Masa Hadapan Negara Di Tangan Kita

Pelbagai peristiwa penting yang berlaku sejak kali terakhir saya menulis mengenai pentingnya pelibatan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak pada bulan Mac yang lalu, secara peribadi dan juga profesional.  Setelah tiga tahun diamanahkan untuk menjadi Menteri Pendidikan, 29 Mac 2018 merupakan tarikh yang amat istimewa apabila buku biografi saya – ‘Semua Kita Serupa’ terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) berjaya dilancarkan.

Majlis yang diadakan di Dewan Bankuet bangunan Parlimen disempurnakan oleh Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Haji Mulia, Yang Dipertua Dewan Rakyat ketika itu. Buku ini menyingkap perjalanan hidup saya sejak mula bergelar pendidik, jatuh bangun saya dalam arena politik hingga kini diberi peluang kedua dengan memegang jawatan tertinggi di Kementerian yang paling besar  dalam kerajaan. Terima kasih saya kepada Pn Zinitulniza Abdul Kadir yang telah menulis buku tersebut dan kepada ITBM yang telah menerbitkannya.

Satu lagi peristiwa yang akan terpahat dalam sejarah hidup saya adalah penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) dalam Pendidikan oleh  MAHSA University pada 3 April 2018. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tun Zaki Tun Azmi dan MAHSA University di atas penganugerahan tersebut, dan saya berharap semoga dikurniakan kekuatan untuk terus berkhidmat untuk masyarakat dan negara, demi memartabatkan pendidikan di Malaysia.

 

Jelajah Pendidikan KPM; Sumber maklumat pendidikan.

Awal bulan April saya berkesempatan untuk merasmikan Program Jelajah Pendidikan di Parit Buntar, Perak. Program ini yang dijalankan hampir setiap bulan adalah satu platform khusus bagi warga Kementerian Pendidikan Malaysia mendapatkan maklum balas serta berinteraksi dengan masyarakat mengenai pelbagai perkara mengenai pendidikan secara berterusan.  Selain daripada menyampaikan sendiri maklumat mengenai perkembangan terkini dalam dunia pendidikan, saya berkesempatan berkunjung ke ruang pameran program tersebut di mana kejayaan murid di Parit Buntar terutamanya dapat dikongsi dengan masyarakat setempat. Saya begitu tertarik dengan gerai SpeED Bakery yang diusahakan sendiri oleh murid Program Pendidikan Khas Integrasi SK Sg Kepar, Parit Buntar. Kejayaan dan keupayaan murid pendidikan khas ini adalah satu testimoni bagaimana bimbingan guru dan sokongan ibu bapa adalah faktor penyumbang utama kepada kemenjadian murid.  

Motivasi 

Teringat juga saya kepada kejayaan salah seorang lepasan SPM 2017 yang telah saya kongsikan di laman rasmi Facebook.   Kisah Muhammad Shahizat Mohd Faizal yang dibesarkan dalam keluarga yang daif berusaha keras bagi mencapai kejayaan dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).  Kesusahan yang dialami menjadi motivasi kepada murid Sekolah Menengah Kebangsaan Tumpat untuk belajar dengan gigih. Yang menyentuh hati saya sebagai seorang bapa adalah apabila ayahnya sendiri mengatakan walaupun Shahizat terpaksa membantu beliau membuat kerja buruh bagi menambah pendapatan keluarga, tidak pernah sekali pun dia mengeluh, malah dia terus berusaha untuk belajar bersungguh-sungguh.

Saya yakin ibu bapa Shahizat telah menerapkan nilai tanggungjawab yang tinggi pada anak mereka meneruskan usaha tanpa mengenal jemu, dan hasilnya dia berjaya meraih keputusan cemerlang 6A, iaitu dua A+ dan empat A. Saya berdoa agar Shahizat dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi sebagaimana yang dicita-citakan. Kisah Shahizat ini juga merupakan bukti bahawa didikan ibu bapa dan bimbingan guru dapat membentuk sahsiah murid sebagaimana yang dihasratkan melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Kejayaan

Sejak dilantik menjadi Menteri Pendidikan pada 28 Julai 2015, saya meneruskan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini.  Kerajaan Barisan Nasional dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke 13 berjanji untuk membawa Malaysia ke tahap ‘kategori tiga teratas’ dalam sistem pendidikan terbaik dunia, melalui pentaksiran antarabangsa.  Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) bagi memastikan sistem pendidikan kita berada di landasan yang betul dalam usaha mencapai apa yang dijanjikan, dan saya bersyukur kerana berdasarkan pentaksiran Trends In Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Programme for International Students Assessment (PISA), terdapat peningkatan yang sangat ketara dalam markah yang dicapai oleh murid Malaysia.

Begitu juga dengan meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti untuk murid berkeperluan khusus seperti murid pendidikan khas dan golongan orang asli.  Kerajaan sentiasa memastikan kemudahan dan perkhidmatan terbaik diberikan kepada mereka yang memerlukan perhatian khusus. Saban tahun dalam Laporan Tahunan PPPM yang diterbitkan sejak 2013, kita akan dapat melihat kejayaan dan amalan terbaik yang dilaksanakan di sekolah-sekolah negara ini.  Untuk maklumat lanjut sila layari www.padu.edu.my 

Saya tidak perlu bercerita panjang mengenai segala usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan kerana hasilnya sudah dapat dilihat pada hari ini.  Sebagai bekas pendidik, saya amat memahami bahawa kebajikan warga pendidikan perlu dijaga, terutama bagi kes suami isteri yang berjauhan demi menjalankan tugas. Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, ingin saya nyatakan di sini bahawa hampir 16,000 permohonan pertukaran oleh guru duka lara bagi mengikut pasangan masing-masing, sudah diluluskan sepanjang tempoh Disember 2015 hingga akhir tahun lalu dan sebanyak 7,000 permohonan lagi akan diproses pada Jun depan.

Manifesto Barisan Nasional – Komprehensif

Kali ini, untuk PRU ke 14, sekali lagi Barisan Nasional telah melancarkan manifesto yang begitu komprehensif dengan memberikan fokus kepada kesejahteraan rakyat. Pendidikan masa hadapan menjadi teras kepada manifesto Barisan Nasional kali ini dengan menambah baik prasarana dan perkhidmatan pendidikan di semua sekolah di negara ini melalui usaha bersepadu daripada semua pihak iaitu ibu bapa, warga pendidikan, komuniti dan sektor swasta.

Manifesto ini adalah kesinambungan usaha Barisan Nasional sebelum ini dan perancangan untuk masa hadapan yang holistik. Sila rujuk pautan ini sebagai bukti bahawa Barisan Nasional mengotakan janji dan merupakan pilihan terbaik untuk rakyat Malaysia.

Pendidikan Tanggungjawab Semua

Kerapkali saya katakan bahawa pendidikan tidak lagi tugas mutlak guru semata-mata, tetapi semua pihak patut memainkan peranan mereka bagi memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai untuk membolehkan mereka mendepani masa hadapan dengan gemilang. Sememangnya menjadi tugas kita sebagai pendidik, tidak kira sama ada pemimpin atau pelaksana pendidikan, untuk menyediakan murid yang seimbang ilmu dan akhlaknya.  Kejayaan yang diraih oleh murid kita setakat ini dalam pelbagai bidang termasuk dalam bidang kemahiran, sukan atau seni menjadi testimoni kepada komitmen kerajaan dalam memastikan generasi akan datang dapat menerajui negara ini ke mercu kejayaan.

Semasa Persidangan Pengetua Kebangsaan baru-baru ini dan juga semasa permukiman Kementerian Pendidikan, saya menekankan sekali lagi tentang tanggungjawab dan amanah kita sebagai pendidik – apa saja yang dilakukan adalah untuk anak-anak kita, untuk masa hadapan mereka.  Dengan itu, menjelang pilihan raya umum yang bakal berlangsung pada 9 Mei nanti, saya ingin menyeru semua warga pendidikan untuk memikirkan masa hadapan anak-anak didik kita, dan buatlah pilihan terbaik – hebatkan negara!

This post has already been read 970 times!

Facebooktwittergoogle_plus
Facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram

Comments

comments