid

This post has already been read 1113 times!

Facebooktwittergoogle_plus
Facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram

Comments

comments