Pendidikan: Tanggungjawab bersama.

MUAFAKAT MEMBAWA BERKAT – PENDIDIKAN TANGGUNGJAWAB SEMUA

Tugas sebagai Menteri Pendidikan membawa saya ke segenap ceruk rantau di negara ini dan memberi peluang kepada saya berinteraksi dengan ramai ibu bapa murid dalam pelbagai program termasuk merasmikan Mesyuarat Agung PIBG dan penyampaian bantuan persekolahan kepada murid.  Awal Mac saya mengadakan lawatan kerja ke Labuan dan Sabah bagi melihat sendiri perkembangan infrastruktur pendidikan dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sana. Umum mengetahui bahawa Sabah memang dekat di hati saya, kerana penempatan saya pertama kali bergelar pendidik adalah di negeri Sabah.  

Di Sabah, YAB Perdana Menteri Dato Seri Najib Razak turut serta untuk meninjau bangunan sekolah baharu di SK Pekan Telipok dan SMK Pekan Telipok, Tuaran. Sokongan YAB Perdana Menteri memang amat dihargai kerana bukan sekali beliau pergi ke sekolah-sekolah dan meluangkan masa beramah mesra dgn warga pendidikan.  Cara beliau yang bersahaja membuatkan murid sekolah yang masih kecil tidak merasa takut berinteraksi dengan pemimpin nombor satu negara.

Apabila melihat anak kecil, murid sekolah rendah nampak yakin berinteraksi dengan YAB Perdana Menteri sendiri, timbul rasa bangga dalam hati saya.  Saya bangga kerana keyakinan anak ini tentulah hasil daripada didikan guru dan ibu bapa mereka. Saya sering melihat ‘cerita di belakang tabir’ – yang kita dapat lihat adalah murid yang yakin berkomunikasi, tetapi bagaimana kemahiran komunikasi ini dapat dipupuk dalam diri murid kita?  Sudah tentulah daripada pendidikan yang bermula di rumah bersama-sama ibu bapa, diperkukuh pula dengan pendidikan formal di sekolah. Begitu juga pendidikan di sekolah, dimantapkan pula di rumah dan dalam komuniti.

Dalam penulisan saya yang lepas, saya menyentuh tentang pentingnya nilai, etika dan kerohanian dipupuk dalam diri setiap murid dalam usaha membentuk sahsiah dan keperibadian mereka.  Sebagaimana yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, murid yang seimbang dan sejahtera ini akan dapat menyumbang kepada bangsa dan negara. Sekali lagi saya tekankan di sini bahawa peranan ibu bapa, guru dan komuniti adalah sangat penting dalam membentuk sahsiah murid.  

Saya bersyukur kerana Anjakan 9 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 – Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pihak berkepentingan. Interaksi saya dengan wakil PIBG membuatkan saya begitu yakin bahawa kesedaran masyarakat terhadap peri pentingnya pelibatan menyeluruh masyarakat dalam kemenjadian murid memang tinggi sekarang ini. Setelah enam tahun dilaksanakan dasar ‘buka pintu’ sekolah di bawah PPPM, kita mengalu-alukan sumbangan ibu bapa dan masyarakat dalam pendidikan anak-anak mereka.

Peranan PIBG kini sudah banyak berubah.  Kalau dahulu, PIBG dilihat sebagai ‘persatuan untuk mendapatkan dana’, bak kata seorang rakan – “PIBG ni kena cari duit saja”.  Kini PIBG lebih berfungsi sebagai satu platform di mana ibu bapa boleh berkongsi pandangan, kepakaran dan kemahiran bagi membantu sekolah dalam membentuk kemenjadian murid.  Tidak kira di mana pun, ibu bapa yang menjadi ahli PIBG terserlah kehebatannya – daripada usahawan, golongan professional hinggalah ke tokoh korporat. Tidak kira apa pun latar belakangnya, semua mereka mempunyai aspirasi yang sama, iaitu  menyediakan suasana yang paling sesuai dalam proses pembelajaran untuk anak-anak mereka menyerlahkan potensi mereka sebagai insan yang seimbang.

Saya amat berterima kasih kepada PIBG sekolah-sekolah di seluruh Malaysia atas komitmen mereka yang amat tinggi dalam meningkatkan prestasi sekolah secara menyeluruh.  Sering kita mendengar cetusan kisah inspirasi bagaimana sekolah dan PIBG bekerjasama dengan erat demi kebajikan pelajar.

Setiap ibu bapa dan ahli masyarakat boleh memberikan sumbangan – kalau tidak wang ringgit, mereka menyumbangkan idea, tenaga ataupun bantuan yang lain.  Kalau golongan ibu boleh bergotong royong menyediakan makanan untuk murid yang kurang bernasib baik di sekolah, golongan bapa pula boleh menyumbang kemahiran untuk membuat baik pulih kecil, seperti membaiki kipas di bilik darjah, atau membetulkan paip dan sebagainya. Yang penting, setiap daripada ibu bapa dan ahli masyarakat ada memberikan sumbangan, tidak kira kecil mahupun besar, dan kerjasama antara ibu bapa, masyarakat dan sekolah perlu dijalin dengan erat.  

PIBG juga sebenarnya membawa suara dan aspirasi masyarakat setempat, dan suara ini perlu didengari.  Hal ini dapat saya lihat semasa Ekspo Muafakat Kedah apabila segenap lapisan masyarakat, daripada murid sekolah hinggalah tokoh korporat berganding bahu untuk menjayakan program tersebut.  Keberhasilan muafakat ini sebenarnya dapat kita lihat dalam perwatakan generasi pelapis yang dibangunkan, iaitu keperibadian dan sahsiah pelajar kita. Begitu segak anak-anak dengan pakaian seragamnya,  dengan komitmen murid yang mengambil bahagian dalam seni mempertahankan diri dan dalam pelbagai persembahan yang lain. Ini adalah hasil permuafakatan yang erat antara ibu bapa, masyarakat dan guru.

Saya berbangga dengan PIBG yang telah mengubah paradigma daripada ‘mencari dana’ kepada memberikan sokongan secara menyeluruh kepada sekolah.  Saya hargai komitmen daripada tokoh korporat dan golongan professional yang tidak berfikir dua kali dalam menyumbang kepakaran kepada sekolah anak masing-masing.  Saya kagum dengan ibu bapa dari pelbagai latar belakang yang bertungkus lumus menyumbang tenaga untuk keselesaan anak-anak mereka belajar. Saya amat berharap kerjasama yang erat ini diteruskan dan diperkukuhkan lagi, demi memupuk anak-anak yang kaya dengan nilai dan teguh etika dan kerohaniannya.  Saya percaya berkat usaha semua, kita akan berjaya memacu transformasi pendidikan negara dan meletakkan Malaysia dalam kelompok negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik dunia.

This post has already been read 1490 times!

Facebooktwittergoogle_plus
Facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram

Comments

comments