Pasca SPM dan STPM: kunci kepada begitu banyak ‘pintu’ yang membawa kepada pelbagai peluang.

Syabas dan tahniah!
Belum terlambat untuk saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua murid yang telah memperoleh keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada 6 Mac 2018 dan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pada 15 Mac 2018.  Tidak kira apa pun keputusan yang diperolehi, saya percaya setiap murid yang mengambil peperiksaan tersebut telah berusaha sebaik mungkin berdasarkan potensi masing-masing dan bimbingan sewajarnya daripada para guru.
Sebagaimana yang kerap kali ditekankan oleh Kementerian Pendidikan, pencapaian dalam bentuk gred A hingga F bagi mata pelajaran yang diambil adalah indikator kepada penguasaan kandungan matapelajaran tersebut daripada aspek kognitif, merujuk kepada ilmu itu sendiri.  Dalam memastikan kemenjadian murid, kita semua tahu bahawa pendidikan negara kita memberi fokus kepada pembangunan holistik murid dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani bagi menghasilkan murid yang mempunyai kesejahteraan diri.
Tidak mendapat keputusan ‘straight A’ tidak bermakna seseorang itu tidak berjaya dalam hidup.  Keputusan STPM dan SPM yang diraih ini adalah kunci kepada begitu banyak ‘pintu’ yang membawa kepada pelbagai peluang bagi murid meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang akan menjadi aset penting dalam dunia kerjaya.
What’s next?
Soalan yang perlu ditanya sekarang oleh semua lepasan STPM dan SPM adalah – what’s next?, atau apakah langkah seterusnya?  Adakah mahu menyambung pengajian, atau mahu meneroka dunia pekerjaan?  Nasihat saya – dapatkan maklumat dan bimbingan sewajarnya mengenai peluang yang ada selepas STPM dan SPM ini untuk membantu anda membuat keputusan yang paling sesuai bagi membangunkan potensi diri anda.  Maklumat sememangnya berada di hujung jari; namun begitu anda perlu mendapatkan bimbingan daripada guru ataupun ibu bapa bagi memastikan kesahihan maklumat yang diterima.
Kebanyakan ibu bapa memang seboleh-bolehnya mahukan anak mereka menyambung pengajian di mana-mana institusi pendidikan tinggi sama ada di universiti, kolej ataupun di institusi kemahiran.  Lepasan STPM boleh memohon untuk meneruskan pengajian di universiti awam atau swasta, ataupun menceburi dunia pekerjaan ( kepolisan, ketenteraan dan seumpamanya) menggunakan sijil yang ada.  Mereka juga boleh mendapatkan diploma daripada mana-mana kolej yang menawarkan kursus yang sesuai.
Bagi lepasan SPM, mereka yang layak boleh memohon ke universiti bagi kursus diploma atau persediaan, ke politeknik atau kolej komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi.  Mereka juga boleh memohon untuk ke Institut Pendidikan Guru, Tingkatan 6 dan Matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan.  Selain itu, mereka juga boleh memilih untuk mengambil program A-Level sekiranya mahu melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Pilihan juga terbuka kepada mereka untuk meningkatkan kemahiran di mana-mana Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dengan fokus untuk menyediakan pekerja mahir yang dikendalikan oleh beberapa Kementerian dan agensi Kerajaan.   Antara ILKA tersebut adalah Institut Latihan Perindustrian (ILP),  Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN),  Institut Kemahiran MARA (IKM) dan Institut Pertanian (IP) yang menawarkan pelbagai kursus di peringkat sijil dan diploma.  Semua permohonan boleh dibuat secara dalam talian dengan melayari laman web yang berkaitan.
Pembiayaan Pendidikan
Amat bertuah anak-anak yang hidup dalam era Revolusi Industri 4.0 ini kerana peluang untuk melanjutkan pelajaran terbuka luas.  Bukan setakat peluang belajar, tetapi juga bantuan diberikan kepada mereka untuk menyambung pengajian melalui pembiayaan yang disalurkan oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta.  Mereka boleh memohon biasiswa dari Bank Negara, Petronas, MARA, Khazanah Nasional atau Telekom Malaysia sebagai contoh, ataupun mendapatkan pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN).
Pendek kata, tidak ada alasan mengapa pelajar yang layak tidak boleh menyambung pengajian atas dasar tiada peruntukan kewangan, kerana bantuan boleh diperolehi daripada pelbagai sumber.
Membina kerjaya di usia muda?
Bagi mereka yang berminat untuk bekerja atau menjadi usahawan, saya percaya banyak peluang pekerjaan di dalam dan di luar negara yang boleh diceburi.  Saya faham, ramai ibu bapa yang merasakan anak-anak mereka masih muda untuk melangkah ke alam pekerjaan.  Namun begitu, sekiranya kecenderungan mereka adalah ke arah dunia pekerjaan, pilihan ini perlu juga disokong dan dibantu.
Saya faham ibu bapa mungkin merasa risau kerana sekiranya anak mereka sudah bekerja, tidak ada peluang pula untuk anak-anak ini melanjutkan pelajaran.   Kegusaran ini telahpun saya jawab dalam banyak sesi penerangan dan libatsama dengan sekolah di seluruh negara, dan juga penulisan saya sebelum ini.   Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) di bawah Malaysia Qualifications Agency (MQA) adalah platform yang paling sesuai untuk mereka mendapat pengiktirafan terhadap kemahiran yang mereka perolehi setelah menceburi dunia pekerjaan.
Sokongan dan bantuan kepada anak-anak.
Yang penting, anak-anak kita ini perlu dibantu untuk menetapkan hala tuju mereka selepas SPM dan STPM.  Dalam mendepani masa hadapan yang tidak menentu ini, kita perlu memberi sokongan kepada mereka untuk mereka memilih jalan yang sesuai dengan kecenderungan dan potensi diri. Lepasan SPM dan STPM perlu melihat lebih jauh lagi – apa yang akan berlaku kepada diri mereka dalam masa lima atau sepuluh tahun akan datang?
Senario yang bakal dilalui ini adalah berdasarkan kepada apa yang mereka lakukan pada hari ini.  Justeru, buatlah pilihan yang tepat, bangunkanlah kesejahteraan diri supaya anda dapat menyumbang kepada keluarga, bangsa dan negara bagi masa hadapan yang lebih gemilang.

This post has already been read 6298 times!

Facebooktwittergoogle_plus
Facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram

Comments

comments