PILIHAN RAYA UMUM KE 14: PENYAMBUNG KEGEMILANGAN NEGARA

PILIHAN RAYA UMUM KE 14: PENYAMBUNG KEGEMILANGAN NEGARA

Alhamdulillah bersyukur saya ke hadrat Allah s.w.t. kerana proses penamaan calon yang berlangsung pada 28 April 2018 yang lalu dapat dilaksanakan dengan lancar.   Di kawasan Parlimen Padang Terap, saya bersama-sama Dato’ Badrol Hisham Hashim di DUN Kuala Nerang dan Pn Kama Noriah Ibrahim bagi DUN Pedu akan berusaha untuk mempertahankan kerusi masing-masing dalam Pilihan Raya Umum ke 14 yang bakal berlangsung pada 9 Mei 2018 nanti.  Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada calon daripada PAS dan PKR.

Saya amat berharap dalam masa yang agak terhad diberikan untuk berkempen, semua pihak dapat mematuhi peraturan dan undang-undang negara ini.  Yang penting adalah sikap terbuka, bertoleransi dan saling hormat-menghormat, walaupun kita mempunyai fahaman politik yang berbeza. Saya dan rakan-rakan dari Barisan Nasional (BN) akan meneruskan usaha untuk menyampaikan maklumat dan janji yang telah dimaktubkan dalam Manifesto BN yang dilancarkan sebelum ini.  BN prihatin dengan keperluan rakyat yang berbeza mengikut kawasan, justeru manifesto khusus untuk kawasan juga telah disediakan bagi memaksimumkan manfaat yang bakal diterima oleh masyarakat setempat.

Sebagai ‘a seasoned politician’, pengalaman telah mendidik saya untuk sentiasa bersedia dengan pelbagai kemungkinan yang akan berlaku dalam perjuangan untuk membela nasib rakyat.  Saya percaya selagi kita ikhlas dalam usaha untuk memastikan kebajikan rakyat terbela, selagi itulah kita akan berada dalam landasan yang benar. Sehubungan itu saya berpandangan bahawa setiap pengundi perlu sedar bahawa tanggungjawab mereka adalah sangat besar dalam menentukan halatuju dan masa hadapan negara.  Kerap kali saya katakan dalam sesi pertemuan saya dengan masyarakat di kawasan saya, memang betul dalam keadaan sekarang kita akan melihat kepada isu yang benar-benar dekat di hati kita, contohnya mengenai kos sara hidup atau pendidikan. Namun begitu dalam pada kita memikirkan tentang kehidupan harian kita, seharusnya kita juga memandang jauh ke hadapan – apakah kesan tindakan kita hari ini kepada masa hadapan anak cucu kita?

Sebagaimana yang telah disentuh dalam penulisan terdahulu, Manifesto BN untuk PRU ke 14 adalah bersifat komprehensif dan futuristik dengan  menjanjikan program-program menghebatkan Malaysia untuk masa hadapan yang lebih cerah dengan mendahulukan rakyat serta pembangunan lebih adil dari Perlis hinggalah ke Sabah dan Sarawak.  Manifesto bertemakan “Bersama BN Hebatkan Negaraku” berikrar untuk menyusun pembangunan yang menyeluruh tetapi secara berfokus mengikut keperluan masyarakat setempat dan golongan sasar.

Saya ingin mengambil contoh satu inisiatif yang ternyata telah banyak membantu golongan B40 iaitu Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M.  BR1M ini bersifat eksklusif, bermakna hanya mereka yang layak sahaja yang akan mendapat bantuan. Semasa pembentangan Manifesto BN pada 7 April 2018 YAB Perdana Menteri mengumumkan bahawa BR1M bulan Jun dan Ogos 2018 berjumlah RM400 digandakan kepada RM800, bermakna jumlah keseluruhan meningkat daripada RM1,200 kepada RM2,000 khas bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah.  Pertambahan ini mungkin dilihat kecil bagi mereka yang mampu, namun bagi mereka yang berpendapatan rendah, setiap bantuan yang diberikan sangat bermakna dan dapat meringankan beban mereka.

BR1M ini juga dapat membantu menjana pasaran tempatan melalui perbelanjaan yang dibuat mereka untuk membeli barangan keperluan dan perkhidmatan.  Bantuan ini akan meningkatkan kuasa beli dalam kalangan mereka sekali gus permintaan domestik juga akan meningkat. Memang ia bukanlah penyelesaian mutlak kepada kos sara hidup, namun ia sudah membuktikan satu kejayaan rasionalisasi subsidi kepada golongan sasar, dan bantuan tersebut tetap diteruskan walaupun negara terpaksa berhadapan dengan ketidak tentuan keadaan ekonomi global.  

Kita kini dalam proses peralihan dari negara berstatus sederhana kepada negara maju menjelang tahun 2020.  Kita perlu faham bahawa kos sara hidup yang tinggi ketika ini tidak dapat dielakkan bagi setiap negara di dunia, termasuklah negara kita Malaysia.   Ketidak tentuan harga barang peringkat global disebabkan faktor alam, bekalan bahan mentah dan bahan diproses, ketidak stabilan politik dan peperangan – walaupun tidak berlaku di Malaysia tetapi menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup rakyat di negara ini.  

Lantaran itu BR1M merupakan satu langkah kerajaan untuk membantu dan melindungi golongan berpendapatan rendah yang menjadi tulang belakang negara dalam proses transformasi ini.  Bantuan berfokus seperti ini bukan lah sesuatu yang baharu. Negara maju seperti United Kingdom memberi bantuan khusus kepada rakyatnya yang berpendapatan rendah dan ibu-ibu tunggal.   Singapura juga pernah memperkenalkan skim bantuan kewangan semasa cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan di negara itu. Taiwan juga memberikan setiap rakyatnya baucer belanja semasa krisis ekonomi 2008 bagi tujuan menstimulasikan ekonomi Taiwan, justeru mengkritik langkah kerajaan untuk membantu golongan yang susah adalah sesuatu yang tidak masuk akal.  Justeru perkara sebegini dan inisiatif dalam Manifesto BN akan saya dan rakan-rakan seperjuangan terangkan dengan jelas supaya masyarakat kita faham hala tuju yang dibawa oleh Kerajaan sedia ada.

Satu lagi perkara yang menarik perhatian saya semasa Hari Penamaan Calon baru-baru ini adalah tahap kematangan penyokong dari pelbagai parti politik yang tidak mencetuskan sebarang kekecohan, terutama dikawasan saya.  Kecuali di beberapa tempat lain di mana berlaku provokasi, kebanyakan pusat penamaan calon menyaksikan suasana yang tenang dan proses penamaan calon berjalan dengan lancar. Saya dapat melihat walaupun individu mempunyai pandangan dan fahaman yang berbeza, namun mereka tidak dipengaruhi oleh emosi dan pandangan yang sempit.   Hal ini membuatkan saya terfikir mengenai beberapa perkara yang mempengaruhi senario pilihan raya kali ini, terutama mengenai media sosial dan impaknya kepada pendidikan negara.

Media sosial merupakan alat yang begitu dekat di hati kita – ini adalah fakta yang tidak boleh dipertikai lagi.  Setiap daripada kita – tidak kira yang berusia, apatah lagi yang muda – memiliki telefon pintar. Aplikasi media sosial yang ada dalam telefon pintar seperti Facebook, Twitter, Instagram, Wechat, Whatsapp dan sebagainya membolehkan pelbagai maklumat, tidak kira yang sahih ataupun tidak, disebarkan dengan begitu pantas dan meluas.  Dengan ledakan maklumat tanpa kawalan ini, bagaimana kita dapat memastikan berita yang diterima adalah benar? Tidak lain adalah melalui pemikiran yang rasional dan nilai yang tinggi, yang dipupuk melalui pendidikan, sama ada di sekolah, mahupun di rumah dan dalam komuniti.

YAB Perdana Menteri baru-baru ini dalam satu sidang akhbar khas bersama-sama editor kanan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menyebut mengenai ‘tsunami fitnah’ yang akan digunakan sepenuhnya dalam pilihan raya kali ini.  PRU 14 kali ini akan menyaksikan penggunaan gambar-gambar dan maklumat yang diubahsuai dan sekali lalu akan dilihat sebagai sesuatu yang benar sekiranya tidak disiasat kebenarannya terlebih dahulu. Pilihan raya adalah medan untuk setiap parti yang bertanding untuk berkongsi agenda mereka bagaimana untuk membawa rakyat dan negara ke arah yang lebih baik, bukan untuk menghamburkan berita palsu dan memfitnah melalui teknologi yang ada.  Sekiranya mereka bertindak menyebarkan berita palsu, ini bermakna yang mereka begitu terdesak dan tidak mempunyai agenda yang serius untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat. Amalan demokrasi perlu kita hidupkan sebaik mungkin dengan mengamalkan pertandingan yang sihat. Tunjukkan sebenarnya apa sumbangan kita kepada masyarakat setempat, dan bagaimana kita dapat membantu untuk merealisasi visi dan aspirasi negara.

Saya adalah anak kampung, lahir di Pokok Sena dan kini berkhidmat demi memastikan hidup masyarakat di kawasan saya dan sekitar meningkat kualitinya.  Saya juga amat bersyukur diberi mandat sebagai Menteri Pendidikan, justeru pengalaman saya sebagai pendidik saya gunakan sepenuhnya untuk membawa suara warga pendidik dalam usaha memartabatkan sistem pendidikan negara setaraf dengan negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik di dunia.  Ini adalah janji kerajaan Barisan Nasional dalam PRU ke 13 dahulu dan saya merasa bangga kerana usaha yang dijalankan dan dicapai setakat ini berada pada landasan yang betul.

Kali ini dalam PRU ke 14, sekali lagi pendidikan diangkat sebagai antara agenda terpenting negara.  BN menjanjikan masa hadapan sektor pendidikan negara yang inklusif, selaras dengan era Revolusi Perindustrian dengan memahirkan 5 juta murid sekolah generasi pemimpin masa hadapan dengan kemahiran digital, serta memastikan mereka dipupuk dengan etika dan kerohanian serta identiti nasional. Bagi merealisasikan aspirasi ini, Barisan Nasional juga berjanji mengurangkan beban kerja para pendidik dengan peralatan terbaik di bilik darjah.

Prasarana pendidikan, termasuk usaha baikpulih sekolah, membina dan menambah kapasiti asrama untuk pelajar-pelajar luar bandar serta menaik taraf semua sekolah daif di seluruh negara yang akan dijalankan dalam tempoh lima tahun.  Ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan Barisan Nasional yang telah termaktub dalam Manifesto BN bagi PRU ke 14, dan akan dilaksanakan dengan mandat yang diberikan oleh rakyat untuk lima tahun akan datang.

Pilihan berada di tangan anda.  Dengan ilmu yang ada, pemikiran yang rasional dan hati yang sentiasa mendambakan kebenaran, buatlah pilihan yang bijak, demi negara, bangsa dan agama untuk membawa Malaysia ke mercu kejayaan.  Selamat menjalankan tanggungjawab dalam PRU ke 14.

HEBATKAN NEGARAKU!

 

This post has already been read 8936 times!

Facebooktwittergoogle_plus
Facebooktwittergoogle_plusyoutubeinstagram

Comments

comments